Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi

Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi

Ijtimak Harakiy 14 Oktober 2017 – IDCC Shah Alam

 

1.0 Pengenalan

Politik Islam tidak sahaja relevan, tetapi terus penting di era kontemporari ini. Impak Arab Spring atau Revolusi Musim Bunga di Timur Tengah di awal dekad lalu menunjukkan sokongan dan harapan terhadap idea dan gerakan politik Islam masih tinggi di kalangan masyarakat. Dalam kebanyakan pilihanraya yang dijalankan di negara-negara Arab di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia, sokongan rakyat terhadap perkumpulan politik berorientasikan Islam mendapat sambutan yang menyeluruh dan menyakinkan. Realiti dokongan rakyat terhadap politik Islam di negara kita juga juga serupa. Ini secara langsung telah mematahkan hujah yang dikemukakan oleh sebahagian penganalis yang menanggapi politik Islam di abad baru telah berada di penghujung jalan dan menghadapi kegagalan sebagaimana tesis Oliver Roy; the failure of polital Islam.

Sambutan dan sokongan berterusan terhadap politik Islam tidak terjadi secara segaja melainkan kerana disumbangkan oleh banyak faktor dasar dan strategi penampilannya di tengah gelanggang masyarakat. Antara faktor utama sokongan ini ialah kejelasan prinsip dan idealisme politik yang bersifat utuh dan kekal walau berdepan dengan perubahan zaman. Idealisme politik Islam berpaksikan dasar kebenaran dan keadilan. Berpandukan prinsip ini, wawasan politik Islam ialah membangunkan sebuah nizam atau tatakelola kenegaraan yang mampu dan berupaya menjamin hak-hak masyarakat seterusnya membina potensi mereka secara benar dan adil. Bersandarkan idealisme itu, politik Islam mempraktikan politik amal maaruf nahi mungkar sebagai amalan bagi menterjemahkan prinsip kebenaran dan keadilan dalam tatakelola kenegaraan. Iltizam berterusan politik Islam terhadap idealisme dan amalan ini mendorong aspirasi dan sokongan berterusan rakyat terhadap gerakan politik Islam hingga ke hari ini.

Namun, politik Islam juga hari ini berdepan dengan cabaran getir sejajar dengan perkembangan persekitaran baru zaman. Politik Islam berdepan dengan pengaruh liberalisme yang ekstrim dalam bidang sosial, pemikiran radikalisme dalam wacana kepimpinan dan politik serta penularan politik ketertutupan, perpuakan, asabiyyah dan permusuhan dalam kehidupan masyarakat.

Sejajar dengan itu, di alaf baharu ini, politik Islam hendaklah terus istiqamah dan beriltizam dengan cita-cita membangun politik perubahan. Penekanan utama politik perubahan ialah agenda bagi pembelaan dan pengukuhan dasar keadilan sosial, perpaduan, mendorong politik luhur, memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Penegasan cita-cita politik Islam masa kini juga adalah wawasan membina kesejahteraan ekonomi manusiawi, mengukuhkan dasar perundangan, menjamin keselamatan dan keamanan, melindungi golongan yang lemah dan memangkin penyertaan dan partisipasi menyeluruh masyarakat dalam proses membuat keputusan dalam sebuah sistem tata kelola kenegaraan yang terbuka dan dinamik.

Perkembangan globalisasi telah mengubah persekitaran masyarakat di dunia Islam yang menunjukkan penerimaan terhadap pemikiran dan budaya keterbukaan sejajar dengan realiti kemajmukan. Keterbukaan itu tertonjol menerusi penerimaan sikap terhadap peranan demokrasi sebagai wasilah berkesan bagi menangani cabaran kemajmukan dan memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan, Pandangan dan sikap positif peranan demokrasi dalam tradisi pemikiran politik Islam boleh diteliti dalam perspektif tokoh ilmuwan Muslim seperti Sheikh Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Rashid Ghanoushi, Sheikh Ahmad Raisuni.

2.0 Resolusi

Oleh yang demikian, Seminar Politik Islam dan Demokrasi yang berlangsung pada 13 Oktober 2017 anjuran ABIM, WADAH dan PKPIM bertempat di IDCC, Shah Alam berpandangan bebeberapa ketetapan berikut hendaklah diperkukuhkan demi memastikan keutuhan politik Islam dalam mendepani cabaran perubahan zaman hari ini:

Pertama: Menyemak fiqh politik Islam masa lalu dari sudut kandungan dan pendekatannya serta tuntutan untuk satu gerakan ilmiah yang bersungguh-sungguh bagi membangunkan fiqh politik baru yang antaranya dipandu oleh fiqh al-taharrur yang dapat memberi kesan dan pengaruh bermakna dalam menterjemahkan cita-cita politik Islam dalam konteks masa kini. Pemikiran dan wacana ilmuwan Islam kontemporari dalam konteks fiqh kenegaraan Islam semasa hendaklah diteliti dan dikupas secara mendalam dalam rangka membangunkan fiqh politik baru demi memenuhi keperluan dan realiti kemajmukan dan keterbukaan masyarakat di zaman kini.

Kedua: Bagi memastikan ketahanan dan keberkesanan politik Islam, satu gerakan pembudayaan demokrasi di kalangan masyarakat hendaklah dijayakan terutama dari segi penghayatan nilai dan prinsipnya yang mesti dipelajari dan dihayati. Perkara ini penting memandangkan nilai dan prinsip demokrasi tidak akan dapat memberi erti dan manafaat sekiranya ia tidak didokong oleh masyarakat yang bersifat demokratis. Oleh kerana itu, gerakan pendidikan kerakyatan tentang demokrasi perlu digerakkan bagi membina rakyat yang memiliki kecerdasan berfikir, kesedaran tentang maruah dan mendorong penglibatan mereka dalam amalan demokrasi secara aktif, proaktif dan matang. Pendidikan demokrasi ini juga melibatkan pemahaman tentang teori, sejarah dan praktik politik hari ini serta fasa-fasa perkembangannya yang unik dan dinamik.

Ketiga: Politik permufakatan hendaklah dibangunkan secara bersama di antara pelbagai gerakan masyarakat sivil dan institusi politik yang beraspirasikan nilai-nilai dan prinsip yang diperjuangkan Islam. Oleh itu, budaya politik label melebel dan ektremisme dalam sikap dan pendirian hendaklah diatasi dan ditangani. Politik pemuafakatan berpandukan cita-cita politik Islam hendaklah menekankan aspek keterbukaan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kelompok-kelompok non-Muslim dalam suasana yang toleransi, tanpa mengabaikan prinsip-prinsip utama. Aspek kontrak sosial antara pemerintah dan yang diperintah yang menjadi asas dalam amalan demokrasi yang subur akan dapat diperkukuhkan menerusi politik permukafakatan yang matang.

Keempat: Prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban hendak menjadi asas dalam cita-cita perjuangan politik Islam hari ini. Ketelusan boleh mengatasi keburukan dalam pemerintahan seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini memerlukan kepada pembinaan prinsip integriti dan pertanggungjawaban (accountability). Permasalahan yang terjadi dalam tatakelola kenegaraan hari ini antaranya ialah disebabkan prinsip ini diabaikan dan tidak diberi penekanan dalam budaya dan amalan politik semasa.

Kelima: Pembangunan politik Islam pada masa depan memerlukan satu rancangan bagi membangun barisan kepimpinan yang berintegriti dan terlatih. Ketokohan pemimpin politik yang berwibawa boleh memberi kesan bermakna dalam agenda memperkasa politik Islam masa depan. Rancangan melatih barisan politik Islam masa depan hendaklah menjadi agenda dan fokus penting dalam gerakan dan pertubuhan Islam hari ini.

Keenam: Politik Islam perlu menyusun semula keutamaan dalam perjuangan politik Islam. Politk berasaskan perpuakan dan asabiyah adalah unsur negatif dalam pembangunan politik Islam. Politik Islam hendaklah terus mengekalkan hikmah dalam amalan perpolitikannya. Antara keutamaan penting politik Islam hari ini ialah mendorong politik tolerasi dan kasih sayang sejajar dengan semangat rahmatan lil ‘alamin, menpertegaskan idealisme Muslim Demokrat, membebaskan rakyat dari belenggu ketertutupan dan kejumudan fikiran, memperjuangakan kebebasan kehakiman dan memperluaskan pendemokrasian pendidikan. Keutamaan politik Islam ini akan menyumbang kepada pembinaan kesedaran rakyat tentang kemuliaan dan kedaulatan diri serta keyakinan untuk melakukan perubahan.

Ketujuh: Politik Islam hendaklah mendorong kepada cita-cita kebangkitan Islam. Cita-cita perlu disandarkan kepada dasar ilmu yang kukuh antaranya menjadikan ilmu maqasid syar’iyyah sebagai satu sumber pengentahuan politik di era baru. Hal ini memerlukan satu gerakan kebangkitan al-maqasidiah iaitu wacana ilmiah menyeluruh tentang objektif agama dalam konteks masa kini di mana di antara objektif tersebut ialah cita-cita hifz nizam al ummah atau memelihara sistem tatakelola ummah meliputi sistem demokrasi.

 

Sekian.

 

Urusetia Penganjuran,

Seminar Politik Islam dan Demokrasi,

Shah Alam.

Read 14 times
  • Terkini
  • Popular
  • Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi Ijtimak…
  • Sistem Nilai Islam Dalam Era Pascamoden Dan…
  • 12 Julai 2017, GOMBAK - Alhamdulillah selesai…
  • Pernyataan Sikap ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA…
  • Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map