Print this page

Dr Morsi telah Korbankan Nyawanya untuk Mesir

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH sedih dengan kematian secara tiba-tiba Dr Muḥammad Muḥammad Mursī'Īsā al-'Ayyāṭ, atau Dr Mohamed Morsi, presiden pertama yang terpilih secara bebas Republik Arab Mesir. Dr Morsi meninggalkan isterinya, Naglaa Ali Mahmoud, bersama lima orang anak dan tiga orang cucu.

Dengan penuh takzim, WADAH merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya, rakan-rakan seperjuangan dan para penyokongnya. Semoga Allah mencucurikan rahmatNya ke atas ruh almarhum Dr Morsi dan menempatkannya di kalangan mereka yang tertinggi dan paling dekat dengan Maha Pencipta.

Kematiannya semasa di bawah tahanan rejim zalim yang merampas kuasa secara tumpahan darah ganas, mencerminkan sekali lagi kematian demokrasi di Mesir. Dr Morsi yang menderita mengalami masalah kesihatan, dilayani dengan kejam, diletakkan di dalam kurungan bersendirian, dinafikan kemudahan perubatan yang betul dan dihalang daripada menerima lawatan keluarga. Dalam tempoh enam tahun dia dipenjarakan, keluarganya hanya dibenarkan melihatnya sekali. Tuduhan terhadapnya yang dibawa oleh pendakwaraya kerajaan Mesir ternyata palsu, tidak masuk akal dan menjadi testimoni memalukan mengenai kebejatan sistem keadilan Mesir dan pentadbiran kerajaan yang rasuah.

Kematian Dr Morsi sewaktu dipenjarakan melambangkan penindasan suara dan hati nurani rakyat, yang mempamerkan penghinaan dan keaiban jatidiri rakyat Mesir dan Arab pada umumnya yang rela tunduk menjalani kehidupan di bawah rejim yang paling zalim dan diktator yang sangat korup. Penguasa-penguasa yang dangkal keupayaan kepimpinannya serta menganggap diri sebagai pemerintah seumur hidup, yang akan bergegas menyekat dan menindas sebarang kebangkitan serta segala sesuatu yang menyerupai kebebasan, keadilan sosial dan kesaksamaan.

Para pemimpin Arab dan Barat bertanggungjawab sepenuhnya dan hendaklah dipersalahkan atas ketidakadilan ini kerana menyokong rampasan kuasa tidak sah pada tahun 2013, terus menerus memberi sokongan dan mengizinkan regim berkelakuan brutal sehingga ke hari ini.

WADAH menggesa agar semua tahanan politik dibebaskan dengan serta-merta dan rawatan perubatan disediakan tanpa berlengah-lengah. Sudah terlalu lama Mesir memenjarakan dan menganiaya putera dan puterinya yang terbaik, dibiarkan terlantar merengkok di dalam penjara-penjara gelap yang digeruni. Para putera dan puteri yang sepatutnya dirai bakat mereka dan diaktualisasikan potensi mereka demi memperkasakan pembaharuan dan membina semula negara bersejarah ini.

Dr Morsi telah mengorbankan nyawanya untuk Mesir.

Semoga Allah merahmati al marhum Dr Morsi.

AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

 

Read 2028 times Last modified on Sunday, 03 November 2019 03:36