Print this page

MARI BERSAMA ISLAH NEGARA, JAYAKAN CITA-CITA MERDEKA

 

KENYATAAN MEDIA

31 Ogos 2021

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)

MARI BERSAMA ISLAH NEGARA, JAYAKAN CITA-CITA MERDEKA

  1. Kesyukuran setingginya ke hadrat Allah SWT kerana negara kita dapat terus menyambut hari kemerdekaan ke 64 dalam keadaan aman, rukun dan damai. Kita hendaklah menginsafi akan kedapatan banyak lagi negara di dunia ini yang sedang bergelut dengan permasalahan penjajahan serta kesan-kesan peninggalannya hingga ke hari ini. Sesungguhnya, penjajahan ialah satu bahana kemanusiaan yang hakikatnya telah banyak meninggalkan mudarat kepada kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah menolak sebarang bentuk penjajahan ke atas sesama manusia kerana ia bertentangan dengan prinsip kemuliaan insan yang diajarkan oleh agama Islam. Dalam surah al-Isra’, ayat 70, Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak cucu Adam dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka atas kebanyakan daripada siapa saja yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”
  2. Bersempena sambutan kemerdekaan tahun 2021 ini, mari kita meningkatkan iltizam untuk bersama jayakan agenda Islah Negara sebagai landasan ke arah merealisasikan cita-cita merdeka. Perjuangan kemerdekaan oleh para ulama, pemimpin dan rakyat di negara kita adalah berasaskan cita-cita bagi membina sebuah negara yang bermaruah seterusnya mengangkat kedudukan ummah Malaysia menikmati kemakmuran, kebebasan dan keadilan bersama. Cita-cita kemerdekaan ini adalah inspirasi mulia yang dipandu oleh prinsip dan nilai kesejagatan hidup damai bersama sebagaimana terkandung dalam ajaran agama Islam yang menganjurkan pembinaan negara yang baik serta dirahmati Allah SWT berasaskan nilai berkeadilan dan berkebajikan. Dalam surah Al-Ma-idah, ayat 8, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

  3. Sejajar dengan itu, marilah kita selaku rakyat Malaysia yang merdeka bersama-sama menjayakan cita-cita mulia kemerdekaan ini. Marilah juga kita beriltizam menjayakan Islah Negara iaitu melaksanakan pembaikan dan pembaharuan dalam tatakelola negara yang dipandu oleh prinsip keadilan dan ihsan sesama individu dan masyarakat. Kita mestilah sentiasa gigih berjuang mengukuhkan keutuhan rukun dan nilai luhur kenegaraan ini serta bersama-sama mengatasi sebarang bentuk rintangan yang menghalang perlaksanaannya dalam kehidupan ini.

  4. Kita ingin mengajak seluruh rakyat untuk mengambil kesempatan dari nikmat kemerdekaan negara kita dengan berusaha meningkatkan keupayaan diri dari segenap segi kehidupan. Dalam masa yang sama, kita mesti sentiasa peka dengan perkembangan urustadbir negara dan bertanggungjawab menjadi benteng penghalang dari sebarang perbuatan dan tindakan yang berunsur penyelewengan dan penyalahgunaan yang boleh melemahkan rukun-rukun kemakmuran dan kemajuan negara kita.

  5. Sesungguhnya tugas menjayakan cita-cita kemerdekaan negara ini adalah tanggungjawab bersama kita seluruh rakyat. Mari kita syukuri anugerah kemerdekaan ini dengan menjadi rakyat yang sentiasa bersedia menyumbang terhadap aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 64.

DATO’ AHMAD AZAM AB RAHMAN

Presiden

Read 335 times Last modified on Monday, 13 September 2021 10:02