WADAH PENCERDASAN UMAT

PEMERGIAN MURABBI USTAZAH DATIN DR. SITI ZALIKHAH MD NOR

SALAM TAKZIAH

Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Khabar duka buat warga WADAH-ABIM-PKPIM seluruhnya, pemergian murabbi yang dikasihi.

Seluruh warga WADAH mengucapkan takziah kepada YB Fadhlina Sidek dan seluruh keluarga atas pemergian ibunda tercinta, Ustazah Datin Dr. Siti Zalikhah Md Nor. Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.30 pagi 16 Jun 2024 di Hospital Serdang dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Sg. Ramal Dalam.

Sesungguhnya, Allahyarhamah seorang insan yang sangat berjasa sebagai pendidik bangsa mahupun sebagai aktivis masyarakat sejak zaman muda hingga akhir usianya. Beliau yang telah bersara sebagai Profesor Madya daripada UKM, pernah menjadi ahli panel mahupun pakar rujuk dalam pelbagai majlis penasihat seperti JAKIM, Tabung Haji, Pusat Zakat dan sebagainya.

Sebagaimana Allahyarham Dato’ Siddiq Fadzil, Ustazah Datin Siti Zalikha juga aktif dalam penulisan dan kerja-kerja dakwah. Walau dalam kesihatan yang uzur, beliau tetap memberi kuliah berkala, sama ada secara atas talian mahupun fizikal, antaranya Kuliah Matla’ al-Badrayn dan Kaunseling Menurut Perspektif Islam.

Semoga diterima segala amal soleh, kebaikan serta ilmu yang telah dicurahkan sepanjang hayat beliau. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pemberi ganjaran.

BIODATA ALMARHUMAH USTAZAH DATIN DR SITI ZALIKHAH MD NOR ALLAHYARHAM USTAZAH DATIN DR. SITI ZALIKHAH MD. NOR telah dilahirkan pada 18 Mei 1949 di Perak.  Selepas tamat persekolahan menengah, beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Kemudian, berdasarkan pencapaian yang luar biasa, beliau beralih ke dalam bidang undang-undang di peringkat sarjana setelah permohonan peralihan bidangnya dibenarkan oleh almarhum Prof. Dr. Ahmad Ibrahim di universiti yang sama.  Seterusnya, beliau menjadi pelajar Pengajian Islam pertama yang mendapat peluang dan kepercayaan untuk meneruskan dalam bidang perundangan.  Beliau pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian doktor falsafah di Cambridge, namun beliau menolak dengan tekad yang bulat bahawa beliau akan membuktikan anak tempatan juga boleh berjaya di universiti tempatan dan mahu memberi ilham dan harapan serta mencipta masa depan dengan pendidikan Malaysia. Allahyarham Prof. Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md. Nor menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang syariah dan undang- undang dan berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Syariah, UKM sehingga tahun 2005 dan kemudiannya meneruskan perkhidmatan secara kontrak sehingga tahun 2015.  Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji.  Beliau juga seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam. Allahyarhamah Ustazah Datin Dr. Siti Zalikhah telah dilantik menjadi Ketua HELWA ABIM selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dari tahun 1977 sehingga 1985.  Sepanjang penglibatan beliau sebagai Ketua HELWA, beliau banyak menekankan kepentingan pendidikan dan ilmu dalam kalangan wanita.  Datin Dr. Siti Zalikhah banyak menulis, membentang, dan menterjemah karya-karya tokoh Islam berkaitan isu wanita dan peranannya dari perspektif Islam serta kaitan antara wanita dan ilmu.  Antara karya terjemahan beliau ialah ‘Wanita dalam masyarakat Islam’ karya Dr. Hassan at-Turabi dan ‘Matla’ al-Badrin wa Majma’ al-Bahrin’ karya ulama Nusantara, Syeikh Muhammad Ismail Daudi Al-Fatani. Antara buku tulisan Prof. Madya Datin Dr. Siti Zalikhah yang telah diterbitkan oleh pelbagai penerbit khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbit UKM dalam bidang perundangan dan keluarga Islam ialah, ‘Beberapa Aspek Mengenai Keluarga Islam di Malaysia’ (1989), ‘Pemilikan Harta dalam Perkahwinan’ (1996), ‘Al-Syariah Konsep Perundangan Islam’ (1999), ‘Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam’ (2009), ’Mut’ah di dalam Islam’ (2002), ‘Al-Syariah Kehakiman Islam’ (2004), ‘Pembubaran Perkahwinan di Kalangan Pasangan Islam di Negeri Perlis (2005), ‘Jika Sudah Habis Jodoh’ (2005 dan 2016), ‘Al-Syariah: Undang-undang Keterangan Islam’ (2006), ‘Al-Syariah: Fiqh Jenayah’ (2008), dan ‘Anakku Anakmu’ (2008). Beliau juga turut menyumbang dalam penulisan jurnal seperti ‘Beberapa Aspek Mengenai Sabitan Hubungan Biologi Antara Anak dan Bapa Tanpa Nikah’, ‘Wanita dan Kepimpinan dalam Islam’ (1997), ‘Budaya Kepimpinan Perlu Dipertingkatkan’ (1999), ‘Wanita dan Kepimpinan: Sangkaan dan Realiti’, Hak-hak Wanita Menurut Undang-undang Keluarga Islam’, dan ‘Assessing the Working Draft of the Hague Convention on the International Recovery of Child Support and Other Forms of Family Maintenance: Malaysian Shariah Perspective’ (2009). Beliau turut menyumbang artikel berkaitan kesedaran hak-hak wanita dalam perundangan antaranya, ‘Tahkim dalam Kes-kes Keluarga: Kaedah dan Permasalahan’ (2001) dan ‘Sejarah dan Falsafah Perundangan Islam di Malaysia’ (2011).2 Beliau juga aktif membentangkan kertas kerja berkaitan isu wanita, Islam, dan ilmu di seminar-seminar peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.  Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibentangkan ialah ‘Wanita dan Ilmu Menurut Perspektif Islam’ di Seminar Muslimah Teladan II anjuran ABIM (1982), ‘Keguruan menurut pandangan Islam’ yang dibentangkan dalam Kursus Pra-Sekolah (Oktober 1982), dan ‘The process of deislamization in South East Asia – with Special Reference to the Role of Muslimah’ yang telah dibentangkan di dalam Muslim Women’s Seminar –South East Asia Region (April 1983). HELWA di bawah kepimpinan Datin Dr. Siti Zalikhah telah menganggotai Pertubuhan-pertubuhan Perempuan Islam Malaysia dan telah menghadiri muktamarnya pada April 1977 di Dewan Bahasa dan Pustaka.  Perbincangan di dalam muktamar merangkumi tiga tajuk utama iaitu ‘Kebajikan pekerja-pekerja perempuan’, ‘Perancang keluarga’, dan ‘Penjejasan maruah perempuan’ yang laporannya boleh dirujuk menerusi makalah Risalah edisi Mei 1977. Beberapa resolusi dan usul telah dikemukan oleh HELWA dan antaranya ialah gesaan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan Perbadanan Kebajikan Wanita, kemudahan bimbingan agama bagi pekerja-pekerja Islam dalam masa bekerja dan kemudahan beribadat yang sesuai, menyelaraskan cuti bersalin selama 60 hari bagi pekerja-pekerja wanita di semua sektor kerajaan dan swasta, gesaan menubuhkan Lembaga Penapis Iklan bagi menangani isu penjejasan maruah wanita dalam bentuk mempamerkan wanita yang menarik melalui iklan, kalendar, majalah, dan akhbar. 

Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi