WADAH Merakamkan Takziah atas Pemergian Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), Prof. Datoโ Dr. Muhammad Nur Manuty
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 โ Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan penuh rasa hiba dan dukacita merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham Prof. Datoโ Dr. Muhammad Nur Manuty, Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 26 Jun 2025, jam 11:27 pagi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Perginya Allahyarham adalah kehilangan besar buat umat Islam, khususnya dalam medan dakwah, keilmuan dan kepimpinan umat. Seluruh pimpinan dan warga besar WADAH berasa amat terkesan dengan pemergian seorang tokoh yang begitu berdedikasi, tinggi budi dan teguh dalam perjuangan membina masyarakat yang tercerahkan dengan ilmu dan akhlak Islam.
Allahyarham merupakan Ketua Majlis Istisyari WADAH ke-2, menggantikan tempat Allahyarham Datoโ Dr. Siddiq Fadzil sejak tahun 2021. Sebelum itu, beliau pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ke-4 (1991โ1997) dan sebelumnya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara tahun 1971 hingga 1973. Penglibatan beliau dalam ketiga-tiga entiti โ PKPIM, ABIM dan WADAH โ mencerminkan kesinambungan dakwah dan pencerahan yang beliau bawa sejak zaman pelajar sehingga ke akhir hayat.
Latar Belakang Ilmuwan dan Murabbi Ummah
Prof. Datoโ Dr. Muhammad Nur Manuty merupakan tokoh ilmuwan dan pemikir Islam yang terbilang. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin dan Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seterusnya melanjutkan pengajian di Temple University, Philadelphia, Amerika Syarikat, sehingga memperoleh ijazah Sarjana (MA) dan PhD dalam bidang Pemikiran Islam dan Perbandingan Agama.
Beliau berkhidmat sebagai pensyarah dan pentadbir di beberapa institusi terkemuka, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (1974โ1983) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1983โ1999), antaranya sebagai Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan Pusat Pengajian Lanjutan & Khidmat Masyarakat. Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Markfield Institute of Higher Education, UK.
Beliau turut menjadi Presiden Kolej Dar Al-Hikmah (2021โkini), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA, 2018โ2020) dan terakhir sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 2023.
Allahyarham juga terpilih sebagai Anggota Kehormat Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) yang berkuatkuasa pada 15 Julai 2024 lepas. Allahyarham juga dianugerahkan โDiamond Awardโ sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik yang dianjurkan oleh Muslim Convert Association of Singapore (MCAS) pada 18 Januari 2025 lepas.
Komitmen dalam Pencerahan Ummah
Allahyarham amat aktif membentangkan kertas kerja, pengisian wacana dan menjadi panel dalam pelbagai seminar serta forum keilmuan. Sehingga ke akhir hayat, beliau masih menjadi pengisi tetap Kuliah Tanwiri anjuran WADAH-ABIM-PKPIM di Kolej Dar Al-Hikmah, menandakan komitmen beliau yang berterusan dalam menyemarakkan wacana pemikiran Islam yang mendalam dan membangun jiwa masyarakat.
Pada 23 November 2021, buku beliau bertajuk โJejak-Jejak Pencerahan Umatโ telah dilancarkan oleh YAB Datoโ Seri Anwar Ibrahim, sebagai catatan perjuangan, pengalaman dan panduan bagi aktivis gerakan Islam untuk terus membawa agenda pencerahan melalui pendekatan ilmu, tarbiah dan aktivisme.
Peranan dalam Politik Berprinsip
Dalam medan politik, Allahyarham aktif bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Ketua Penerangan (2010โ2014) dan kemudian sebagai Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama. Beliau pernah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) pada 17 Disember 2015 mewakili Dewan Undangan Negeri Selangor untuk dua penggal. Beliau juga pernah bertanding dalam PRU 1999 (Parlimen Larut) dan PRU 2013 (Parlimen Bagan Serai).
Keputusan beliau menyertai PKR selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 memperlihatkan iltizam beliau terhadap keadilan dan prinsip kebenaran yang diyakini.
Info Pengebumian
Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung selepas solat Asar di Masjid Al-Um, Bangi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.
Sesungguhnya pemergian Prof. Datoโ Dr. Muhammad Nur Manuty merupakan kehilangan besar yang sukar dicari ganti. Namun WADAH yakin, legasi ilmu, pemikiran dan perjuangan beliau akan terus hidup dalam jiwa para murid dan pendokong gerakan Islam yang tercerahkan.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Moga Allah mengampuni segala dosa beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.”
Kajang, 22 Mei โ Program Jamuan Kasih Pelajar al-Hikmah telah berlangsung di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh ukhuwah, kesyukuran dan kebersamaan. Program ini turut dihadiri oleh petugas Sekretariat WADAH Pusat, yang bersama-sama menyantuni para pelajar serta menzahirkan sokongan terhadap usaha membina ekosistem pendidikan yang berteraskan kasih sayang, adab dan kepedulian. […]
PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 โ Di sebalik kehangatan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz yang sedang menghimpit ekonomi dunia, pasak pertahanan dan masa depan sesebuah negara kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ditentukan oleh kedaulatan digital dan penguasaan teknologi. Menyedari hakikat ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman, […]
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 โ Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2026โ2028. Istiadat rasmi yang penuh gilang-gemilang itu telah berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara pada 18 […]
CHEMOR, 21 Mei 2026 โ Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Perak dengan kerjasama Wadah Wanita (SALWA) Negeri Perak, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak, dan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) telah menganjurkan Program Usrah Gabungan peringkat negeri malam tadi. Program yang berlangsung di Bilik Gerakan Dr. Siddiq Fadzil, Maahad Al Ummah, Chemor ini […]