WADAH PENCERDASAN UMAT

ILMUWAN ISLAM PERLU AKTIF TARBIAH UMAT

18 Ogos 2021 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman mengajak para ilmuwan Islam di Malaysia agar aktif mentarbiah umat yang kini dahagakan ilmu pengentahuan dari segenap segi. Menurut beliau, negara kita hari ini telah memiliki ramai ilmuwan dalam pelbagai bidang kehidupan. Oleh itu, para ilmuwan ini hendaklah digembleng secara teratur agar ilmu yang dimiliki mereka dapat dimanfaatkan umat terbanyak yang berada di akar umbi. Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan program Kuliah Mingguan Ilmuwan Islam dan peluncuran Tabung Infaq Semarak Ilmu, anjuran Nadwah Ilmuwan, satu badan ilmiah yang ditubuhkan dan dinaungi oleh Wadah.

Ahmad Azam turut menjelaskan iaitu kegiatan kuliah, seminar dan wacana ilmu hendaklah diperbanyakkan kerana ia adalah sebahagian dari mekanisme ke arah mentarbiah umat. Beliau mengingatkan ahli-ahli gerakan Islam supaya lebih aktif menggerakkan acara ilmu memandangkan “pentarbiahan umat merupakan salah satu kegiatan utama gerakan Islam’. Dalam erti kata lain, mentarbiah atau mendidik umat adalah tugas asasi yang mesti dilaksanakan oleh gerakan Islam hari ini.

Sehubungan itu, Wadah dan seluruh rangkaiannya mesti menjadikan agenda tarbiah umat sebagai kegiatan utama samada dalam bentuk lisan, persuratan dan ketauladan. Agenda ini akan dapat membantu dalam membangunkan naratif yang tepat terhadap hakikat agama Islam dan masyarakat Muslim yang sering disalahfahami. Untuk tujuan itu, pembangunan kandungan ilmu mesti diperbanyakkan dan disebarkan kepada masyarakat bagi memastikan umat mendapat naratif pengetahuan Islam yang tepat dan positif. Oleh itu, Ahmad Azam menyeru gerakan Islam agar memanfaatkan teknologi maklumat agar ia dapat digunakan secara positif ke arah pembangunan ummah.

Kuliah Mingguan Ilmuwan Islam ialah acara mingguan yang diadakan pada setiap hari Rabu. Para ilmuwan terpilih akan memberikan kuliah dalam tempoh antara lima ke sepuluh minggu berpandukan pelbagai tajuk yang dikenalpasti. Ia disiarkan secara langsung menerusi laman digital.

Siri pertama Kuliah Mingguan Ilmuwan Islam dipimpin oleh Prof. Madya Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan tajuk “Tasawuf dan Penyucian Jiwa Menurut Islam”. Siaran ulangan boleh diikuti semula menerusi mywaptv.

Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi