Inspirasi Sirah Nabawiyyah Teras Malaysia Madani

Kongsikan artikel ini :

Syarahan IPGM Nilai: Konsep Madani Sebagai Teras Pembinaan Negara Rahmah

NILAI, 26 Ogos 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam bin Ab Rahman, telah hadir menyampaikan syarahan bagi Program Syarahan dan Sesi Dialog Memahami Teras Malaysia Madani bersama siswa guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Teknik, Kompleks Pendidikan Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam syarahan, beliau berkongsi pengalaman awal penglibatan dalam gerakan dakwah ketika masih berusia 18 tahun di ITM. Pengalaman bersama ABIM membuka ruang kepimpinan, membina kemahiran mengurus konflik, mencari dana, berceramah, mengatur program, bahkan menjual buku dakwah. Pengalaman ini melahirkan kepelbagaian kemahiran yang akhirnya membawa kepada penglibatan dalam NGO dakwah di seluruh dunia dan kerja kemanusiaan di negara-negara bergolak. Antara sumbangan penting termasuk penubuhan Global Peace Mission, yang mengangkat idealisme anak muda dalam misi kemanusiaan antarabangsa.

Daripada pengalaman tersebut, beliau seterusnya dilantik sebagai Penasihat Khas Menteri Luar mengenai Afghanistan pada 2021, selepas Amerika Syarikat berundur dari negara itu. Peranan tersebut menuntut keupayaan menyelesaikan konflik, memimpin, serta meyakinkan masyarakat antarabangsa, berbekalkan pengalaman panjang dalam dakwah. Malah, kerajaan Malaysia turut memilih beliau sebagai Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di OIC. Semua ini, katanya, bermula daripada tarbiah dakwah yang membentuk insan holistik sejak muda.

Misi Membangunkan Ummah Madani

Dalam konteks pendidikan, siswa guru digesa melihat profesion keguruan bukan sekadar kerjaya, tetapi misi membangunkan ummah. Guru boleh menjadi pendidik, pemimpin, diplomat, bahkan penggerak perubahan masyarakat. Pendidikan, menurutnya, adalah amanah dakwah berterusan, dan peluang terbuka luas termasuk menjadi sukarelawan mengajar di enam sekolah komuniti Rohingya yang kini diuruskan di Gombak, Klang, Kuantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Ketika menyentuh gagasan Malaysia Madani, ditegaskan bahawa konsep ini lahir daripada sirah Nabawiyyah. Madinah menjadi model masyarakat bertamadun, dengan nilai kemanusiaan, keadilan, kesejahteraan dan keterangkuman sebagai asas tamadun Islam. Inspirasi ini tercermin daripada peristiwa Perjanjian Aqabah, Hijrah, persaudaraan Muhajirin dan Ansar, Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyah, hingga kepada Fath Makkah yang menampilkan diplomasi, perpaduan, pengorbanan dan rahmah sebagai asas pembinaan masyarakat.

Ayat “La ikraha fid din” (Al-Baqarah: 256) dijadikan asas dakwah, iaitu tiada paksaan dalam beragama. Kesedaran mesti lahir dari keyakinan dalaman, bukannya tekanan luaran. Sebagai contoh, kewajipan bertudung yang dipaksakan sebagai uniform boleh melahirkan hipokrasi, sedangkan generasi terdahulu sanggup berjuang mempertahankan identiti dengan penuh keyakinan walaupun berdepan risiko dibuang universiti. Pendekatan Madani menolak paksaan, menuntut dakwah berasaskan akhlak mulia dan keyakinan rohani.

Sirah juga menunjukkan keterangkuman apabila masyarakat Madinah menerima orang luar, termasuk Muhajirin, sebagai sebahagian daripada komuniti. Nilai ini seharusnya menjadi asas dalam menangani isu pelarian seperti Rohingya. Konsep Madani inklusif menuntut masyarakat Muslim di Malaysia menolak sentimen kebencian terhadap orang luar, sebaliknya melihat mereka sebagai amanah kemanusiaan.

Piagam Madinah pula menjadi asas kontrak sosial, di mana umat Islam dan bukan Islam bersetuju mempertahankan negara bersama-sama tanpa memaksa agama masing-masing. Prinsip ini wajar dijadikan panduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, seiring dengan perlembagaan negara.

Perdamaian dan keamanan juga disentuh melalui peristiwa Hudaibiyah. Rasulullah SAW sanggup menanggalkan gelaran “Rasulullah” demi mencapai perdamaian, menunjukkan betapa keamanan lebih utama daripada sentimen. Prinsip ini diangkat sebagai peringatan bahawa keamanan negara tidak boleh dianggap kekal. Kisah pelarian Syria yang kehilangan segalanya akibat perang dijadikan contoh betapa keamanan adalah nikmat yang boleh hilang dalam sekelip mata.

Ancaman geopolitik semasa turut menjadi tumpuan. Umat Islam diingatkan tentang ayat “Walan tardha ‘ankal yahudu walan nasara…” (Al-Baqarah: 120) bahawa kuasa luar sentiasa mencari jalan melemahkan umat. Malaysia sendiri sedang menjadi sasaran, sebagaimana diingatkan Perdana Menteri, apabila Mossad didakwa sudah beroperasi dalam negara. Situasi ini menuntut rakyat menolak perpecahan, menghentikan perseteruan politik, dan bersatu mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau turut menekankan penyakit utama umat Islam hasil penjajahan Barat seperti kejahilan, kemiskinan, dan perpecahan sebagaimana dihuraikan oleh Imam Badi’uzzaman Said Nursi. Umat mesti keluar daripada perangkap ini dengan kembali kepada al-Quran, memahami sejarah, dan membina kekuatan bersama.

Pesanan akhir kepada siswa guru ialah menjadi agen kesatuan, bukan perpecahan. Profesi guru hendaklah digerakkan sebagai misi, bukan sekadar kerjaya. Dengan tekad, dakwah dan pendidikan akan melahirkan masyarakat Madani yang bersatu, beramanah, dan mampu menghadapi cabaran geopolitik semasa. Program diakhiri dengan ajakan agar warga IPGM melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan, termasuk mengajar anak-anak Rohingya sebagai tanggungjawab bersama membina masa depan ummah.

Rakaman syarahan boleh ditonton di paparan tertera.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM
Pek ceria raya

AGIHAN PEK CERIA RAYA (PCR) UNTUK MUALAF DI IOA CENTRE

Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]

Baca Lanjut
PEK CERIA RAYA

AGIHAN PEK CERIA RAYA (PCR) SANTUNI KOMUNITI OKU DI PPR LEMBAH SUBANG 2

Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]

Baca Lanjut
orang asli

WADAH SANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI MELALUI PROGRAM AGIHAN PEK CERIA RAYA

Sungai Gabai, 14 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah melaksanakan Program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) di Kampung Orang Asli Sungai Gabai sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama komuniti setempat. Program tersebut turut melibatkan penyertaan pelajar latihan industri yang bersama-sama turun […]

Baca Lanjut
projek bubur lambuk

PROJEK BUBUR LAMBUK WADAH 2026: MENYEMAI UKHUWAH DAN KEPEDULIAN RAMADAN

Sungai Merab, 10 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pusat Infaq WADAH telah melaksanakan Projek Bubur Lambuk 2026, mengedarkan 700 bekas bubur lambuk kepada pelbagai komuniti, institusi dan agensi sekitar. Program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, mengeratkan semangat gotong-royong, dan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1313
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
415632
Klik Sini