Kenyataan Media (21)
KENYATAAN MEDIA
31 Ogos 2021
WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)
MARI BERSAMA ISLAH NEGARA, JAYAKAN CITA-CITA MERDEKA
- Kesyukuran setingginya ke hadrat Allah SWT kerana negara kita dapat terus menyambut hari kemerdekaan ke 64 dalam keadaan aman, rukun dan damai. Kita hendaklah menginsafi akan kedapatan banyak lagi negara di dunia ini yang sedang bergelut dengan permasalahan penjajahan serta kesan-kesan peninggalannya hingga ke hari ini. Sesungguhnya, penjajahan ialah satu bahana kemanusiaan yang hakikatnya telah banyak meninggalkan mudarat kepada kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah menolak sebarang bentuk penjajahan ke atas sesama manusia kerana ia bertentangan dengan prinsip kemuliaan insan yang diajarkan oleh agama Islam. Dalam surah al-Isra’, ayat 70, Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak cucu Adam dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka atas kebanyakan daripada siapa saja yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”
- Bersempena sambutan kemerdekaan tahun 2021 ini, mari kita meningkatkan iltizam untuk bersama jayakan agenda Islah Negara sebagai landasan ke arah merealisasikan cita-cita merdeka. Perjuangan kemerdekaan oleh para ulama, pemimpin dan rakyat di negara kita adalah berasaskan cita-cita bagi membina sebuah negara yang bermaruah seterusnya mengangkat kedudukan ummah Malaysia menikmati kemakmuran, kebebasan dan keadilan bersama. Cita-cita kemerdekaan ini adalah inspirasi mulia yang dipandu oleh prinsip dan nilai kesejagatan hidup damai bersama sebagaimana terkandung dalam ajaran agama Islam yang menganjurkan pembinaan negara yang baik serta dirahmati Allah SWT berasaskan nilai berkeadilan dan berkebajikan. Dalam surah Al-Ma-idah, ayat 8, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
- Sejajar dengan itu, marilah kita selaku rakyat Malaysia yang merdeka bersama-sama menjayakan cita-cita mulia kemerdekaan ini. Marilah juga kita beriltizam menjayakan Islah Negara iaitu melaksanakan pembaikan dan pembaharuan dalam tatakelola negara yang dipandu oleh prinsip keadilan dan ihsan sesama individu dan masyarakat. Kita mestilah sentiasa gigih berjuang mengukuhkan keutuhan rukun dan nilai luhur kenegaraan ini serta bersama-sama mengatasi sebarang bentuk rintangan yang menghalang perlaksanaannya dalam kehidupan ini.
- Kita ingin mengajak seluruh rakyat untuk mengambil kesempatan dari nikmat kemerdekaan negara kita dengan berusaha meningkatkan keupayaan diri dari segenap segi kehidupan. Dalam masa yang sama, kita mesti sentiasa peka dengan perkembangan urustadbir negara dan bertanggungjawab menjadi benteng penghalang dari sebarang perbuatan dan tindakan yang berunsur penyelewengan dan penyalahgunaan yang boleh melemahkan rukun-rukun kemakmuran dan kemajuan negara kita.
- Sesungguhnya tugas menjayakan cita-cita kemerdekaan negara ini adalah tanggungjawab bersama kita seluruh rakyat. Mari kita syukuri anugerah kemerdekaan ini dengan menjadi rakyat yang sentiasa bersedia menyumbang terhadap aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan dihormati oleh masyarakat dunia.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 64.
DATO’ AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
S I A R A N M E D I A
28 JULAI 2020
ALHAMDULILLAH! AYASOFYA KEMBALI SEMULA SEBAGAI MASJID
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH setulus-tulusnya mengucapkan tahniah kepada rakyat Turki dan bersama menyambut kepulangan serta pembukaan Ayasofya sebagai Masjid.
WADAH menyokong penuh keputusan undang-undang tertinggi yang dibuat oleh mahkamah agung Turki dan bahawa keputusan itu sah menurut sejarah dan fakta.
Adalah difahami bahawa walaupun dengan pembukaan Masjid ini, kedua-dua simbol agama utama dunia akan terus dipelihara. Dimaklumkan bahawa tirai dan layar lipat akan digunakan untuk menutupi mozek, ikon, motif dan simbol Kristian Ayasofya yang banyak itu semasa jemaah Muslimin mendirikan solat, dan semua lambang-lambang ini tidak akan ditanggalkan atau ditutup secara kekal.
Kembalinya Ayasofya sebagai Masjid menandakan kemunculan dan kebangkitan Turki dengan penuh maruah dan keyakinan sebagai kekuatan baru untuk kebebasan dan kemerdekaan pada masa dunia menghadapi krisis dan peralihan geopolitik akibat kesan yang luar biasa dari pandemik Covid-19.
Peristiwa penting ini menyemarakkan harapan untuk kebangkitan sejati dan kebangunan semula Islam setelah seratus tahun menderita di bawah dominasi dan hegemoni Barat.
Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyanjung Presiden Recep Tayib Erdogan atas kepemimpinannya, ketangkasan dan keberaniannya yang membuahkan inspirasi yang dinanti-nantikan oleh dunia Islam.
Biz Bir Ümmetiz !
AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
1. WADAH menyeru agar semua pihak bertenang, elak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan negara, akur dengan titah YDP Agong yang tentunya membuat keputusan yang adil dan saksama mengikut maklumat yang ada.
2. WADAH dengan tegas menentang sebarang bentuk tafsiran negatif dan liar, akan titah YDP Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8.
3. Dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk membentuk Kerajaan baharu menolak Barisan Nasional yang mengamalkan pemerintahan kleptokrasi di mana pemimpin yang rasuah, mengaut khazanah kekayaan negara untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni tanpa berselindung.
4. Namun demikian Kerajaan Pakatan Harapan atas mandat rakyat untuk melaksanakan REFORMASI tidak dapat berjalan lancar kerana adanya gangguan dalaman dan luaran PH untuk menggagalkannya.
5. Tokoh dan pejuang REFORMASI, Anwar Ibrahim tidak berkesempatan untuk memerintah setelah 20 tahun berjuang untuk keadilan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dengan rekod dipenjarakan sebanyak tiga kali yang memakan masa hampir 10 tahun kesemuanya sejak zaman belia.
6. WADAH berpendapat bahawa rakyat harus akur dengan titah YDP Agong untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri ke-8 dan menguji tahap penerimaannya sebagai Ketua Kerajaan di dalam Parlimen yang akan bersidang pada 9 Mac 2020 nanti. Namun demikian beliau boleh menangguhkannya pada tarikh yang difikirkan sesuai selama 6 bulan, mengikut Perlembagaan.
7. Ketokohan Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin yang tegas menentang gejala rasuah menyerlah apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana mengkritik Dato’ Seri Najib atas isu 1MDB.
8. WADAH berharap agar Tan Sri Muhyiddin mampu membentuk Kabinetnya nanti yang terdiri dari kalangan yang bersih dari terpalit dalam gejala rasuah apalagi bagi mereka yang sedang menghadapi kes Mahkamah berkenaannya.
9. Negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi yang gawat, maka dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin ini, walaupun penuh kontroversi, WADAH berpendapat biarlah seluruh undang-undang sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan dipatuhi dengan penuh sabar dan berhikmah.
AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden WADAH
1 Mac 2020

Demi meletakkan politik negara dalam keadaan stabil serta pelaksanaan terancang dan teratur pelan transisi penggantian kepimpinan negara justeru menjaminkan penerusan legasi terbaik Tun Dr Mahathir, maka disarankan penetapan tarikh peralihan kuasa kepada Perdana Menteri menunggu Dato Seri Anwar Ibrahim.
Penetapan tarikh peralihan kuasa ini peri penting demi masa depan negara, demi menunaikan janji yang telah termeterai dan sering diungkapkan, demi kestabilan politik yang kini asyik diganggu gugat anasir serta jembalang politik, demi menghormati keputusan serta pilihan rakyat dan demi kestabilan ekonomi negara berhadapan iklim ketidaktentuan global.
Anwar Ibrahim adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , iaitu rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH), parti pemerintah sekarang ini. Dia adalah perunding dan pendamai dalam usaha untuk membentuk pakatan politik yang berkesan dan berjaya memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018.
Anwar Ibrahim juga Perdana Menteri menunggu yang telah dipersetujui dalam perjanjian secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir dan semua rakan-rakan PH serta dia diterima secara umum oleh rakyat. Tempat dan tanggungjawab Anwar Ibrahim adalah untuk berada di persada untuk memimpin negara ke arah kejayaan.
Anwar Ibrahim adalah seorang rakyat Malaysia, seorang Muslim yang komited, seorang Melayu, seorang demokrat dan dia berjuang untuk keadilan dan kebebasan bagi semua rakyat Malaysia, dan tidak ada sebarang masalah atau percanggahan dalam semua ini.
Anwar Ibrahim telah dengan konsisten sepanjang hidupnya sebagai seorang yang gigih berusaha serta berkorban untuk reformasi dan pembaharuan, memerangi rasuah, bekerja keras untuk akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, memperjuangkan politik idealisme, menekankan pentingnya moral dan etika dalam mempertahankan demokrasi serta menegakkan keadilan yang merentas bangsa dan agama, demi untuk semua rakyat Malaysia.
Anwar Ibrahim merupakan pemimpin terbaik bagi mewarisi legasi gemilang Tun Dr Mahathir. Politik perubahan memerlukan pemimpin berwibawa melaksanakan idea dan pendekatan baru serta mengemudi dan menangani cabaran pluraliti, kepelbagaian dan kemajmukan etnik serta agama bagi memacu negara pada masa depan.
Akhirkalam, Malaysia negara kita yang tercinta, amat memerlukan politik luhur yang diterajui jiwa-jiwa besar, berwawasan dan berlapang dada. Kepimpinan unik ini ada pada sosok gandingan padu Tun Dr Mahathir dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang berupaya mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan setia dalam mengutamakan matlamat lebih tinggi iaitu Malaysia yang berjaya.
AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
20 Feb 2020
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) kesal dan terkejut dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan Pemangku Menteri Pendidikan, bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan rendah dan menengah di negara ini.
WADAH hairan bagaimana polisi yang terbukti tersasar dan salah hingga menyebabkan prestasi pelajar-pelajar dalam subjek-subjek berkenaan menjunam, tiba-tiba mahu dihidupkan semula. Data yang diselidiki nyata menunjukkan bahawa dasar ini telah menyusahkan pengajaran oleh guru-guru dan telah memangsakan lebih 2 juta murid, terutama pelajar-pelajar luar bandar. Data-data menunjukkan prestasi pelajar dalam subjek-subjek ini ternyata jauh lebih baik sebelum PPSMI diperkenalkan, berbanding selepasnya. Ujian-ujian antarabangsa TIMSS dan PISA turut membuktikan hal ini. Ini diperkukuh lagi apabila prestasi para pelajar meningkat kembali setelah dasar ini ditarik balik. Bukti-bukti yang ‘terang lagi bersuluh’ ini cukup untuk menyedarkan mereka yang masih ta`assub dengan PPSMI agar ‘menghumban jauh` dasar ini. Satu dasar yang hendak dilaksanakan memerlukan dokongan fakta dan bukti yang boleh dipertanggungjawabkan. Sangkaan, dugaan, persepsi dan ego peribadi tidak harus menjadi asas keputusan dan tindakan. Nasib dan masa depan generasi muda pelajar tidak harus diperjudi berdasarkan obsession yang tidak berasas individu-individu tertentu.
Kerajaan telah mengambil keputusan yang tepat bila menarik balik pelaksanaan PPSMI pada tahun 2011 (setelah diperkenal pada tahun 2003). Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, walaupun mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri itu, namun mengakui terdapat kekurangan dan kelemahan yang kritikal yang menyebabkan dasar ini dihentikan. Kesan-kesan positif ke atas pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek tersebut mulai tampak dan prestasi pelajar beransur-ansur pulih setelah dasar ini ditarik balik. Maka adalah sesuatu yang amat menghairankan apabila Tun Dr Mahathir beriya-iya mahu mengulangi kesilapan yang pernah dibuatnya dengan memperkenal kembali dasar PPSMI.
Bahasa Melayu telah dibangunkan dengan gigih untuk menghadapi cabaran-cabaran baru. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahasa Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu peringkat tinggi, bahkan berwibawa untuk berada di pentas antarabangsa. Ramai tokoh-tokoh akademik dan professional yang aktif menyumbang kepada pembangunan negara dan mengangkat nama baik negara di mata dunia adalah lulusan UKM dan universiti-universiti lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Adalah satu mitos untuk menganggap penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik membantut keupayaan para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan menghalang mereka dari bersaing di peringkat antarabangsa.
Bahasa Inggeris yang baik diperlukan untuk berbagai kepentingan termasuk perniagaan, hubungan antarabangsa dan diplomatik. Kelemahan berbahasa Ingggeris perlu dipertingkat terus menerus dengan cara memperkenalkan program-program pengajaran yang lebih maju, pembangunan guru-guru yang berkemahiran dan penyediaan bahan dan alat-alat pengajaran yang lebih sophisticated. Adalah salah memperguna sains dan matematik sebagai saluran mempertingkat prestasi bahasa Inggeris, kerana apa yang terjadi akhirnya ialah bahasa Inggeris itu akan membantut keupayaan mereka untuk menguasai intipati subjek-subjek sains dan matemik itu sendiri.
Pengenalan kembali PPSMI berlawanan dengan cita-cita pendidikan kebangsaan dan usaha pendaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan tidak seiring dengan usaha membina jati diri negara yang merdeka. Kita tidak harus menjadi pandir dan hidup dalam delusion berkali-kali.
WADAH dengan ini menyeru supaya Tun Dr Mahathir, selaku Perdana Menteri dan pemangku Menteri Pendidikan, akur kepada pandangan-pandangan yang lebih rasional dan berhenti dari membuat pusingan-balik, melaksanakan dasar yang terbukti memangsakan para pelajar dan merugikan rakyat dan masa depan negara. Demi kebaikan bersama, WADAH mengajak semua mereka yang waras mengambil pendirian yang tegas dan secara lantang menyatakan tentangan terhadap hasrat kerajaan yang mahu kembali melaksanakan dasar PPSMI yang terbukti merugikan rakyat dan negara.
Abdul Halim Ismail
Timbalan Presiden
1 Februari 2020
More...
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) melahirkan rasa sedih dan kecewa atas insiden yang berlaku di Kuil Seafield Seri Mahamariaman USJ 25 baru-baru ini. Insiden yang berlaku ini adalah sangat merugikan semua pihak atas tindakan yang kurang waras oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Wadah berpandangan tindakan melulu seperti ini tidak menguntungkan mana-mana pihak walhal ianya boleh diatasi dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan meja rundingan yang boleh memberi impak positif kepada pihak-pihak terbabit.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menzahirkan sembah dukacita atas perletakan jawatan DYMM Tuanku Sultan Muhammad V sebagai Yang Di Pertuan Agong ke XV.
Kami pimpinan WADAH dan seluruh rakyat menjunjung rasa dukacita atas perkara di atas kerana ianya merupakan sejarah pertama kali dalam negara tercinta ini. Seluruh rakyat masih mengharap DYMM Tuanku terus bertakhta di singgahsana dan meneruskan amanah rakyat demi menaungi agama dan bangsa di bawah pemerintahan Tuanku.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH memandang berat isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan peguam persendirian menari sepentas pada majlis makan malam Opening of Legal Year 2019 (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu Sabah.
Menurut Tertib Tatakelakuan Hakim, badan kehakiman mesti mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyokong dan mendokong sepenuhnya Tun Dr Mahathir dan pendirian Kerajaan Malaysia menolak kemasukan dua atlet Israel ke negara ini bagi mengambil bahagian dalam acara Paralimpik yang dijadualkan.
Israel telah bertindak kejam secara terang-terangan dan dengan tidak bermoral melanggari undang-undang antarabangsa. Israel telah kesekian kali menunjukkan sikap tidak menghiraukan kemanusiaan dan juga nilai peradaban manusia. Jika kita tidak mengendahkan malah hanya mengetepikan semua pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran kedaulatan undang-undang yang berlaku depan mata serta sedang masih berterusan, maka apakah kedudukan kita sebagai negara yang bermaruah dan bermoral?
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengutuk sekeras-kerasnya tragedi tembakan di dua buah masjid di Christchurch New Zealand.
Insiden yang berlaku ini adalah suatu tragedi yang amat menyayat hati dan sangat zalim terutama kepada umat Islam yang sedang melakukan Solat Jumaat.
WADAH ingin menyatakan keprihatinan dan kebimbangan yang mendalam terhadap kesimpulan yang dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 3 April 2019 yang lalu, bahawa kehilangan Amri Che Mat, seorang aktivis sosial, pada tahun 2016 dan kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo pada tahun 2017 adalah ‘kehilangan secara paksa’ (enforced disappearance). Dan yang lebih memprihatinkan kami, seperti yang disebut oleh Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai, bahawa mereka telah diculik oleh agen-agen kerajaan (agents of the state) dan secara spesifik menyebut Cawangan Khas, Bukit Aman, sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH mengecam dan menolak tindakan India untuk membatalkan artikel 370 dan 35A di dalam perlembagaannya sendiri mengenai wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbirkan oleh India.
Artikel-artikel tersebut menjamin status khas wilayah Jammu dan Kashmir bagi memelihara sifat unik dan istimewa Jammu dan Kashmir serta kedudukannya sebagai wilayah yang dipertikaikan.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) merasa amat dukacita atas sebaran video seks yang mengaitkan individu berprofil tinggi dalam negara. Tindakan sesetengah pihak yang sengaja menyebarkan video ini amat jijik dan tidak bertanggungjawab berkemungkinan mempunyai motif politik yang terancang.
Wadah berasa amat bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang sengaja menjadikan video murahan seperti ini sebagai senjata menjatuhkan musuh politik mereka dan ini amat bertentangan dengan nilai dan agama yang melarang melakukan tuduhan tanpa asas. Sikap sedemikian sudah tentu mengundang kepada fitnah dan tuduhan tidak berasas tambahan penggunaan video sebegini yang boleh dimanipulasi oleh banyak pihak.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH amat prihatin dan kesal dengan permainan licik dan tafsiran jahat pihak berkepentingan serta serangan media sosial bagi menimbulkan ketegangan perkauman dan perbalahan agama sekitar tokoh pendakwah Dr Zakir Naik.
Seluruh usaha jelek dan propaganda digunakan bagi memburu dan menuduh Dr Zakir Naik bertujuan agar beliau dihantar pulang ke India sepertimana kehendak kerajaan India yang kini tegar berhaluan kanan serta bersikap gariskeras terhadap sifat kemajmukan dan pluraliti India.
Hari ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-62. Hari ini juga fajar Hijrah 1441 muncul menemui rakyat Malaysia dan dunia. Peristiwa ini merupakan satu ketentuan ilahi yang amat bermakna. Kedua-dua Merdeka dan Hijrah menuntut kita supaya berusaha dengan penuh kesungguhan ke arah membangun umat dan negara ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.
Hijrah dengan pelbagai pengertian antaranya bermaksud bergerak, berubah dan berpindah kepada tahap yang lebih baik. Hijrah memerlukan perjuangan dan pengorbanan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan segala tindakan yang dirancang. Dalam konteks terkini kita perlu melakukan hijrah tidak hanya minda, tetapi juga sikap dan tindakan bagi membentuk masyarakat Malaysia Baharu yang merahmat dan mensejahterakan rakyat berbagai kaum yang merupakan warga negara bagi negara tercinta ini. Kita semua anak Malaysia. Kita menjunjung dan menghormati perlembagaan Persekutuan yang disepakati bersama.
- 1
- 2
- Terkini
- Popular
-
PRESIDEN WADAH MENGISI PROGRAM KEPIMPINAN AL-FATIH POLIS DIRAJA MALAYSIA NEGERI PERAK
18 Mei 2022, PULAU PANGKOR - Dato' Hj. Ahmad Azam… -
PEMERGIAN HJ MOHD ASRI ABDUL, PENCATAT SEJARAH JAMAAH
Perginya permata dakwah, pencatat sejarah Jamaah, Mohd Asri Abdul, 63… -
KUNJUNGAN WADAH KE PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH
23 Mei 2022, KUALA KANGSAR - Rombongan WADAH diketuai oleh…
-
MARI BERSAMA ISLAH NEGARA, JAYAKAN CITA-CITA MERDEKA
KENYATAAN MEDIA 31 Ogos 2021 WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)… -
ALHAMDULILLAH! AYASOFYA KEMBALI SEMULA SEBAGAI MASJID
S I A R A N M E D I… -
MOHON BERTENANG, AKUR KEPUTUSAN AGONG, BIAR PARLIMEN MEMUTUSKAN
1. WADAH menyeru agar semua pihak bertenang, elak melakukan sesuatu…