Melindungi Kedaulatan Watan: Analisis Kritikal Implikasi Ratifikasi ICERD Terhadap Perlembagaan Persekutuan
April 30th, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
BUKIT JALIL, 29 April 2026 – Isu ratifikasi konvensyen antarabangsa kembali menjadi tumpuan apabila pakar undang-undang dan aktivis hak asasi manusia berkumpul dalam satu Diskusi Meja Bulat bertajuk “Melindungi Kedaulatan Watan: Analisis Kritikal Implikasi ICERD Terhadap Perlembagaan Persekutuan”. Diskusi yang berlangsung di Kingston Hotel, Bukit Jalil ini mengupas secara mendalam risiko yang bakal dihadapi Malaysia sekiranya tunduk kepada tekanan universalisme Barat.
International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum, merupakan instrumen PBB yang mula berkuat kuasa pada tahun 1969. Walaupun sebahagian besar negara dunia telah mengesahkannya, Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak meratifikasi konvensyen tersebut bagi memelihara struktur unik Perlembagaan Persekutuan.
Ancaman Terhadap Kontrak Sosial dan Perlembagaan
Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), Azril Mohd Amin, dalam pembentangannya menegaskan bahawa implikasi sekiranya Malaysia mengesahkan ICERD bukan sekadar melibatkan pindaan teknikal undang-undang, tetapi melibatkan pemansuhan menyeluruh terhadap identiti watan.
Menurut beliau, sekiranya Malaysia menjadi negara pihak kepada ICERD, segala peruntukan yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda atau dimansuhkan. Ini kerana ICERD melihat sebarang bentuk “keistimewaan” berasaskan kaum sebagai satu bentuk diskriminasi yang perlu dihapuskan dalam tempoh tertentu.
“Kita perlu sedar bahawa pelantikan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, danasiswa, serta kemudahan pendidikan khas yang selama ini menjadi instrumen imbangan sosio-ekonomi tidak lagi boleh dilaksanakan mengikut kuota Bumiputera. Ini akan meruntuhkan asas kestabilan yang telah kita bina sejak merdeka,” tegas Azril.
Impak Terhadap Institusi Strategik dan Ekonomi
Diskusi tersebut turut memperincikan kesan domino terhadap institusi ekonomi dan pendidikan negara. Antara yang paling terkesan ialah institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB). Dana pelaburan khusus seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) berkemungkinan besar perlu ditutup atau dibuka sepenuhnya kepada bukan Bumiputera bagi memenuhi tuntutan “kesamarataan” ICERD.
Sektor pendidikan juga tidak terkecuali. Institusi keramat seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dan Maktab Kemahiran MARA berisiko berdepan tuntutan pemansuhan status khusus atau terpaksa dibuka kepada semua kaum tanpa had. Lebih membimbangkan, kedaulatan fizikal dan ketenteraan juga terancam apabila Tanah Rizab Melayu perlu dihapuskan dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berisiko dibubarkan atas alasan ia bersifat eksklusif kepada satu kaum sahaja.
Naratif Kebangsaan Menangani Universalisme
Azril Mohd Amin menegaskan bahawa realiti sosiopolitik di Malaysia tidak memerlukan negara meratifikasi ICERD atau sebarang perjanjian antarabangsa yang bercanggah dengan nurani watan. Beliau berhujah bahawa dalam mempertahankan hak asasi manusia, Malaysia tidak seharusnya terikut-ikut dengan acuan luar, sebaliknya wajib berpegang kepada naratif kebangsaan sendiri.
“Prinsip-prinsip universalisme yang dilaungkan di peringkat global tidak semestinya baik atau sesuai untuk diterimapakai di negara ini. Kita mempunyai acuan sendiri dalam menguruskan kepelbagaian kaum tanpa perlu mengorbankan hak-hak yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial,” jelas beliau.
Sebagai kesimpulan, diskusi tersebut merumuskan bahawa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada ancaman ratifikasi ICERD adalah tugas murni bagi memastikan kedaulatan watan tidak dicerobohi oleh agenda asing yang gagal memahami sejarah dan konteks tempatan. Malaysia harus kekal dengan jati diri undang-undangnya sendiri demi menjamin keamanan dan keharmonian jangka panjang.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]