CERAMAH PERDANA HUT TLDM KE-92: SAUH IMAN, KOMPAS JIHAD PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA

Kongsikan artikel ini :
TLDM Ke-92

LUMUT, 23 April 2026 – Bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92, sebuah majlis ceramah perdana telah dianjurkan di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut sejurus selepas solat Maghrib. Membawa tajuk “Sauh Iman, Kompas Jihad; Menjaga Perairan Demi Negara”, pengisian yang menyuntik semangat patriotisme dan kerohanian ini telah disampaikan oleh Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman.

Menelusuri usia 92 tahun pasukan pertahanan maritim negara, beliau menegaskan bahawa ia merupakan satu fasa yang sarat dengan pengalaman, ujian, dan kematangan. TLDM kini memikul tanggungjawab yang jauh lebih mencabar berbanding dekad-dekad sebelumnya.

TLDM di Persimpangan Dua Lautan Geopolitik

Merujuk kepada Surah Al-Hasyr (ayat 18), Dato’ Ahmad Azam menggesa warga TLDM untuk sentiasa berpandangan jauh (future oriented). Beliau menyentuh ketegangan di Selat Hormuz antara paksi Amerika-Zionis dan Republik Islam Iran yang kini memasuki fasa meruncing pada awal 2026.

“Sebagai nakhoda dan pelaut yang diamanahkan menjaga Selat Melaka, yang merupakan salah satu laluan maritim tersibuk di dunia, TLDM tidak boleh menjadi sekadar penonton. Jika Selat Hormuz adalah nadi ekonomi Iran, Selat Melaka pula adalah nadi ekonomi Asia Pasifik dan Malaysia,” jelas beliau.

Pergiliran Kuasa dan Keangkuhan Zionis

Mengambil ibrah daripada Surah Ar-Rum (ayat 1-5), beliau membandingkan pergelutan kuasa dua empayar besar terdahulu, Rom dan Parsi, dengan pergolakan geopolitik hari ini. Pesanan beliau jelas: Malaysia tidak boleh meletakkan kebergantungan mutlak kepada mana-mana blok kuasa besar kerana kitaran kuasa sentiasa berputar mengikut sunnatullah.

Beliau turut mengupas Surah Al-Isra’ (ayat 4) mengenai sifat ‘Uluwwan Kabira (kesombongan besar) yang sedang dipamerkan oleh Bani Israel pada zaman moden ini melalui keganasan di Gaza dan serangan provokasi di rantau Timur Tengah, yang mana gelombangnya kelak pasti memberi tempias kepada perairan kita.

Sauh Iman dan Kompas Jihad Sebagai Persiapan TLDM

Apakah jawapan negara terhadap perubahan drastik ini? Dato’ Ahmad Azam menegaskan bahawa persiapan pertahanan bukan sekadar pada kelengkapan besi dan radar, tetapi pada kekuatan jiwa.

Berpandukan Surah Al-Anfal (ayat 60), beliau menyatakan bahawa teknologi hanyalah alat. Esensi sebenar adalah iman dan jihad. Tanpa iman, anggota yang mengemudi kapal canggih akan mudah diserang penyakit futur (lemah semangat). Tanpa jihad—yang membawa maksud perjuangan bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan maritim—kelengkapan senjata akan hilang arah tuju. Menjaga Selat Melaka daripada pencerobohan musuh merupakan sebahagian daripada tuntutan menolong agama Allah dengan memelihara keselamatan ummah.

Keterbukaan Memanfaatkan Kepakaran Teknologi Pertahanan

Dalam masa yang sama, Islam tidak mengajar umatnya untuk bersikap jumud. Berpandukan Surah Al-Hadid (ayat 25), beliau menyoroti lipatan sejarah bagaimana Khilafah Uthmaniyyah di bawah Sultan Muhammad Al-Fatih memanfaatkan kepakaran Orban dari Hungary dalam penciptaan meriam, serta peranan Jack Ward (Yusuf Reis), bekas lanun Inggeris yang akhirnya memeluk Islam dan memimpin armada di Laut Mediterranean.

“Besi dan teknologi adalah rahmat universal. TLDM berhak mendapatkan teknologi pertahanan maritim terbaik dari segenap pelosok dunia asalkan ia menguatkan ‘bassun syadid’ (kekuatan hebat) kita, dan selagi mana akidah serta kepentingan negara terpelihara,” tambah beliau.

Menutup bicara, Dato’ Ahmad Azam menyeru seluruh warga bahtera agar tidak bersikap lemah dan bersedih hati walau apa jua krisis melanda. Dengan “Sauh Iman”, armada negara tidak akan mudah hanyut dibawa arus kuasa besar, dan dengan “Kompas Jihad”, hala tuju perjuangan akan kekal teguh.

Majlis diakhiri dengan doa munajat agar Allah SWT merahmati para perwira maritim, mengampuni para Syuhada’ Samudera, dan mengekalkan kedaulatan perairan negara buat selamanya. Dirgahayu Tentera Laut Diraja Malaysia ke-92: TLDM Sentiasa di Laut, Sentiasa di Hati!

Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Berita Wadah|Berita Wadah - BM|Bicara Presiden|Bicara Presiden - BM
bowling komuniti

ERATKAN UKHWWAH KOMUNITI : EMPAT PETUGAS WADAH SAHUT CABARAN PERTANDINGAN BOWLING AYG 2026

BANGI, 23 Mei 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik bersama pertubuhan belia serta menyuburkan budaya gaya hidup sihat, empat orang petugas daripada Sekretariat WADAH Pusat telah tampil menyahut cabaran dalam Pertandingan Bowling Komuniti AYG 2026. Pertandingan yang berlangsung meriah itu telah diadakan bertempat di Ampang Superbowl, Tingkat 3, Bangi Gateway, semalam. WADAH kali ini […]

Baca Lanjut

PUSAT INFAQ WADAH SANTUNI PELAJAR KOLEJ DAR AL-HIKMAH

Kajang, 22 Mei – Program Jamuan Kasih Pelajar al-Hikmah telah berlangsung di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh ukhuwah, kesyukuran dan kebersamaan. Program ini turut dihadiri oleh petugas Sekretariat WADAH Pusat, yang bersama-sama menyantuni para pelajar serta menzahirkan sokongan terhadap usaha membina ekosistem pendidikan yang berteraskan kasih sayang, adab dan kepedulian. […]

Baca Lanjut
selat hormuz

KRISIS SELAT HORMUZ & KEDAULATAN DIGITAL : PRESIDEN WADAH GESA KPM RANGKA KURIKULUM ‘TEKNOLOGI MANDIRI’ BERASASKAN AI

PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Di sebalik kehangatan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz yang sedang menghimpit ekonomi dunia, pasak pertahanan dan masa depan sesebuah negara kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ditentukan oleh kedaulatan digital dan penguasaan teknologi. Menyedari hakikat ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman, […]

Baca Lanjut
YANG DI-PERTUAN AGONG

YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA WATIKAH PELANTIKAN AHLI MAIWP KEPADA PRESIDEN WADAH

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2026–2028. Istiadat rasmi yang penuh gilang-gemilang itu telah berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara pada 18 […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1270
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
535317
Klik Sini