WADAH Lancar Pusat Kajian Dakwah Razali Nawawi Sempena Jamuan Aidilfitri Usrah WADAH Pusat
Kajang, 12 April 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengorak langkah strategik dalam memperkukuh agenda dakwah tanah air dengan melancarkan Pusat Kajian Dakwah Razali Nawawi (PKDRN) dalam satu majlis yang digabungkan bersama Jamuan Hari Raya Usrah WADAH Pusat di Anjung Rahmat, Sungai Merab, Kajang.
Majlis pelancaran PKDRN yang berlangsung tepat jam 10.00 pagi itu dihadiri oleh ahli-ahli usrah dan para pendukung WADAH yang turut membawa ahli keluarga masing-masing dalam suasana Syawal yang penuh kemesraan dan ukhuwwah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha pengukuhan institusi dakwah di Malaysia. Kehadiran beliau mencerminkan keterlibatan kerajaan dalam mengiktiraf peranan institusi masyarakat sivil dalam memartabatkan kefahaman Islam yang rahmatan lil ‘alamin.
Perasmian PKDRN dimulakan dengan ucapan oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), yang kemudian menyempurnakan acara simbolik pemotongan reben di pintu masuk pusat tersebut. Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang peri pentingnya kesinambungan perjuangan golongan muda dalam meneruskan risalah dakwah dan tarbiah yang digalas oleh generasi terdahulu.
Sumbangan Besar Allahyarham Dr Razali
Mengimbau kenangan lamanya bersama gerakan dakwah di Kuwait, beliau berkongsi pengalaman menghadiri muktamar antarabangsa anjuran gerakan Ikhwan Muslimin yang menghimpunkan pemimpin Islam dari seluruh dunia. Dalam muktamar tersebut, sumbangan besar disampaikan oleh tokoh Ikhwan Kuwait, almarhum Syeikh Ahmad Sakar, sebagai tanda solidariti dakwah serantau.
Menyorot sumbangan besar almarhum Dr. Razali Nawawi, beliau menyifatkan sosok ini sebagai seorang ilmuan yang pintar, berprinsip dan tajam dalam kritikannya terhadap sistem kewangan Islam yang tidak menepati maqasid keadilan. Dr. Razali, menurut beliau, merupakan seorang yang gemar membaca, mendalami syariah, dan berani menegur kelemahan dalam pelaksanaan sistem Islam kontemporari.
“Beliau seorang pemikir tajdid dan pendidik ulung. Bahkan, di usia lanjut pun tetap komited menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD dalam bidang Islamic Commercial Laws,” ujar beliau.
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur turut memuji keberanian almarhum dalam menjadikan ilmu dan gerakan sebagai satu bentuk dakwah yang menyeluruh. Sumbangan pemikiran almarhum, terutamanya melalui dua buah buku pentingnya, dilihat sebagai asas yang wajar dijadikan rujukan oleh para pelapis gerakan dakwah hari ini.
Beliau turut mengajak generasi muda untuk mendalami dan mengembangkan pemikiran dakwah “Azlinawi”, termasuk keterbukaan almarhum terhadap gagasan Fiqh al-Da’wah, pengaruh tokoh-tokoh seperti Bapak Mohammad Natsir, serta keterlibatannya dalam jaringan antarabangsa gerakan Islam.
Matlamat Penubuhan Pusat Kajian
PKDRN ditubuhkan sebagai satu inisiatif untuk mengembangkan pemikiran dakwah Almarhum Prof. Dato’ Dr. Razali Nawawi, tokoh murabbi dan pejuang dakwah tanah air yang banyak mencorak hala tuju gerakan Islam di Malaysia. Penubuhannya di Sungai Merab, Kajang, Selangor ini bertujuan memperkukuhkan usaha dakwah secara lebih sistematik, inklusif dan berkesan.
Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menjadi pusat penyelidikan dalam bidang dakwah dan harakah Islamiyah, selain mengembangkan idea serta pendekatan dakwah kontemporari yang sesuai dengan cabaran zaman. PKDRN juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan, dokumentasi dan penyebaran bahan-bahan dakwah serta harakiy untuk dijadikan rujukan ilmiah dan strategik oleh para pendakwah, penyelidik dan aktivis. Sebagai pelengkap, sebuah perpustakaan mini turut disediakan dengan koleksi pelbagai kitab tafsir, hadith serta buku-buku ilmiah dalam genre Islam, dakwah, kepimpinan dan pembangunan insan.
Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, dalam ucapannya menegaskan bahawa PKDRN bukan sahaja sebagai penghormatan terhadap jasa Almarhum Dr. Razali, malah ia adalah komitmen WADAH untuk menyambung legasi perjuangan dakwah secara berstruktur. Beliau menambah bahawa pusat ini diharap menjadi wadah pemikiran dan pencerahan yang menyumbang kepada penghasilan wacana dakwah yang bersifat segar, berasaskan ilmu dan membumi dalam konteks realiti masyarakat masa kini.
Majlis ini turut diserikan dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang bermula seawal jam 8.15 pagi hingga 11.00 pagi, menyajikan pelbagai juadah istimewa yang disediakan secara bersama melalui konsep potluck dan sumbangan ahli. Kemeriahan suasana diraikan dalam semangat kekeluargaan, menjadikan majlis ini sebagai titik temu yang menyatukan ukhuwah dan tekad perjuangan. Turut menceriakan suasana ialah acara pemberian duit raya kepada kanak-kanak oleh Presiden WADAH sendiri, satu simbol kasih sayang dan semangat kekeluargaan yang menjadi teras perjuangan WADAH selama ini.
Majlis ditutup dengan doa dan harapan agar PKDRN menjadi pemacu kepada gelombang baru dalam pengembangan dakwah Islam di Malaysia dan rantau ini, selari dengan misi WADAH sebagai gerakan pencerahan umat.
JITRA, 14 September 2026 – Memahami peralihan paksi kuasa dunia serta mengantisipasi ancaman anasir luar terhadap fabrik perpaduan nasional menuntut daya fikir yang tajam, matang, dan berteraskan kefahaman strategik dalam kalangan aktivis masyarakat sivil dan gerakan Islam. Menyedari peri pentingnya wacana keilmuan ini, satu persidangan berprestij iaitu Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global telah berjaya […]
SEREMBAN, 23 Ogos 2026 – Memperkukuh saf perjuangan gerakan Islam, menyelaraskan persefahaman fikrah merentas generasi, serta memperkasakan institusi kekeluargaan menjadi intipati teras dalam penganjuran Ijtimak Harakiy Wadah, ABIM, dan Pelajar (WAP) Negeri Sembilan serta Muktamar Negeri (MUKRI) 2026. Perhimpunan tahunan yang penuh bersemangat ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Sri Seremban semalam. Program […]
BAYAN LEPAS, 14 September 2026 – Memahami gelombang perubahan geopolitik antarabangsa serta kesannya terhadap kedaulatan watan menuntut daya fikir yang kritis, matang, dan berpandangan jauh dalam kalangan aktivis gerakan Islam. Kesedaran ini dizahirkan menerusi penganjuran Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PEMBIMBING (WAP) Pulau Pinang 2026 yang berlangsung dengan penuh iltizam bertempat di Dewan Al-Fateh, Kompleks Pendidikan Uthmaniah, Bayan […]
BESTARI JAYA, 10 September 2026 – Dunia keilmuan akademik dan gerakan dakwah masyarakat sivil melakar detik bersejarah apabila Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, secara rasminya menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF), Universiti Selangor (UNISEL). Pelantikan berprestij tersebut disempurnakan bersempena Majlis […]