WADAH PENCERDASAN UMAT

PERBAHASAN PEMIMPIN MASA DEPAN MENGAKHIRI HARI PERTAMA FORUM GLOBAL MADANI 2024

10 – 11 Julai 2024, Kuala Lumpur – Forum Global MADANI 2024 anjuran bersama Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) diteruskan pada sesi petang yang dimulakan dengan perkongsian panel sesi ketiga dengan tema “Strategies to Revive Islamic and Asian Civilizations in the Next 100 years” menampilkan 4 orang panel iaitu YB Senator Dr. Zulkifli Hasan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Steven Sim Chee Keong selaku Menteri Sumber Manusia, En Ameer Ali sebagai Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Dr. Ahmet Temel sebagai kaunselor hal ehwal agama bagi negara Turkiye (DIYANET).

Forum ini dimoderatorkan oleh saudari Suzana Md Samsudi, Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Dalam pusingan pertama, YB Steven Sim memberi peringatan kepada para hadirin agar jangan mudah termakan dengan sentimen perkauman membezakan dan memecahkan masyarakat yang sepatutnya bersatu padu supaya kemakmuran dan keamanan negara dapat dikekalkan.

Panel seterusnya YB Senator Dr Zulkifli pula membuka minda hadirin dengan kenyataan bahawa setelah beratus tahun dunia menjadikan negara barat sebagai tumpuan, kini dunia beralih fokus dan tumpuan kepada negara Asia. Pada abad ke 19, negara Eropah menjadi model contoh, abad ke 20 pula Amerika dan kini abad ke-21, dunia berubah mengorientasikan Asia hari demi hari. Ini satu peluang yang perlu kita semua sambut menurut beliau.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi ucapan di atas pentas

Seterusnya, En Ameer Ali dengan kepakaran beliau dalam bidang ekonomi berkata, jika dahulu perbahasan banyak berkisar antara manusia islamik versus manusia ekonomi, ianya terpisah, maka kini untuk perancangan 100 tahun mendatang, kita perlu angkat ekonomi islamik. Sebagai contoh, kekayaan yang dikecapi bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk bantu masyarakat sekeliling, jadi untuk mempunyai kewangan yang kukuh sedemikian, Umat Islam perlu merancang strategi kewangan berkesan berlandaskan Islam supaya ekonomi dunia akhirnya dikuasai oleh orang Islam.

Akhir sekali, Dr Ahmet Temel membentangkan perbandingan antara tokoh Ilmuwan di Turki dengan di Malaysia. Antara nama yang disebut ialah Cemil Meric, Nurettin Topcu dan Sezai Karakoc yang memberi sumbangan besar dalam bidang sejarah Islam, Falsafah Islam dan perundangan Islam. Di Malaysia pula, nama yang beliau sebut ialah Syed Naquib Al-Attas, Syed Husein Al-Attas, Wan Muhammad Noor dan Taha Abdurrahman.

Sebagai penutup hari pertama, Perkongsian panel sesi 4 membawa tema “The Future Leaders We Need for a Civilizational Revival” menampilkan 3 orang panel dan dimoderatorkan oleh saudara Muhammad Dzul Aiman Zulkefly, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sesi bergambar perkongsian panel terakhir, dari kiri, Profesor Madya Dr. Norfadhilah Mohamad Ali, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Dr. Mostafa Faisal Parvez

Panel pertama, Profesor Madya Dr. Norfadhilah Mohamad Ali, Pensyarah Sains Islamik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata salah satu ciri pemimpin masa depan ialah seseorang itu hendaklah berfikir secara global dan bergerak secara bersama, bukan berseorangan serta boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang kini berlaku dengan sangat pantas. Panel kedua pula saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyenaraikan 5 ‘big whys’ yang perlu ada dalam diri pemimpin masa depan. Senarai tersebut ialah ummatik versus individualistik, lokal versus antarabangsa, berilmu versus kejahilan, eksklusif versus inklusif dan VVIPs versus bukan sesiapa.

Panel terakhir, Dr. Mostafa Faisal Parvez, Setiausaha Agung IIFSO menyatakan beberapa cabaran yang perlu dihadapi Umat Islam masa kini. Antaranya ialah kekurangan kepimpinan yang berpusat, negara-negara Islam yang kurang bersatu, kesan pemerintahan kolonial, insiden Arab Spring dan sistem politik yang lemah di negara Islam.

Semua perkongsian bermanfaat ini boleh ditonton di video di bawah.

https://youtu.be/m_T-qnDXDp4






































Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi