UTAMAKAN MENUNTUT ILMU BERSEMUKA

Kongsikan artikel ini :

Utamakan Menuntut Ilmu Bersemuka, Raih Keberkatan

Masa kini, ikhtiar mencari ilmu agama tidak lagi terbatas kepada duduk di dalam masjid atau surau semata-mata kerana seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangam media sosial, kuliah agama boleh diakses dengan sentuhan jemari pada telefon pintar ataupun ketukan pada papan kekunci sahaja.

Kewajipan menuntut ilmu masa kini turut menguji rasional Muslim khasnya apabila menyentuh hukum mempelajari ilmu agama khasnya secara dalam talian atau berkewajipan menghadiri majlis ilmu secara bersemuka. Kaedah mana yang lebih afdal persoalannya.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (UNISEL), Ustaz Hasri Harun, umat Islam harus berlaku adil dalam mengambil peluang dan ruang menuntut ilmu melalui kedua-dua platform ini. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

“Mengikuti kuliah di masjid dengan mendengar secara langsung amat bererti. Suasana itu mencipta rasa khusyuk yang sukar digambarkan.

“Ada aura tidak dapat ditemui dalam mana-mana platform digital. Bertemu dengan jemaah, bersalaman selepas solat dan duduk berdekatan dengan pengajar sama ada ustaz atau ustazah mampu memberi rasa hubungan sesama insan yang mendalam, bukan sahaja kepada ilmu, tetapi juga kepada persaudaraan Islam.

“Namun begitu, jika dibandingkan dengan mengikuti kuliah dan ceramah melalui media sosial seperti Youtube, bahkan menonton Tiktok dakwah ringkas tetapi padat mesejnya ada kelebihan dan kekurangan jika dibandingkan dengan menghadirinya di masjid dan surau,” katanya.

Teknologi Moden Tidak Menggantikan Bersemuka

Beliau mengakui, teknologi memberikan akses mudah dan fleksibel kepada ilmu agama selain membuka pintu kepada pelbagai pendekatan dakwah kreatif, menjadikan ilmu lebih menarik dan mudah difahami, terutama bagi golongan muda yang berdepan keterbatasan masa dan tempat.

“Cuma apa yang lebih penting adalah kita harus mengetahui pentingnya menuntut ilmu supaya tidak terjerumus kepada kejahilan dan tidak mudah diperkotak-katik dalam hidup dan soal agama.

“Allah SWT memerintahkan manusia menuntut ilmu supaya tidak terjerumus ke dalam kejahilan menerusi firman-nya pada Surah Az-zumar, ayat 9 bermaksud; Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah sama orang mengetahui (berilmu) dengan orang tidak mengetahui?”.

“Begitu juga hadis Rasulullah SAW riwayat Muslim bermaksud; Sesiapa menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya satu jalan menuju ke syurga.

“Ayat al-quran dan hadis ini menjadi petunjuk bahawa ilmu adalah cahaya membezakan ‘orang celik dengan buta’. Maka, tidak kira di mana ilmu itu disampaikan sama ada di dalam masjid, surau atau melalui media sosial, yang paling utama ialah ia dapat membawa kita mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, umat Islam harus sedar tidak semua yang berbicara soal agama di media sosial mempunyai latar belakang ilmu kukuh.

Waspada Video Kuliah Disunting

“Ada kala sesetengah video perkongsian agama sudah disunting menjadi pendek menyebabkan maksud sebenar ilmu disampaikan itu disalah fahami. Atas kecetekan ilmu dalam kalangan masyarakat, sikap sebegini akan melahirkan golongan jahil dan memberi kesan buruk dalam dunia keilmuan. “Hinggakan ada segelintir masyarakat tanpa usul periksa mengambil sesuatu ketetapan atau hukum tanpa memiliki dasar ilmu pun. Jangan kita lupa peringatan Allah pada Surah al-hujurat, ayat 6 bermaksud; Wahai orang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik dulu (tabayyun) kebenarannya.

“Nabi SAW bersabda menerusi hadis riwayat Bukhari; Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat, dan berbicaralah mengenai Bani Israil, tiada salahnya. Dan sesiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di neraka,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang dijelaskan dalam hadis ini adalah menggalakkan umat Islam menyampaikan ilmu, tetapi perlu mengutamakan kesahihan dan amanah ketika menyampaikannya, terutama di media sosial kerana mudah tular.

Tegas beliau, menuntut ilmu di kedua-dua platform iaitu secara bersemuka di masjid atau surau dan di media sosial mempunyai nilai tersendiri

“Masjid atau surau atau di mana sahaja majlis ilmu bersemuka akan membawakan suasana lebih rapat dan hubung kemanusiaan erat, manakala media sosial lebih kepada memudahkan kita mencari ilmu tanpa mengira masa dan tempat.

“Kuncinya adalah kebijaksanaan Muslim untuk menuntut ilmu dengan menilai, memilih dan menyaring sumber dengan cermat dan betul. Lebih penting, sejauh mana kita menjadikan ilmu itu meresap ke dalam hati dan diamalkan dalam kehidupan harian supaya meraih keberkatan,” katanya.

Memelihara adab dan tanggungjawab

Hasri menjelaskan, teknologi memberi kemudahan kepada Muslim terutama wanita untuk menuntut ilmu, walaupun tidak dapat hadir ke masjid atau surau.

“Maka, wanita yang mendengar kuliah dari rumah tetap memperoleh keberkatan ilmu, asalkan mereka memelihara adab dan tanggungjawab dalam kehidupan mereka.

“Wanita yang tidak dapat hadir bersemuka ke masjid atau surau kerana faktor keluarga atau kesulitan, berhak memperoleh ilmu melalui media sosial. Ini suatu rahmat Allah SWT berikan, kerana membantu mereka memperoleh ilmu, walaupun berdepan pelbagai kekangan seperti menguruskan anak atau tidak ada teman untuk ke masjid atau surau,” katanya.

Beliau berkata, media sosial boleh jadi wasilah (alat), tapi ia bukan pengganti majlis ilmu secara langsung dan perkara ini harus difahami dengan sebaiknya.

“Rasulullah SAW mengajar kita adab yang melahirkan keberkatan, bukan sekadar mendapatkan maklumat. Oleh itu kita perlu kembali kepada roh sebenar menuntut ilmu iaitu dengan adab, kehadiran dan penghormatan,” katanya.

Ini kerana katanya, menuntut ilmu bukan sekadar hendak tahu, tapi adalah satu ibadah yang perlu dilakukan dengan ikhlas, tawaduk dan penuh adab.

Adab Datang Sebelum Ilmu

“Dalam Islam, adab itu datang sebelum ilmu. Sahabat Rasulullah SAW diajar cara duduk, mendengar dan bertanya. Ia ditunjukkan dalam kisah malaikat Jibril duduk rapat, hormat, tenang ketika bertanya Rasulullah SAW. Itulah adab menjadi contoh menuntut ilmu.

“Walaupun sekarang kita ada media sosial, kuliah dalam talian atau menonton Youtube dan Tiktok, jangan sampai kita abaikan keberkatan majlis ilmu secara bersemuka,” katanya.

Oleh itu katanya, menghadirkan diri ke masjid atau ke surau untuk menuntut ilmu akan meraih keberkatan, mendapat doa malaikat dan mewujudkan hubungan istimewa antara guru dan murid.

Hasri berkata, dalam proses mencari ilmu, umat perlu mengelak memberi alasan mudah seperti ‘sibuk’, ‘tiada masa’ atau boleh dengar secara dalam talian sahaja.

Ini kerana katanya, keberkatan ilmu sangat bergantung kepada niat dan cara menuntutnya.

“Niat yang ikhlas dan tanggungjawab memanfaatkan ilmu adalah kunci utama untuk mendapatkan keberkatan, tidak kira sama ada menuntut ilmu itu dalam majlis ilmu di masjid dan surau atau melalui media sosial.

“Jika seseorang menuntut ilmu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah, menyebarkan kebaikan dan bukan semata-mata mengejar habuan duniawi atau kebanggaan diri, maka ilmu diperoleh, walaupun dari media sosial, tetap mempunyai potensi untuk diberkati.

“Namun, menuntut ilmu melalui media sosial perlu berhati-hati. Ada banyak ilmu sahih, tetapi ada juga ilmu bercampur dengan kesilapan atau kekeliruan.

“Jika seseorang tidak berhati-hati memilih sumber atau pengajar bertauliah, maka itu boleh menyebabkan ilmu diperoleh tidak diberkati atau mengelirukan kita,” katanya.

Beliau berkata, memilih guru berilmu dan berakhlak adalah sangat penting, sama ada dalam bentuk kuliah langsung atau melalui media sosial.

“Perkara penting dalam mencari ilmu adalah adab. Menuntut ilmu dengan adab yang betul, walaupun daripada media sosial, membolehkan kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM

TINDAKAN BERANI DI ICJ BERKENAAN ISRAEL

Malaysia Tegas Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ): Presiden WADAH Nyatakan Dunia Sudah Penat Lindungi Israel Kuala Lumpur, 30 April 2025 – Kenyataan lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) disifatkan sebagai satu tindakan berani dan konsisten dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin. Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia […]

Baca Lanjut

TULAR DUNIA VS TULAR AKHIRAT

Tular Dunia vs Tular Akhirat: Timbalan Presiden WADAH Seru Masyarakat Tapis Maklumat Sebelum Sebar Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Masyarakat diingatkan agar lebih berhati-hati dalam menularkan sebarang maklumat di media sosial supaya tidak terjebak dalam kancah fitnah tular dan adu domba yang boleh membawa kerosakan sosial. Seruan ini disampaikan oleh Ustaz Hasri Harun, Pensyarah […]

Baca Lanjut

SALAM TAKZIAH

SALAM TAKZIAH Wadah Pencerdasan Umat Malaysia mengucapkan takziah kepada Pertubuhan Pertubuhan IKRAM Malaysia dan seluruh ahli keluarga Allahyarham Hj. Shahrul Aman Mohd Saari, Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia yang telah meninggal dunia pagi tadi di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya. Bergiat aktif dalam kerja dakwah dan aktivisma, WADAH turut berdukacita atas pemergian beliau. WADAH berkesempatan […]

Baca Lanjut

UTAMAKAN MENUNTUT ILMU BERSEMUKA

Utamakan Menuntut Ilmu Bersemuka, Raih Keberkatan Masa kini, ikhtiar mencari ilmu agama tidak lagi terbatas kepada duduk di dalam masjid atau surau semata-mata kerana seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangam media sosial, kuliah agama boleh diakses dengan sentuhan jemari pada telefon pintar ataupun ketukan pada papan kekunci sahaja. Kewajipan menuntut ilmu masa kini turut menguji […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
457244
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
738,168
Klik Sini
Enable Notifications OK No thanks