Maqasid Syariah Tangani Isu Pelarian

Kongsikan artikel ini :

Presiden WADAH Seru Pendekatan Maqasid Syariah Tangani Isu Pelarian

PUTRAJAYA, 17 Jun 2025 – “Kalau kamu menolong saudaramu, pertolongan Allah tidak akan putus-putus,” demikian penegasan Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC-OIC), dalam pembentangannya sempena Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dari Perspektif Maqasid Syariah anjuran SUHAKAM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam sesi bertajuk Hak Pelarian: Isu dan Tanggungjawab dalam Konteks Islam, beliau mengangkat dimensi sejarah, realiti kontemporari serta tuntutan agama terhadap nasib pelarian yang dilupakan. Menggunakan lensa Maqasid Syariah, beliau menggariskan bahawa pelarian memiliki hak untuk hidup, mendapat perlindungan, pendidikan, pekerjaan dan kesihatan yang bermaruah sejajar dengan lima tuntutan asas maqasid: agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Islam tak guna istilah pelarian. Mereka disebut Muhajirin, dan yang membantu itu Ansar,” tegasnya, menyentuh semangat persaudaraan sejagat dalam sejarah Rasulullah SAW dan peradaban Islam.

Krisis Global, Tanggungjawab Umat

Menurut beliau, isu pelarian kini telah menjadi krisis kemanusiaan global abad ke-21, dengan lebih 114 juta manusia kehilangan tempat tinggal akibat peperangan, penindasan politik, bencana alam dan pencabulan hak asasi manusia. Malaysia walaupun bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, tetap menjadi negara transit dan perlindungan bagi lebih 198,000 pelarian dan pencari suaka, terutamanya dari Myanmar, Syria, Pakistan dan Yaman.

Namun begitu, golongan ini masih berdepan pelbagai cabaran serius. Dari sudut pekerjaan, mereka tidak dibenarkan bekerja secara sah dan hanya bergantung kepada sektor tidak formal, sekaligus terdedah kepada risiko eksploitasi, diskriminasi dan kemiskinan berpanjangan. Dalam aspek pendidikan dan kesihatan pula, pelarian tidak dibenarkan ke sekolah kerajaan dan hanya mengharapkan sekolah komuniti atau alternatif yang terhad, manakala kos rawatan kesihatan tetap tinggi meskipun dengan diskaun hospital 50 peratus menerusi kad UNHCR. Kehidupan mereka juga berada dalam ketidakpastian dari segi undang-undang kerana tidak diiktiraf secara sah di Malaysia, menjadikan mereka mudah ditahan, didenda atau dihantar pulang. Lebih menyedihkan, pelarian sering menjadi mangsa diskriminasi, stereotaip negatif, gangguan seksual dan pemerdagangan manusia tanpa sebarang akses kepada sokongan psikososial.

“Stateless seperti Rohingya bukan saja tak boleh balik, mereka tiada masa depan. Ini bukan soal belas kasihan sahaja, ini amanah agama,” ujar beliau lagi.

Maqasid Syariah Jawapan Islam kepada Krisis

Dato’ Ahmad Azam menegaskan bahawa pendekatan Islam berasaskan Maqasid Syariah menuntut keadilan sosial, rahmah dan karamah insaniyah dalam menangani isu ini. Beliau mengimbas sejarah kegemilangan Islam dalam melindungi pelarian, termasuk peristiwa Khilafah Uthmaniyyah menerima pelarian Yahudi dari Andalusia, serta tindakan Malaysia membantu pelarian Vietnam, Bosnia dan Afghanistan dengan penuh ihsan.

Beliau menekankan bahawa Malaysia telah membina rekod emas dalam menyantuni pelarian, yang kini memberi pulangan dalam bentuk goodwill antarabangsa. Misalnya, alumni Universiti Islam Malaysia dari Afghanistan kini memegang jawatan penting dalam kerajaan Taliban dan menjadikan Malaysia sebagai contoh negara rahmah. Namun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perubahan sikap dalam masyarakat yang semakin memusuhi pelarian pasca pandemik COVID-19 serta pengaruh retorik politik yang membangkitkan sentimen kebencian.

“Jangan kita menyokong naratif membenci pelarian, sehingga kita layan mereka seperti haiwan. Itu petanda bahaya pada rahmat negara ini,” katanya.

Cadangan Dasar Pendidikan, Status dan Peluang Pekerjaan

Dalam pembentangannya, beliau mengemukakan tiga cadangan dasar utama. Pertama, beliau menyeru agar kerajaan merangka dasar khusus untuk pelarian dan individu tanpa kerakyatan, dengan menyediakan akses pendidikan formal agar mereka tidak terpinggir dari sistem negara. Kedua, beliau menegaskan pentingnya pemurnian keturunan dalam kalangan komuniti seperti Rohingya, yang kini berdepan masalah perkahwinan tidak berdaftar sehingga melahirkan generasi tanpa status sah. Ketiga, beliau mencadangkan supaya Malaysia memberi peluang pekerjaan terstruktur kepada komuniti stateless yang tidak boleh kembali ke negara asal, berbanding terus bergantung kepada pekerja asing, kerana menurutnya mereka lebih setia dan dana ekonomi kekal dalam negara.

“Kita boleh pilih untuk membina sekolah atau membina lebih banyak penjara. Pilihan itu di tangan kita,” katanya sambil menyeru agar kerajaan memperuntukkan bajet kepada pendidikan alternatif dan tidak takut kepada desakan suara-suara sumbang di media sosial.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengingatkan bahawa tiada jaminan Malaysia akan kekal aman selama-lamanya jika menzalimi golongan lemah. “Bumi ini milik Allah. Kalau kamu menolong, Allah akan bantu. Kalau kamu menzalimi, nikmat itu akan ditarik,” katanya.

Perjalanan Muzakarah Kupasan Komprehensif Isu HAM dan Islam

Muzakarah anjuran SUHAKAM ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang bertempat di Conference Hall 7 dan 8, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Ia dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sarapan, diikuti ucapan alu-aluan oleh YM Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid selaku Naib Pengerusi SUHAKAM.

Sesi pembentangan dimulakan jam 9.15 pagi dan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Pesuruhjaya SUHAKAM. Antara tokoh yang tampil menyampaikan kertas kerja ialah Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob yang membicarakan tentang hak asasi manusia dari perspektif Maqasid Syariah, diikuti oleh Dr Farah Nini Dusuki yang menyentuh isu perkahwinan kanak-kanak dan status anak tanpa penjaga, serta Profesor Dato’ Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh yang mengetengahkan isu reformasi undang-undang syariah melalui pendekatan hukuman alternatif bagi sebatan.

Dato’ Ahmad Azam mengakhiri sesi pembentangan dengan kupasan menyeluruh tentang hak pelarian. Sesi soal jawab yang meriah berlangsung sehingga jam 11.40 pagi, disusuli ucapan penutup dan bacaan resolusi oleh YBhg. Dato’ Seri Hishamuddin Md Yunus, Pengerusi SUHAKAM. Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II, dan diakhiri dengan sesi bergambar serta jamuan makan tengah hari.

Mesej Jelas Maqasid Syariah Bukan Retorik Tapi Tindakan

Melalui pembentangan yang penuh bersemangat, sarat dengan fakta dan pengalaman lapangan selama lebih 40 tahun, Dato’ Ahmad Azam membawa mesej yang cukup jelas bahawa pelaksanaan Maqasid Syariah bukan sekadar slogan atau idealisme, tetapi suatu tindakan berstruktur yang terbukti membina peradaban dan menjamin kelangsungan keharmonian masyarakat.

“Jangan sampai satu hari nanti, kita pula menjadi pelarian dan menyesal kerana kita pernah menolak mereka yang datang meminta perlindungan,” katanya menutup bicara dengan penuh peringatan.

Video boleh ditonton di paparan tertera.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM

Seminar Perkasa Tangani Ancaman Akidah

SALWA Malaysia Perkasa Usaha Tangani Ancaman Akidah Era Digital SHAH ALAM, 1 Julai 2025 – Dalam usaha membentengi umat Islam daripada ancaman kegelinciran akidah di era digital, Pertubuhan SALWA Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS telah menganjurkan Seminar Menangani Ancaman Akidah Umat Islam dalam Era Digital, bertempat di […]

Baca Lanjut

Maqasid Syariah Tangani Isu Pelarian

Presiden WADAH Seru Pendekatan Maqasid Syariah Tangani Isu Pelarian PUTRAJAYA, 17 Jun 2025 – “Kalau kamu menolong saudaramu, pertolongan Allah tidak akan putus-putus,” demikian penegasan Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC-OIC), dalam pembentangannya sempena Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dari […]

Baca Lanjut

Takziah, Berehatlah Murabbi Umat

WADAH Merakamkan Takziah atas Pemergian Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan penuh rasa hiba dan dukacita merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), yang telah […]

Baca Lanjut

Kepimpinan MADANI Serantau: MSEALP 2025

WADAH Pacu Kepimpinan MADANI Serantau: MSEALP 2025 Tampil Gagasan Bersama Asean KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 – “Kepelbagaian bukan satu beban, tetapi peluang dakwah yang besar,” demikian penegasan Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam Program Kepimpinan Madani SEA (MSEALP) 2025 yang bersiaran secara eksklusif melalui TV AlHijrah, pagi […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
648593
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
738,485
Klik Sini