WADAH PENCERDASAN UMAT

SEMAIKAN KESEDARAN KEMANUSIAAN ATAS NILAI IHSAN

Kenyataan Media
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
31 Oktober 2023

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengikuti rapat perkembangan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal di Palestin, yang melihatkan bahawa derita dan juga perjuangan warga Palestin kini kian mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat di serata pelusuk dunia.

Dalam pada itu, inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah di seluruh negara, dalam usaha menyemai kesedaran kemanusiaan dan mengangkat semangat kemasyarakatan sejagat wajar diangkat sebagai usaha nasional dalam membentuk generasi warga Malaysia yang cintakan kedamaian dan menolak konflik peperangan.

Pendedahan awal berkenaan isu ini kepada para pelajar di peringkat pendidikan rendah dan menengah juga diyakini mampu memupuk nilai berkasih sayang dan membangun pemahaman yang lebih bermakna akan kepentingan nilai Ihsan sesama manusia, di samping mengetengahkan peri mustahak Malaysia sebagai negara majmuk merentas kaum, agama dan budaya untuk mengamalkan sikap hidup bersama dalam budaya damai.

Isu Palestine adalah isu kemanusiaan sejagat yang tidak tertakluk kepada Agama Islam semata tetapi turut melibatkan agama lain malah keprihatinan isu ini telah menyatukan rakyat pelbagai dari seluruh dunia.

Sementara itu, WADAH turut mengamati bahawa terdapat ruang-ruang penambahbaikan yang wajar diperhalusi oleh pihak KPM, terutamanya dalam aspek garis panduan pelaksanaan serta penekanan kepada penerapan nilai-nilai utama yang telah digariskan.

Dengan pendekatan yang lebih tersusun, Minggu Solidariti Palestin ini juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia dalam kerangka pencegahan fahaman ekstremisme & keganasan (Preventing & Countering Violent Extremism, PCVE) Ini seterusnya mampu mengekang kemaraan sebarang fahaman ekstremis keagamaan mahupun ekstremis perkauman yang mampu mengancam kerukunan hidup bermasyarakat di Malaysia.

Di kesempatan ini, WADAH turut ingin menegaskan bahawa WADAH berdiri teguh dan mendokong penuh pendirian tegas serta usaha-usaha Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia dalam meleraikan situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Palestin.

WADAH berharap semua pihak mampu mengelak daripada terjerat berpolemik dalam isu-isu yang tidak akan membawa kepada kebaikan, dan prasangka buruk (pre-judgement) yang akan merungkai solidariti pada isu yang sedang dideritai oleh rakyat Palestin buat masa ini. Mereka sangat memerlukan sokongan kita dari berbagai sudut.

WADAH juga menyeru agar warga Malaysia dapat terus bersama mendoakan dengan sepenuh hati semoga konflik di Palestin segera selesai, dan agar kita berterusan menzahirkan bantuan kemanusiaan melalui pertubuhan kemanusiaan yang berkredibiliti. Semoga setiap hak warga Palestin terbela dengan sebaiknya.

AZIZUDDIN AHMAD
Setiausaha Agung
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi