Print this page

MOHON BERTENANG, AKUR KEPUTUSAN AGONG, BIAR PARLIMEN MEMUTUSKAN

1. WADAH menyeru agar semua pihak bertenang, elak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan negara, akur dengan titah YDP Agong yang tentunya membuat keputusan yang adil dan saksama mengikut maklumat yang ada.

2. WADAH dengan tegas menentang sebarang bentuk tafsiran negatif dan liar, akan titah YDP Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8.

3. Dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk membentuk Kerajaan baharu menolak Barisan Nasional yang mengamalkan pemerintahan kleptokrasi di mana pemimpin yang rasuah, mengaut khazanah kekayaan negara untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni tanpa berselindung.

4. Namun demikian Kerajaan Pakatan Harapan atas mandat rakyat untuk melaksanakan REFORMASI tidak dapat berjalan lancar kerana adanya gangguan dalaman dan luaran PH untuk menggagalkannya.

5. Tokoh dan pejuang REFORMASI, Anwar Ibrahim tidak berkesempatan untuk memerintah setelah 20 tahun berjuang untuk keadilan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dengan rekod dipenjarakan sebanyak tiga kali yang memakan masa hampir 10 tahun kesemuanya sejak zaman belia.

6. WADAH berpendapat bahawa rakyat harus akur dengan titah YDP Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8 dan menguji tahap penerimaannya sebagai Ketua Kerajaan di dalam Parlimen yang akan bersidang pada 9 Mac 2020 nanti. Namun demikian beliau boleh menangguhkannya pada tarikh yang difikirkan sesuai selama 6 bulan, mengikut Perlembagaan.

7. Ketokohan Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin yang tegas menentang gejala rasuah menyerlah apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana mengkritik Dato’ Seri Najib atas isu 1MDB.

8. WADAH berharap agar Tan Sri Muhyiddin mampu membentuk Kabinetnya nanti yang terdiri dari kalangan yang bersih dari terpalit dalam gejala rasuah apalagi bagi mereka yang sedang menghadapi kes Mahkamah berkenaannya.

9. Negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi yang gawat, maka dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin ini, walaupun penuh kontroversi, WADAH berpendapat biarlah seluruh undang-undang sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan dipatuhi dengan penuh sabar dan berhikmah.

AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden WADAH
1 Mac 2020

 
Read 1561 times Last modified on Tuesday, 28 July 2020 08:40