KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN PERPADUAN KUKUHKAN PEMBINAAN MALAYSIA YANG LEBIH BAIK

  1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) amat mengalu-alukan dan mendokong sepenuhnya ikhtiar dan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menganjurkan parti-parti politik yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan iaitu pentadbiran inklusif melibatkan perwakilan dan kepentingan semua kaum dan agama yang majmuk di negara ini. WADAH berharap ketua-ketua parti politik menjunjung aspirasi YDPA yang sungguh mulia tersebut demi memastikan Malaysia dapat bergerak ke hadapan dengan lebih baik dan maju.

  2. WADAH juga menganjurkan seluruh perkumpulan politik di negara ini menghormati mandat rakyat yang diterjemahkan pada PRU ke-15 yang lalu. Keluhuran amalan demokrasi hendaklah dijayakan dengan matang, berlapang dada dan terbuka. Parti politik yang mendapat kedudukan pertama pada pilihan raya yang lalu hendaklah diberi keutamaan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan seterusnya membina satu permuafakatan politik yang kukuh bagi menjayakan agenda pembangunan negara.

  3. WADAH berpandangan, pengalaman politik negara pada penggal lalu yang memperlihatkan sebahagian ahli dan perkumpulan politik mempermain-mainkan mandat rakyat sehingga menjadikan politik negara dalam keadaan tidak stabil mesti dijauhi dan dihindarkan. Sesebuah kerajaan yang terbina tanpa bersandarkan mandat rakyat boleh membawa negara ke kancah perpecahan seterusnya melemahkan pembangunan ekonomi serta kebajikan rakyat.

  4. WADAH juga ingin menasihatkan seluruh rakyat agar tidak terjebak dalam kegiatan menularkan sentimen yang mengapi-apikan kebencian antara kaum dan agama pasca-PRU ke 15. Seluruh rakyat diseru kembali bersatu padu dan mengamalkan budaya hidup rukun damai sebagai warganegara Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab pada perlembagaan negara.

Sekian.

DATO’ AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Persatuan Wadah Pencerdasan
Umat Malaysia (wadah)

PERTUBUHAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) didaftarkan pada 9 November 2005 dengan hasrat untuk memperkasa umat melalui usaha meningkatkan ilmu, kecerdasan dan daya fikir masyarakat dalam memahami agama Islam dan menanggapi isu semasa.

Langgan untuk info terkini

AKTIVITI

Hubungi Kami

Anjung Rahmat, Pusat Dakwah Dan Tarbiah Wadah, No. 7, Lot 2996,
Persiaran Makmur, Sg. Merab
Luar, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

 03 – 8920 2142
 wadahpusat@gmail.com
Isnin – Jumaat  |  9:00 AM – 5:00 PM

Ikuti Kami

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok

Pencerdasan