Tular Dunia vs Tular Akhirat: Timbalan Presiden WADAH Seru Masyarakat Tapis Maklumat Sebelum Sebar
Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Masyarakat diingatkan agar lebih berhati-hati dalam menularkan sebarang maklumat di media sosial supaya tidak terjebak dalam kancah fitnah tular dan adu domba yang boleh membawa kerosakan sosial.
Seruan ini disampaikan oleh Ustaz Hasri Harun, Pensyarah Kanan Universiti Selangor (UNISEL) merangkap Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), menerusi program Nota Rohani yang bersiaran secara langsung di Bernama Radio, Jumaat, 25 April 2025, pada jam 11.30 pagi.
Dalam sesi temu bual bertajuk “Tular Dunia vs Tular Akhirat”, beliau menjelaskan bahawa konsep “tular” bermaksud usaha mendapatkan perhatian ramai, sama ada melalui sokongan “likes”, tontonan “views” atau perkongsian “shares”. Menurut beliau, “Tular dunia ini bermaksud mendapat perhatian manusia. Tetapi tular akhirat, suatu amalan yang mendapat perhatian di sisi Allah SWT yang kekal sampai selepas kita meninggal dunia.”
Ustaz Hasri turut menegaskan bahawa tidak semua perkara wajar ditularkan. “Persoalannya ialah sejauh mana pendekatan kita. Kalau kita nak menyebarkan kebaikan, tidak salah untuk tularkan. Tetapi kalau yang ditularkan itu bahan fitnah, adu domba, maka kita bimbang tular kita itu akan membawa kepada kemurkaan Allah SWT,” katanya.
Isu Semasa, Berita Palsu Menjadi Budaya
Mengulas situasi semasa, beliau membangkitkan contoh bagaimana di Malaysia terdapat insiden penyebaran berita palsu yang mencetuskan kekecohan, khususnya berkaitan isu sensitif agama dan masyarakat. “Kadang-kadang kita tak pasti pun apakah bahan yang kita nak tularkan itu betul atau salah. Yang menjadi masalah ialah bila yang salah itu ditularkan dan mendapat sambutan pula,” ujarnya dengan nada prihatin.
Beliau juga mengingatkan tentang bahaya menularkan potongan ceramah agama tanpa konteks penuh. “Kadang-kadang ceramah yang dipotong separuh disebarkan di media sosial hingga menimbulkan salah faham dan memburukkan imej penceramah. Ini satu tindakan yang mesti dihentikan,” jelas beliau.
Dalam membincangkan soal niat, Ustaz Hasri mengupas bahawa amal soleh seperti bersedekah hendaklah dilakukan dengan keikhlasan. Namun, beliau menjelaskan, dalam situasi tertentu, menularkan aktiviti kebaikan untuk mengajak orang lain turut serta dalam amal boleh dibenarkan. “Kalau niatnya untuk menggalakkan orang lain bersedekah, maka ia diharuskan,” tambah beliau.
Menyentuh konsep dunia sebagai ladang akhirat (dunia mazra’atul akhirah), beliau menekankan: “Setiap perkara yang kita buat di dunia ini, baik atau buruk, akan dibentangkan semula oleh Allah di akhirat. Sedekah kecil yang ikhlas di dunia ini, manfaatnya besar di sisi Allah.”
Mengakhiri bicara, Ustaz Hasri menyeru masyarakat, khususnya generasi muda, untuk menular perkara yang membawa kebaikan sahaja. “Tularlah dengan rasa kasih sayang dan rasa bertanggungjawab. Setiap perkara yang kita tular, walaupun kecil hanya di hujung jari di telefon, tetap akan diperhitungkan di hadapan Allah kelak,” katanya.
Program Nota Rohani ini boleh diikuti melalui paparan video tertera.
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Dalam menghadapi landskap sosioekonomi dan politik dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, gerakan Islam diingatkan agar sentiasa memelihara dua teras utama perjuangan iaitu keteguhan istiqamah serta kepatuhan thiqah (kepercayaan) kepada pimpinan yang berpasak pada Tauhid. Amanat tersebut ditegaskan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab […]
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Dalam usaha membebaskan golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah daripada belenggu kemiskinan multidimensi menerusi wahana pendidikan, Projek Tunas Nahdah di bawah inisiatif Merakyat Malaysia MADANI telah menganjurkan program “Bengkel Level Up: Misi Belajar SMART”. Program yang berlangsung pada hari Ahad, 16 Ogos 2026 itu telah diadakan bertempat di Dewan […]
TANJUNG MAS, KOTA BHARU, 17 Ogos 2026 – Dalam usaha menyusun semula kekuatan saf kepimpinan dan mempertajam hala tuju perjuangan dakwah sivil di peringkat negeri, seramai 111 orang aktivis dan barisan pimpinan gabungan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), SALWA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan telah berhimpun menjayakan […]
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil yang dipimpin oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dengan kerjasama Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dan Sekretariat DAIE Madani, hari ini secara rasminya telah menyerahkan satu Memorandum Keprihatinan NGO berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH). Inisiatif penyerahan memorandum ini dilaksanakan sebagai […]