Pemikiran Siddiq Fadzil: Inspirasi Perjuangan Umat
September 11th, 2025
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Forum Fikrah Siddiq Fadzil: Lima Agenda Pemikiran Siddiq Fadzil
Kota Kinabalu, 9 September 2025 – Tuan Haji Amidi bin Dato’ Abdul Manan selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menyampaikan pembentangan forum dalam Seminar Fikrah Madani: Pemikiran Siddiq Fadzil Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Beliau juga merupakan EXCO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Dalam pembentangannya, Tuan Haji Amidi menyoroti pemikiran almarhum Ustaz Siddiq Fadzil sebagai tokoh Islam kontemporari yang mempunyai visi besar dalam membangunkan umat. Beliau mengimbau pengalaman peribadi bersama almarhum yang terkenal dengan kegigihan mencari ilmu, khususnya minat mendalam terhadap buku-buku dari dunia Arab, Barat, dan Nusantara. Kegigihan ini menurut beliau menjadikan Ustaz Siddiq seorang pemikir yang mampu mengupas isu-isu umat dari pelbagai sudut secara menyeluruh.
Antara sumbangan terbesar Ustaz Siddiq yang diketengahkan ialah gagasan Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan ketika memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Gagasan ini membentuk kerangka perjuangan umat melalui lima agenda utama:
Pembinaan Syakhsiyah Islamiyah – menekankan kebebasan berfikir yang menjadi asas kepada tanggungjawab individu Muslim.
Pembinaan Usrah Islamiyah – membina keluarga Islam yang kukuh dan berpaksikan nilai al-Quran.
Pembangunan Masyarakat Islam – melalui institusi pendidikan, hospital Islam, program komuniti, dan dakwah kepada bukan Islam.
Pembinaan Negara Islam – memperkukuh kefahaman fiqh dan maqasid syariah dalam kerangka kenegaraan moden yang adil dan rahmah.
Pembinaan Khilafah Islamiyah – mempersiapkan umat Islam sebagai agen kedamaian sejagat yang membawa rahmat kepada seluruh manusia.
Turut ditegaskan bahawa pemikiran Ustaz Siddiq amat relevan dengan cabaran semasa, khususnya dalam membina bangsa merdeka yang tidak gentar mengangkat Islam sebagai penyelesaian permasalahan umat dan negara.
“Islam adalah solusi yang mampu mengangkat darjat, martabat, dan harakat umat. Pemikiran Siddiq Fadzil mengingatkan kita bahawa agama ini adalah rahmat yang membawa keadilan dan kedamaian sejagat,” ujar beliau.
Seminar ini menampilkan perbincangan forum yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj. Bahron, dengan panel lain iaitu Datuk Dr. Amin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Encik Mohd Nur Hilmie Milus, Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS). Kehadiran tokoh akademik, pemimpin belia, dan masyarakat madani menjadikan seminar ini platform penting untuk mengangkat pemikiran Siddiq Fadzil sebagai panduan membina masyarakat Islam yang progresif dan inklusif.
Pembentangan forum boleh ditonton di paparan tertera.
BESTARI JAYA, 7 Oktober 2026 – Memugar khazanah pemikiran tokoh cendekiawan agung watan dan menterjemahkannya ke dalam kerangka pembinaan negara bangsa menjadi matlamat utama penganjuran Simposium Fikrah Siddiq Fadzil (SAF) 2026 yang melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya di Dewan Senat, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya hari ini. Simposium keilmuan berprestij anjuran Institut Pemikiran dan […]
BANGI, 6 Oktober 2026 – Memperkukuh literasi undang-undang, memelihara keluhuran perlembagaan, serta menyediakan respons berstruktur terhadap isu-isu keadilan sosial menjadi fokus utama penganjuran Bengkel Strategik Isu Perundangan di Malaysia anjuran Majlis Al-Mizan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Program intensif setengah hari ini telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.45 pagi hingga 12.30 tengah hari. Inisiatif […]
PUTRAJAYA, 25 September 2026 — Pertemuan para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sedunia tidak seharusnya terhenti sekadar di meja rundingan, bergambar atau mengeluarkan deklarasi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kefahaman dunia yang jernih serta tindakan bersama yang praktikal. Demikian ditegaskan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, ketika menyampaikan […]
PUTRAJAYA — Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melakar satu lagi detik bermakna di pentas antarabangsa apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Majlis Ke-40 Kesatuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Dunia Islam (Union of NGOs of the Islamic World – UNIW / İDSB) yang berlangsung di Putrajaya bermula 24 hingga 27 September 2026. Penganjuran persidangan berprestij […]