WADAH KUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS DOHA, QATAR – SOLIDARITI BERSAMA MALAYSIA, PERTAHAN KEDAULATAN DAN PALESTIN
Kenyataan Media 10 September 2025
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar, yang jelas merupakan tindakan agresif, tidak berperikemanusiaan dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta kedaulatan sebuah negara berdaulat. Tindakan ini bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam, malah menggugat kestabilan rantau Timur Tengah yang sudah sedia rapuh.
Tindakan Israel ini adalah provokasi yang mengancam keamanan antarabangsa – dengan menyasarkan Doha, pusat diplomasi dan perdamaian serantau, Israel menunjukkan sikap angkuh yang menolak usaha dialog dan mediasi.
WADAH berdiri teguh menyokong kenyataan tegas YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk serangan ini dan menuntut Israel dipertanggungjawabkan di peringkat antarabangsa. Keberanian Malaysia menyuarakan prinsip keadilan adalah contoh kepimpinan moral yang wajar diikuti dunia Islam dan komuniti antarabangsa.
WADAH menyeru agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan segera bagi menghentikan kezaliman Israel yang semakin mencabar undang-undang antarabangsa, sekaligus mengelakkan tercetusnya konflik lebih besar di rantau tersebut.
WADAH menegaskan bahawa sokongan kepada Palestin tidak boleh dipisahkan daripada insiden ini. Serangan ke atas Qatar adalah sebahagian daripada strategi menekan negara-negara yang konsisten mempertahankan perjuangan Palestin. Justeru, penyelesaian konflik Palestin mesti kekal berasaskan keadilan, pengiktirafan hak asasi rakyat Palestin, serta penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Solidariti Malaysia–Qatar–Palestin perlu diperkukuh. WADAH mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama mendesak keadilan ditegakkan, menolak penjajahan, dan menegakkan keamanan berteraskan maruah serta kedaulatan.
WADAH menggesa negara-negara Arab dan dunia Islam mempertimbangkan langkah tegas dengan mengisytiharkan pemutusan hubungan diplomatik dengan Israel. Tindakan ini penting bagi memberi isyarat jelas bahawa keangkuhan Israel tidak boleh diterima dan akan mendatangkan implikasi politik serta diplomatik yang serius.
WADAH menegaskan bahawa keamanan sejati tidak akan lahir selagi penjajahan, pencerobohan, dan pelanggaran kedaulatan dibenarkan berleluasa. Dunia mesti bersatu menolak keganasan negara Israel yang kini semakin jelas menjadi ancaman global.
Tuan Haji Azizuddin Ahmad Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]