
Memandangkan masih tidak mempunyai hubungan di sana maka pendekatan yang sesuai ialah membuat lawatan ke masjid yang ada dan berbicara secara umum dengan masyarakat Islam tempatan yang bersolat di sana. Selain daripada itu, kami juga mengambil peluang berbicara dengan pengendali-pengendali restoran halal yang terdapat di sekitar kota Ho Chi Minh.
Manakala di Kemboja pula bebrapa program telah diatur iaitu:
Lawatan ke ‘Dubai Islamic School
Dubai Islamic School diasaskan pada tahun 1992 oleh seorang dermawan dari Dubai. Sekolah tersebut dikendalikan dalam 2 sesi (pagi dan petang), menampung 6 buah kelas, seramai 405 orang murid dan mempunyai guru seramai 10 orang. Gaji bagi 3 daripada 10 orang guru dibiayai oleh CIMA - yang mendapat bantuan daripada Global Peace Mission Malaysia, dan Yayasan Takmir Pendidikan (dari segi kurikulum) dan lapan lagi ditanggung melalui pembayaran yuran dari keluarga yang mampu.
Lawatan ke Kampung Cheloi (Wilayah Kompong. Chenang)
Ahli rombongan dibawa melawat ke sebuah penempatan Melayu Champa di Kampong Cheloi (Wilayah Kampong Chenang) – 80 kilometer dari Phnom Penh disambut dengan paluan kompang dan dihidangkan dengan air kelapa. Hampir 600 anggota masyarakat yang terdiri daripada 260 keluarga keluar beramai-ramai menyambut kedatangan kami. Wilayah Kampong Chenang merupakan penempatan masyarakat Champa-Melayu-Islam yang kedua terbesar di Kemboja.
Mereka masih mengamalkan adat resam dan tradisi budaya lama mereka. Kehidupan mereka terlalu dhaif – tidak mempunyai bekalan api dan air, terlalu jauh tercicir dari arus pembangunan. Matapencarian mereka hanya tertumpu kepada hasil tangkapan ikan dan pertanian (termasuk menanam padi yang hanya boleh dilakukan setahun sekali pada musim hujan).
Sungguhpun terdapat 47 buah masjid di wilayah Kampong Chenang, namun masyarakat tidak dapat mengamalkan ibadah dengan teratur disebabkan kekurangan guru agama. Masih ramai yang tidak sempurna dari segi mendirikan solat lima waktu. Yang paling menyedihkan ialah anak-anak mereka tidak bersekolah oleh kerana sekolah terlalu jauh dari tempat mereka.
Sebagai tanda simpati sumbangan beras sebanyak 6 tan (sumbangan dari NGO-NGO dan individu tertentu yang menyertai rombongan) telah dapat disampaikan kepada keluarga masyarakat.
Pertemuan dengan ‘Minister of Cult and Religion, Royal Government of Cambodia’.
Menteri mengalu-alukan dan berterima kasih atas sumbangan 1 tan beras untuk masyarakat miskin Kemboja. Beliau menjelaskan kedudukan Islam dan masyarakat Islam di Kemboja dan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat luar untuk membantu membangunkan masyarakat Islam yang merupakan 3% daripada penduduk Kemboja. Antara yang dinyatakan dalam ucapan beliau ialah masyarakat Islam sama ada di peringkat wilayah mahu pun di daerah bekerjasama dengan kerajaan, kerajaan menyediakan tempat khas untuk membangunkan masjid, kerajaan menyediakan ruang untuk program Islam di radio dan tv, kerajaan juga membenarkan pelajar memakai pakaian traditional di sekolah, membenarkan mengerjakan ibadah Haji dan membenarkan pelajar Islam melanjutkan pengajian ke luar negara.
Tuan Haji Ahmad Azam selaku ketua misi, dalam ucapan balas beliau, menghormati peranan dan pengiktirafan ke atas masyarakat Islam di Kemboja oleh kerajaan yang majoritinya penganut agama Buddha. Sebagai contoh, ramai pemimpin Islam diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan sama ada menjawat jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pembantu kepada Menteri. Beliau nampak bahawa ada persamaan antara dua negara (Kemboja dan Malaysia) dalam amalan perkongsian kuasa pemerintahan dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Beliau percaya dengan sikap keterbukaan dan tolerensi beragama yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kemboja, ia akan memberi kebaikan untuk membangun dan menjaga keharmonian negara – ini terbukti dengan adanya tempat solat di lapangan terbang serta terdapat banyak restoran yang menjual makanan halal yang boleh menarik lebih ramai pelancong Islam untuk datang ke Phnom Penh.