WADAH PENCERDASAN UMAT

TUDUHAN QAZAF: HENTIKAN FITNAH, PELIHARA MARUAH – HGIM

Sejak kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan beberapa insiden secara terang-terangan tuduhan terhadap seseorang sebagai peliwat, yang berlaku di Parlimen sehinggalah ke media sosial.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) ingin mengingatkan bahawa tuduhan liwat kepada seseorang tanpa mengemukakan empat saksi atau pengakuan ikrar tertuduh adalah salah satu kesalahan qazaf menurut hukum syarak.

Qazaf adalah satu tuduhan yang berat dan si penuduh yang gagal membawa empat saksi boleh dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, tidak diterima kesaksiannya dan dianggap sebagai seorang yang fasik.

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” (An-Nuur: 4)

Oleh itu, HGIM ingin mengajak umat Islam, terutama para pemimpin dan agamawan agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan zina atau liwat kepada sesiapa sahaja tanpa bukti yang jelas.

Kita perlu mengambil pengajaran daripada kisah Saidatina Aishah radiallahuanha yang difitnah dan dituduh melakukan zina oleh golongan munafik, lalu Allah SWT membersihkan nama beliau dalam Surah An-Nuur ayat 11 dan ancaman seksa kepada para pendusta.

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Tuduhan jahat dan fitnah yang tersebar luas boleh menggugat kesejahteraan dan kerukunan keluarga, masyarakat dan negara.

HGIM menyeru umat Islam agar tidak mempercayai sebarang tuduhan jahat dan fitnah tanpa bukti, tidak bercakap dan menyebarkan fitnah tersebut, yang merupakan dosa besar di sisi Allah SWT.

“Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, padahal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (An-Nuur: 15)

Islam adalah agama yang amat menjaga maruah dan kehormatan insan, sama ada ia Muslim ataupun bukan Muslim.

Oleh yang demikian, Islam melarang perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti berdusta, mengumpat, memfitnah, maki hamun, menghina, mengaibkan, mengadu domba dan sebagainya.

Himpunan Gerakan Islam Malaysia
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)

Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi