Afghanistan Mahu Belajar Cara Malaysia Urus Negara
Kehadiran delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang mendapat reaksi negatif segelintir ahli politik kita menenggelamkan realiti sebenar dihadapi negara itu selepas ditinggalkan Amerika Syarikat (AS). Wajarkah dunia terus memulau dan memencilkan negara berkenaan selepas sekian lama ia dijajah, bagaimana pula pendirian Malaysia terhadap negara yang baru tiga tahun merdeka itu. Wartawan Berita Harian, Essa Abu Yamin mendapatkan penjelasan Penasihat Khas Kementerian Luar mengenai Afghanistan, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman yang turut berkongsi pandangan mengenai nasib Gaza serta rakyatnya.
Soalan (S): Mengenai Afghanistan, apa pandangan Datuk kembalinya Taliban 2.0? Jawapan (J): Kita kena akui Taliban adalah pejuang kemerdekaan, bukan pengganas seperti naratif cuba digambarkan media Barat, sebaliknya Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah penjajah yang menjajah Afghanistan selama 20 tahun. Jadi, sebagai pejuang kemerdekaan, peluang untuk mereka membangunkan negara sendiri perlu diberikan, bukannya dihukum kerana berjaya mendapat kemerdekaan secara berperang.
AS tidak digambarkan sebagai orang bersalah, tetapi yang digambarkan bersalah ialah Taliban hingga berusaha menghalang pengaruh Taliban. Ia adalah kemerdekaan sebuah negara dan mereka wajar diberikan hak untuk hidup serta perlu diberi bantuan sewajarnya sebagai negara baru merdeka.
S: Afghanistan sangat bergantung kepada bantuan dan dana luar, tetapi kita mungkin terlupa situasi rapuh ini kerana pelbagai isu menimpa dunia Islam, terutama Gaza? J: Malangnya, Afghanistan dihukum dengan sekatan ekonomi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Barat hingga negara luar tidak boleh membantu mereka dari segi ekonomi dan keperluan sebagai negara baru merdeka. Ia tidak adil.
Apatah lagi ketika dunia Islam berhadapan dengan pelbagai isu seperti di Gaza dan Syria, ia menyebabkan tumpuan kepada usaha untuk membangunkan Afghanistan tidak dapat diberi sepenuhnya. Saya rasa betapa lemahnya dunia Islam hari ini hingga mana-mana negara yang lumpuh kerana peperangan tidak dapat dibantu secara berkesan oleh negara Islam lain kerana isu datang menimpa satu demi satu.
S: Taliban memang kontroversi, terutama dalam konteks hak asasi. Namun, ia satu-satunya kekuatan berkemampuan mentadbir Afghanistan. Bagaimana mahu mengimbangkan realiti ini? J: Afghanistan sudah melalui peperangan melawan dan mengalahkan empayar British serta Soviet Union, kemudian berperang pula dengan AS dan NATO selama 20 tahun. Budaya Taliban adalah budaya perang, manakala peranan wanita ketika berperang adalah berada di rumah, menjaga anak dan menjadi isteri baik. Dunia melihat hak wanita tidak diberikan layanan sepatutnya dalam konteks manusia antarabangsa.
Namun, hakikatnya pada waktu ini, Taliban satu-satunya kekuatan yang mampu memberi keamanan dan kestabilan bagi seluruh Afghanistan. Sebelum ini, tiada mana-mana puak atau kabilah dapat menyatukan seluruh negara. Dalam masa tiga tahun memerintah, Taliban berjaya mewujudkan keamanan dan kestabilan sehingga orang Afghanistan boleh pergi ke mana-mana, tidak seperti dahulu.
Mereka juga berjaya menghapuskan ladang popi dan ganja yang ditanam di Afghanistan sejak AS menjajah. Jadi bagi saya, untuk melihat Taliban secara adil, kita perlu berada di sana, lihat sendiri suasana mereka, berbincang dan berdialog dengan mereka. Kita juga kena menghormati budaya mereka seperti kita menghormati budaya Arab terhadap wanita.
Beberapa tahun dahulu, wanita tidak ada tempat di negara Arab. Sejak akhirakhir ini sahaja, wanita boleh membawa kereta dan terbabit dalam pembangunan negara. Jadi, kita perlu memberi masa untuk untuk mereka (Taliban) berubah, melihat dunia ini dan belajar bagaimana mentadbir negara moden. Kita tidak boleh terus hukum mereka, sebaliknya perlu mengerti dan faham serta cuba membantu sebagai umat Islam ketika mereka perlu belajar dan memerlukan bantuan kita. Itu sikap yang patut kita ambil dalam konteks kontroversi dicipta dan dihukum terhadap Taliban dalam konteks naratif media masa ini.
S: Baru-baru ini, delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan berkunjung dalam rangka melihat contoh pendidikan kita. Apa yang boleh bantu mereka dalam soal pendidikan? J: Inisiatif membawa 10 pegawai tinggi Kementerian Pendidikan Afghanistan adalah inisiatif saya sendiri sebagai Penasihat Khas Kementerian Luar dengan dukungan Kementerian Pendidikan (KPM). Tujuannya untuk berkongsi kejayaan bagaimana Malaysia mendidik generasinya selepas merdeka. Tujuannya untuk mereka lihat model pendidikan di Malaysia, mudah-mudahan ada boleh mereka ikuti.
Ia bertujuan membantu generasi Afghanistan yang baru tiga tahun merdeka selepas melalui lebih 40 tahun peperangan berpanjangan. Ia supaya Malaysia boleh menunjukkan model terbaik bagaimana mendidik pelajar lelaki dan perempuan dan bagaimana sistem pendidikan serta kurikulum kita mempersiapkan pelajar kita untuk membina negara maju dan juga progresif.
Ini tindakan proaktif yang perlu disokong semua. Jangan kita anggap sinis seolah-olah kita mahu mengikut pendekatan Taliban, malah sebaliknya. Kita beri peluang Taliban belajar model pendidikan inklusif kita yang meraikan kepelbagaian dan memberikan penekanan menghormati agama lain ketika Islam menjadi teras kepada sistem pendidikan bersesuaian dengan penduduk Malaysia majoritinya orang Islam Melayu.
Saya fikir usaha dibuat untuk membawa mereka belajar di sini perlu kita teruskan. Inilah cara kita membantu dalam membangunkan Afghanistan supaya mereka cepat masuk dan dapat diterima menjadi anggota baharu dunia ini yang sama-sama membangun untuk kepentingan dan kestabilan wilayah yang bagi saya sangat penting untuk mengelakkan sebarang peperangan dan konflik berulang di Asia Tengah. Ia tindakan mulia kerajaan Malaysia yang perlu dipuji dan usaha perlu didukung semua pihak tanpa mengira kaum serta bangsa.
S: Ada kecenderungan sebahagian negara memencilkan atau memulau Afghanistan di bawah Taliban 2.0. Apa tindakan tepat bagi Malaysia? J: Malaysia mengambil keputusan tepat untuk berhubung atau berinteraksi dengan Afghanistan bagi menerima realiti yang ada dan membantu mereka dalam bidang yang kita mempunyai kekuatan. Kekuatan kita dalam bidang pendidikan. Saya fikir tindakan memencilkan dan memulau Afghanistan tidak wajar, terutama negara Barat yang terpukul dengan kekalahan mereka dalam perang.
Saya fikir negara Islam khususnya tidak boleh mengikut jejak langkah berkenaan kerana tidak ada kepentingan apa-apa, tidak pernah menjajah Afghanistan yang juga tidak pernah berperang dengan kita. Maka, kita perlu membantu mereka dengan apa juga kemampuan yang kita ada. Tindakan ini paling wajar dan diplomatik serta tidak boleh disalahkan manamana pihak.
Juga tanggungjawab kita supaya Afghanistan stabil kerana ia bermakna Asia Barat dan Asia Tengah stabil. Jika Afghanistan maju, ia bermakna Asia Tengah juga maju, manakala konflik berkurangan atau dapat dihapuskan.
OIC Galak Negara Anggota Bantu Bangunkan Afghanistan
S: Bagaimana pula peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? J: OIC sememanganya mengambil inisiatif membantu, malah sudah membuka Misi OIC di Kabul. Saya sudah bertemu ketua pengarahnya yang berada di Kabul untuk melihat peranan OIC. Malah, OIC menggalakkan negara anggota untuk datang ke Afghanistan sama-sama membangunkan Afghanistan. Mereka menganjurkan beberapa aktiviti dan menjemput ulama negara OIC datang ke Afghanistan.
Saya terbabit sama dalam misi berkenaan untuk berbincang dan berdialog mengenai hak wanita belajar di Afghanistan secara khusus atau hak wanita dalam Islam umumnya. Dialog diadakan dengan ulama Taliban, perbincangan dari hati ke hati, merujuk kepada al-Quran dan Sunnah.
Jadi, OIC berperanan setakat termampu kerana tidak ada kuasa ketenteraan. OIC tiadak ada apa yang dimiliki Kesatuan Eropah (EU) dan AS, yang mempunyai NATO untuk mendisiplinkan atau melaksanakan agenda mereka. Jadi, OIC ada kekuatan dalam soal pendidikan dan ekonomi, itu setakat yang mampu dilakukan. Ia antara tindakan proaktif dilakukan OIC, mengambil sebanyak kekangan terpaksa dilalui pertubuhan itu sendiri.
Malaysia Tidak Boleh Bersendirian Perjuangkan isu Gaza, Palestin
Soalan (S): Pandangan Datuk terhadap kenyataan Presiden AS sendiri, Donald Trump mengenai pengusiran penduduk Gaza dari tanah air mereka dan melakukan pembangunan semula? Jawapan (J): Ada tiga sebab saya berpandangan tidak mudah untuk Trump melakukan sewenang-wenangnya terhadap Gaza kerana ada blok ekonomi menjadi saingan kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), blok ekonomi AS dan Barat, iaitu organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) serta banyak negara membangun lain.
Mereka secara terang-terangan menentang sikap dan pendirian Trump terhadap Gaza yang menganggap wilayah itu milik AS dan boleh melakukan apa jua disukai. Saya fikir ini tidak semudah diharapkan Trump. Kedua, naratif Zionisme dan sikap bias AS dalam soal Israel terhadap Palestin ini sudah ditolak masyarakat dunia khususnya di Barat. Pelajar universiti, pensyarah dan rakyat berdemonstrasi di bandar besar, hatta di New York.
Malah, masyarakat Yahudi juga menolak naratif Zionisme yang sebenarnya mengheret mereka kepada masalah dengan dunia. Naratif Zionisme sudah ditolak walaupun media Barat cuba mempertahankan dan menafikan hak rakyat Palestin terhadap negara mereka sendiri.
Ketiga, soal pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik dilakukan Israel di Palestin sudah ditolak dunia. Mereka tidak boleh menerima pendekatan membunuh rakyat dengan bom dibantu AS. Media sosial menjadi sumber utama dunia pada waktu ini hingga masyarakat global umumnya tidak dapat menerima. Cadangan Trump itu tidak mudah untuk dilaksanakan dan saya tidak nampak ia akan berjaya. Sekiranya dicuba juga, dunia akan bertindak balas dengan cara tidak boleh dijangkakan.
S: Bagaimanakah Datuk melihat reaksi negara Islam lain, terutama negara Arab? J: Negara Arab sudah mengambil pendirian sekata menolak pendirian Trump untuk mengusir penduduk Gaza, diambil alih dengan sewenang-wenangnya dan membangunkan Gaza mengikut kehendak cita rasa Trump dan memaksa negara Arab menerima penduduk Palestin di negara masing-masing. Umumnya sudah ditolak, tetapi saya fikir pemimpin negara Arab mungkin ingin berkompromi kerana mendapat tekanan dariapda Trump.
Namun, mereka terpaksa berhadapan dengan rakyat masing-masing yang sudah muak dengan sikap menyerah dan tunduk kepada hegemoni AS serta Zionisme dalam negara mereka. Jadi, mana-mana pemimpin negara Islam di negara Arab tunduk kepada kehendak Trump akan berhadapan dengan rakyat yang akan memberontak. Saya fikir ini satu perkara yang akan menimbulkan lebih banyak ketidakstabilan di negara Arab.
Saya berpandangan negara Arab setakat ini, nampaknya sepakat mempertahankan hak rakyat Palestin dan tidak menjadikan negara mereka tempat unutk menerima pelarian Palestin. Rakyat Palestin juga menolak dan sanggup mati kerana mempertahankan tanah air mereka. Saya fikir keadaan ini akan menimbulkan kegoncangan politik di negara Arab dan saya nampak rakyat semakin meluat sekiranya terus tunduk di bawah kehendak mereka. Ini satu petanda tidak baik yang akan menimbulkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara berkenaan.
S: Selain cadangan pembinaan Bandar Wakaf Malaysia, apa lagi Malaysia boleh lakukan, selain penyaluran bantuan kemanusiaan dan kewangan? J: Saya fikir dalam soal mahu membangunkan Gaza dan Palestin serta isu berkaitan, Malaysia tidak boleh bertindak sendirian. Sudah tiba masanya Malaysia, Indonesia dan negara lain mempunyai kesepakatan untuk menjalankan bantuan secara bersama membangunkan Gaza yang sudah hancur lebur dibom Israel dengan menggunakan bom disalur AS.
Saya fikir apa juga tindak-tanduk untuk membantu Gaza harus dilakukan dalam bentuk gabungan, kesepakatan antara negara ingin membantu, termasuk negara Eropah dan seluruh dunia. Itu bagi saya pandangan lebih realistik. Apabila dunia nampak bersatu dalam soal Palestin, AS dan Israel akan berfikir 10 kali sebelum melakukan perkara tidak masuk akal.
S: Sejauh mana keupayaan kita untuk berkata ‘tidak’ jika katakan Trump meminta Malaysia menyokong rancangan gilanya? J: Pertama, kita mengakui negara kita kecil, namun kita adalah negara berprinsip. Mana mungkin kita boleh membutakan mata terhadap genosid dan penghapusan etnik pada abad ke-21 ini dengan tidak menyatakan pendirian kita. Malaysia perlu mengekalkan pendekatan tidak memihak kepada Barat atau Timur. Sebagai negara kecil, kita kena berkerjasama dengan semua kuasa ekonomi dunia dan kuasa besar dunia. Kita juga negara berada di tengah-tengah Asia.
Jadi, Malaysia perlu menggunakan Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memastikan ASEAN betul-betul kawasan bebas daripada sebarang cengkaman kausa besar dunia, apalagi daripada AS. Eratkan hubungan dan pendirian bersama bagi menghadapi tekanan dan sekatan ekonomi AS. Saya fikir ini satu langkah wajar yang boleh dilakukan.
Begitu juga lawatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia, ke Indonesia dan Pakistan ada kaitannya untuk mengadakan satu tindakan dan pendirian bersama terhadap tindakan Trump yang terang-terangan bertindak ala koboi tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa. Saya fikir Erdogan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Prabowo Subianto tentu membincangkan perkara ini.
Sekiranya Trump bertindak terhadap negara yang menentang tindakan unilateral ini, Turkiye, Malaysia, Indonesia dan Pakistan dapat menyatakan pendirian bersama dan dapat menyokong antara sesama lain. Langkah pencegahan ini memberi mesej kepada Trump bahawa beliau tidak boleh melakukan apa juga yang beliau suka kerana dunia sudah bangkit. Dunia boleh berpakat bagi menentang sebarang tindakan tidak selari dengan kemanusiaan.
PRESIDEN WADAH UNGGULI MISI UMMATIK DALAM MEMBINA GENERASI AL-FALAH DI SMK BANDAR BARU BANGI Bandar Baru Bangi, 14 Februari 2025 – Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi atas kejayaan penganjuran program “Misi Ummatik Membina Generasi Al-Falah: Peranan Ibu Bapa dan Guru” yang telah berlangsung dengan […]
Malaysia Madani: Jalan Terbaik Menuju Kedamaian dan Keharmonian Majmuk KOTA KINABALU – Malaysia Madani menerapkan konsep yang bersifat universal, merupakan jalan terbaik bagi mencapai kedamaian dan keharmonian khususnya buat rakyat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Penasihat Khas Menteri Luar Negeri (Kemanusiaan dan Pembangunan Semula), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, Malaysia Madani merujuk kepada […]
Hubungan Malaysia-Afghanistan: Satu Kejayaan Malaysia Madani dan Contoh Buat ASEAN KOTA KINABALU – Penasihat Khas Menteri Luar Negeri (Kemanusiaan dan Pembangunan Semula), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman juga merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyifatkan hubungan baik negara dan Afghanistan adalah suatu kejayaan yang mampu menjadikan Malaysia Madani sebagai contoh kepada negara dalam Association […]
Delegasi Yaman Bertemu NGO Malaysia, Usaha Pemulihan Pendidikan Dibincangkan Kuala Lumpur, 6 Februari – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah menerima kunjungan daripada delegasi Yemen-Turkiye Friendship and Cooperation Association di Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat. Delegasi ini diketuai oleh Presidennya, Dr. Abdul Raqeeb Abdullah Obad, seorang tokoh akademik dari Yaman yang aktif […]