WADAH PENCERDASAN UMAT

SEMINAR FIKRAH SIDDIQ FADZIL: KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN BERLANGSUNG DI KEDAH

5 Ogos 2023, ALOR SETAR – Alhamdulillah, siri ke-3 Seminar Fikrah Siddiq Fadzil kali ini telah diadakan di Dewan Utama Ukir Mall, Alor Setar, Kedah anjuran bersama WADAH, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) & Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH telah hadir memberi ucaptama. Mengangkat tema ‘Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan’, sesi seminar kali ini menampilkan YBhg. Dato’ Ahmad Kasim, Pengerusi Syura WADAH-ABIM-PKPIM Kedah, Dr. Yus’aiman Bin Jusoh @Yusoff, Pensyarah UUM serta Ustaz Saidi Adnan Md Nor, Pensyarah UITM. Moderator oleh Ust. Azfar Abdullah, YDP ABIM Kedah. Turut hadir sama, Pn. Khairul Anum Mohd Ali, Perancang Bahasa Kanan, DBP Wilayah Utara serta Tn. Hj. Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, Pengerusi WADAH Negeri Kedah. Dato’ Ahmad Azam dalam ucaptama beliau menekankan peri penting mengekalkan keharmonian sesama kaum di Malaysia. Hal ini kerana, kedamaian adalah sesuatu nikmat yang sukar diperoleh semula jika ianya tidak dipertahan dan boleh membawa kepada persengketaan, malah juga peperangan. Untuk memenuhi tuntutan keagamaan dan kemanusiaan, umat Islam terutamanya, harus tampil mempelopori usaha mewujudkan masyarakat yang bersatu, hidup bersama dalam perbezaan dan kepelbagaian. Konsep Manhaj Maliziy (Pendekatan Malaysia) seperti yang dicetus oleh Allahyarham Dato’ Siddiq Fadzil amat sesuai diaplikasi dalam mencorakkan latar dakwah nasional dan serantau di mana dasar-dasar Islamisasi lebih lunak diterima dalam latar masyarakat majmuk. Seminar diakhiri dengan ucapan penutupan dari Dato’ Ahmad Nazri Abdullah, mantan Ketua Pengarang Berita Harian. Beliau menyifatkan perbincangan fikrah Dato’ Siddiq Fadzil adalah membincangkan pemikiran menggunakan akal di mana Allahyarham dalam hayatnya cuba membina kekuatan fikrah umat berasaskan akal budi; iaitu umat yang membuat keputusan menggunakan ilmu dan fikiran, bukan sentimen serta budi; generasi berakhlak dan berbudi. Semoga semua beroleh manfaat. Nantikan sesi seminar fikrah seterusnya, InsyaAllah. #Siddiq Fadzil#PencerdasanUmat#DewanBahasadanPustaka






























Jumlah Pelawat Hari ini :
137
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
198,029
© 2024 WADAH. Hak Cipta Terpelihara.
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi