WADAH PENCERDASAN UMAT

WADAH SANJUNG TINGGI BELANJAWAN 2024, “REFORMASI EKONOMI, MEMPERKASA RAKYAT”

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik ucapan pembentangan Belanjawan 2024 oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, yang bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” bertempat di Dewan Rakyat pada hari Jumaat, 13 Oktober 2023.
2. Dasar-dasar baru mengenai penyusunan semula kaedah subsidi dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar (targeted subsidy) akan mengukuhkan kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan reformasi ekonomi dan meneruskan agenda Ekonomi Madani. Pengubahsuaian semula dasar (policy readjustment) ini dirasakan perlu untuk memastikan penjimatan subsidi dapat dikembalikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
3. Sesungguhnya ekonomi negara sedang menghadapi zaman-zaman sukar; maka agenda pemerkasaan rakyat yang menjadi teras utama Ekonomi Madani akan terus menunjangi reformasi-islahiy ekonomi negara ini. Usaha-usaha penegakan moral ekonomi sememangnya wajar diberi perhatian dengan tatakelola (governance) yang mantap.
4.WADAH menyanjung tinggi usaha reformasi ekonomi ini untuk meletakkan negara ke landasannya yang betul, setelah melalui pelbagai cabaran dan ketirisan beberapa tahun sebelum ini. Ini akan mengukuhkan integriti dan nilai hormat masyarakat terhadap pengurusan dan birokrasi negara.
5. WADAH juga menyambut dengan positif peruntukan 1.9 bilion untuk pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam di samping mengembalikan peruntukan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR). Pengukuhan terhadap Budaya, Bahasa dan Sastera juga amat baik untuk kemajuan sosio budaya yang penting dalam pembinaan jati diri masyarakat.
6. Peruntukan 100 juta untuk usaha inisiatif NGO dan pertubuhan masyarakat sivil disambut baik kerana ia akan mengukuhkan peranan sektor masyarakat sivil mengupayakan usaha misi pencerahan dan pencerdasan rakyat.
WADAH mengharapkan Belanjawan kali ini dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk manfaat rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi yang sukar. Kerjasama semua pihak sama ada sektor kerajaan, swasta dan NGO atau masyarakat sivil amat penting bagi membina satu ekosistem harmoni membantu pemacuan ekonomi negara.
 
TUAN HAJI AZIZUDDIN AHMAD
Setiausaha Agung
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi