Merdeka Bukan Sekadar Pesta, Tetapi Pembebasan Jiwa
September 11th, 2025
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Penekanan Kepentingan Membina Jiwa Merdeka dalam Seminar Fikrah Madani Sabah
Kota Kinabalu, 9 September 2025 — Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa kemerdekaan sebenar tidak hanya terbatas kepada pembebasan daripada penjajah, tetapi mesti disertai dengan pembebasan minda, spiritual, serta keberanian menolak budaya takut dan penindasan.
Beliau menyampaikan syarahan utama bertajuk “Membina Jiwa Merdeka” sempena Seminar Fikrah Madani: Pemikiran Siddiq Fadzil Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. Seminar ini menghimpunkan para intelektual, pimpinan NGO serta masyarakat umum untuk mendalami pemikiran Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil, tokoh dakwah dan intelektual Islam terkemuka.
Dalam syarahannya, presiden menekankan tiga sumbangan besar pemikiran Ustaz Siddiq Fadzil yang relevan dalam membina jiwa merdeka:
Era 1970-an – Kebangkitan Islam dan Harakah Islamiyah Ustaz Siddiq Fadzil menanam idealisme merdeka dalam kalangan belia dengan visi mengangkat kembali Islam sebagai kekuatan peradaban dunia. Beliau menegaskan bahawa kemerdekaan hakiki ialah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia untuk tunduk hanya kepada Allah SWT.
Era 1980-an – Menangani Ekstremisme dengan Pendekatan Wasatiyyah Menghadapi gelombang takfiri dan ekstremisme, beliau memperkenalkan pendekatan wasatiyyah Islam, iaitu keseimbangan dan hikmah dalam memahami syariat agar umat Islam tidak terjebak dengan pemikiran sempit yang memecahbelahkan masyarakat.
Era 1990-an dan seterusnya – Membina Negara Bangsa Madani Sebagai Presiden WADAH pertama, Ustaz Siddiq Fadzil memperjuangkan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan sebagai asas kepada Malaysia Madani, menekankan karamah insaniah, keadilan dan hidup bersama dalam damai.
Perlu diiingatkan bahawa membina jiwa merdeka bukan sekadar pesta kemerdekaan atau pengisian material, tetapi menuntut keberanian berfikir kritis, pembebasan pendidikan, dan penolakan terhadap budaya materialisme, politik perkauman, serta pengaruh media sosial yang memanipulasi kebenaran.
“Merdeka sebenar adalah deklarasi syahadah: La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. Ia membebaskan umat daripada segala bentuk penjajahan fizikal, mental dan spiritual, sekaligus memartabatkan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan peranan pendidikan liberatif berteraskan nilai dan kemanusiaan, sebagaimana ditegaskan oleh tokoh pendidikan Paulo Freire, untuk melahirkan insan merdeka yang mampu menggugat budaya penindasan.
Mengakhiri syarahan, Presiden WADAH menzahirkan kebimbangan sekiranya masyarakat gagal memahami makna kemerdekaan yang sebenar, maka kemerdekaan akan hanya tinggal slogan kosong.
Seminar ini menegaskan bahawa gagasan pemikiran Siddiq Fadzil terus relevan dalam membimbing umat Islam membina jiwa merdeka, menolak budaya takut dan menegakkan nilai keadilan demi masa depan Malaysia Madani.
Rakaman syarahan presiden boleh ditonton di paparan tertera.
CYBERJAYA, 5 Disember 2025 – Bertempat di Dewan Semarak, Cyberjaya, satu anjakan paradigma dalam memperkasa ekonomi golongan wanita telah dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Ekonomi Wanita MADANI oleh Pekawanis. Program yang berlangsung bermula jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada usahawan, surirumah, dan belia dari sekitar daerah […]
Menghidupkan Syura, Memperkukuh Amal Jama‘iyy, Mempersatukan Umat MUKADIMAHTahun 2026 dan Panggilan Tanggungjawab Bismillāhirraḥmānirraḥīm.Saudara-saudari pimpinan dan seluruh warga Gerakan WADAH yang saya kasihi. Kita melangkah ke tahun 2026 dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu. Perpecahan umat semakin ketara, politik kebencian semakin menular, dan suara hikmah sering tenggelam dalam lautan emosi. Dalam suasana inilah Allah SWT […]
PUTRAJAYA, 28 Disember 2025 – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) hari ini melakar sejarah penting dalam landskap dakwah negara melalui penganjuran Forum Masyarakat Madani: Menolak Ketaksuban, Mempromosi Hikmah Melalui Asas Islam Rahmah (AISAR). Program yang berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Qur’an ini telah menjadi medan pertembungan idea yang progresif bagi menangani isu ekstremisme […]
Seberang Jaya, 29 November 2025 — Muktamar Nasional WADAH kali ke-19 (MUKNAS19) berlangsung dengan penuh signifikan apabila Presiden WADAH Pencerdasan Umat, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, menyampaikan amanat bertema “Malaysia Memimpin: Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah”. Amanat ini merupakan satu rangka pemikiran besar yang menegaskan peranan Malaysia sebagai negara berwibawa, beradab dan […]