×

Warning

JUser: :_load: Unable to load user with ID: 599
07.May.2015

SG. MERAB - Pada 26 April 2015 yang lalu, Majlis Mahabbah 400K telah diadakan bertempat di Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH (PDTW). Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan PDTW ini telah dihadiri oleh ahli-ahli Wadah, ABIM dan PKPIM (WAP). Ianya diadakan bagi memperlihatkan kemajuan pembangunan PDTW kepada warga WAP serta sebagai salah satu cara memungut dana pembangunan pusat ini yang masih diperlukan. Projek pembangunan pusat ini yang telah bermula sejak April 2014 kini telah mencapai 65% kemajuan pembangunan. 

Majlis turut dihadiri Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadhil serta Dato' Fadzil Muhammad.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr. Ab. Halim Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan PDTW. Beliau mengalu-alukan kedatangan semua yang hadir serta menekankan tentang peri utama melakukan kebajikan sebagai seorang Muslim. Beliau turut mengingatkan bahawa kualiti hidup secara umumnya, akan terbina dengan baik, apabila aspek-aspek ini dapat diberikan tumpuan iaitu; 1) Pendidikan; 2) Peribadatan dan penghayatan syariat Islam ; serta 3) Harta. 

 

Majlis diteruskan dengan taklimat teknikal pembangunan yang disampaikan oleh Hj. Mukhlis Sahid selaku Ahli Jawatankuasa PDTW. Menurut beliau, kos pembinaan serta keperluan prasarana yang lain, termasuk kos perkhidmatan yang lain bagi projek ini dianggarkan bernilai RM 1.0 juta. Sehingga kini, dana pembangunan pusat masih diperlukan khususnya untuk kos kerja-kerja akan datang. Berikut merupakan butiran kerja akan datang serta anggaran kos yang diperlukan:

Bil.

Butiran Kerja

Anggaran Kos

1.

Kerja2 kemasan dinding, lantai serta siling

RM 150,000

2.

Kerja2 tingkap & pintu

RM   70,000

3.

Kerja2 pendawaian elektrik

RM   85,000

4.

Kerja2 paip air & kelengkapan

RM   60,000

5.

Kerja2 saluran najis & tangki

RM   25,000

6.

Kerja2 pagar, longkang/culvert & premix

RM   85,000

7.

Pemasangan lampu & penghawa dingin

RM 160,000

JUMLAH KESELURUHAN

RM 635,000   

 

Majlis seterusnya dirasmikan oleh Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadhil. Beliau menyeru warga WAP agar mengambil setiap peluang yang datang untuk berinfaq dan berwakaf. Dato' Dr. Siddiq turut memetik maksud Surah Ali-Imran, 3:14;

 

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

 

                    

 

Presiden WADAH turut mengingatkan warga WAP agar tidak berhenti dalam membuat kebaikan. Menurut beliau, buat baik biarlah berkali-kali dan bukan hanya sekali, dan berbuat kejahatan jangan diulang lagi setelah terlanjur melakukannya. Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan serangkap pantun;

Nasi kukus siap tersaji,

Buat hidangan makan siang,

Sejak tikus naik haji,

Banyak kucing yang sembahyang.

 

Majlis Mahabbah 400K diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

 

 

* Kredit catatan Saudara Sirajuddin Sirat

 

 

 

 

 

 

23.Mar.2015

Bangi - Tanggal 10 Mac 2015 bersamaan 19 Jamadilawal 1436H telah berlangsung Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji bertempat di Dewan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Seminar yang dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Gabungan Pendakwah Islam Selangor (GAPIS), Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BAKEWANIS), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS).

Pada umumnya, objektif seminar adalah untuk mengupas kepelbagaian pemikiran Raja Ali Haji menerusi karya-karya yang telah dihasilkan di samping memahami pemikiran Raja Ali Haji dalam perspektif penghayatan nilai-nilai agama dan fiqh dawlah. Ucapan perasmian seminar disampaikan oleh Hj. Mohd Yusop Hassan, Pengerusi Wadah Selangor. 

 

 

 

Ucaptama seminar ini disampaikan oleh Presiden Wadah, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil yang bertajuk "Raja Ali Haji : Kecendiakawan dan Kepengarangannya". Selain itu, ditekankan juga aspek ketokohan dan keilmuan Raja Ali Haji semasa hayat beliau.

Pada sesi kedua pada jam 11.00-1.00 petang berlangsung dua sidang selari. Sidang selari 1 di Dewan Said Ramadhan al-Buti menampilkan pembentang pertama Dato’ Dr. Abu Hassan Sham yang bertajuk "Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi" dan pembentang kedua dengan tajuk "Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji (1808-1873M)" oleh Puan Fairuzah binti Basri. Manakala sidang selari 2 di dewan berbeza pula menampilkan Prof. Madya Dr. Khalif Muammar bin A. Harris yang membentangkan tajuk "Sistem Kehakiman Islam Dalam Karya Raja Ali Haji" dan pembentang kedua Puan Wazzainab binti Ismail yang membentangkan tajuk "Mengembalikan Kecemerlangan Ulama-Suatu Cabaran Bagi Umat Menerusi Perspektif Raja Ali Haji".

 

 

Seterusnya, sidang selari 3 dan sidang selari 4 berlangsung pada jam 2.30-4.15 petang di dewan yang sama. Sidang selari 3 menampilkan Puan Ayu Nor Azilah binti Mohamad yang membentangkan tajuk "Peranan Raja Ali Haji dalam Pertembungan Agama dan Politik di Alam Melayu" dan Dr. Arba’iyah binti Mohd. Noor membentangkan tajuk "Pemikiran Sejarah Raja Ali Haji Menerusi Tuhfat al-Nafis, Karya Ulung Kesultanan Johor-Riau-Lingga". Manakala sidang selari 4 pula menampilkan Prof. Dr. Tatiana A. Denisova yang membentangkan tajuk "Ketatanegaraan Melayu Kurun ke-19 Menerusi Pandangan Raja Ali Haji: Kajian Berasaskan karya Sejarah Tuhfat al-Nafis". Pembentang terakhir disampaikan oleh Puan Rohaini binti Amin yang bertajuk "Bahasa Melayu Sebagai Wadah dan Tarbiah dari Kaca Mata Raja Ali Haji".

 


Berpandukan pembentangan, perbincangan dan cadangan yang dikemukakan dalam seminar ini, Jawatankuasa Resolusi Seminar membuat beberapa rumusan untuk pemerhatian semua pihak supaya mendapat pertimbangan dan seterusnya dapat melaksanakannya di peringkat masing-masing.

Maka, resolusi yang dapat dirumuskan  berdasarkan seminar ini adalah seperti berikut:

1. Meminta Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dibuat oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan beberapa pihak lain seperti DBP dan Jabatan Sejarah UM untuk mengumpul dan mengkatalogkan manuskrip tentang Islam dan Melayu, khazanah penulisan tokoh-tokoh Melayu Islam dan seumpamanya yang berada berselerakan di seluruh dunia.

2. Mencadangkan agar kerajaan Negeri Selangor, melalui UNISEL untuk menganjurkan dan menawarkan satu kursus peringkat sijil kepada masyarakat umum iaitu Kursus Pemikiran Raja Ali Haji. Kursus ini dicadangkan agar diberi keutamaan kepada para nazir dan imam kanan masjid-masjid di Selangor. Seterusnya boleh diikuti dengan tokoh-tokoh yang lain pula.

3. Menguruskan “Kerusi RAH” KUIS yang berperanan mengkaji dan menganalisa tokoh-tokoh ulama/umarak dan pemikir Islam Alam Melayu.

4. Meminta kerajaan negeri Selangor untuk memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos penulisan dan penerbitan buku-buku tentang tokoh-tokoh Melayu dan perkembangan Islam di Alam Melayu yang telah menanjakkan umat ke tahap ilmu dan pengalaman Islam secara menyeluruh.

5. Sekretariat Raja Ali Haji disyorkan agar terus beroperasi untuk membuat penjelajahan seluruh negara khususnya di negeri Selangor untuk menyebarluas ketokohan raja Ali Haji dan maknanya kepada pembentukan watak, otak dan jiwa umat.

6. Mencadangkan kerajaan negeri Selangor mengadakan program khusus iaitu “Bengkel Pemikiran Raja Ali Haji” untuk penggerak masyarakat – jawatankuasa masjid, JKK dan Badan Bukan Berkanun Islam dengan Kerjasama KUIS, MAIS, JAIS, WADAH dan DBP.

7. Berdasarkan ungkapan ‘Sejarah yang benar tidak semestinya sejarah yang rasmi. Sejarah yang rasmi pula tidak semestinya benar’. Maka dicadangkan kepada KUIS dan DBP agar satu kajian dan analisa dilakukan untuk mengasingkan antara catatan yang palsu dengan fakta yang sohih tentang Alam Melayu dan tokoh-tokoh yang mewarnai dan mewakili zamannya.

8. Mengesyorkan agar perbincangan ilmiah seperti seminar, wacana dan diskusi meja bulat diadakan secara berkala. Hasilnya diterbitkan dalam bentuk buku, majalah dan risalah yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan tulisan ilmiah.

9. Memperuntukkan sejumlah dana dalam bentuk geran penyelidikan kepada para pengkaji yang berminat untuk menterjemah, mentransliterasi, dan menyelidik buku-buku hasil penulisan tokoh-tokoh terkenal yang masih banyak dibiarkan ‘terbiar’ tanpa diusik.

10. Mencadangkan agar buku-buku yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh yang terkemuka di Alam Melayu umumnya di Malaysia khasnya dijadikan antara buku yang perlu dipelajari oleh para pelajar sama ada pada peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

13.Jan.2015

SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej Dar Al-Hikmah, Program Membina Keluarga WADAH-ABIM-PKPIM (PMK-WAP) telah dirasmikan oleh  Dato' Dr. Siddiq Fadzil pada 14 Disember 2014. Bertemakan 'Keluarga Mawaddah WaRahmah di Jalan Da'wah', objektif utama program ini adalah untuk menyediakan ruang perkenalan yang selesa dan Islamik di kalangan warga muda WAP agar mempermudah proses membina keluarga.

 

Program ini dianjurkan sebagai inisiatif bagi membantu generasi muda WAP yang menghadapi kesukaran dalam mencari pasangan hidup berpunca daripada beberapa suasana semasa dan khidmat yang diberikan adalah percuma. Polisi kerahsiaan di antara peserta dan pentadbir akan dilaksanakan sepanjang proses serta beberapa panduan dan peraturan prosedur telah ditetapkan bagi menjaga kehormatan dan privacy semua pihak.

Borang program PMK-WAP ini boleh dimuat turun di sini http://www.wadah.org.my/borang-brosur.html

 

31.Dec.2014

SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadzil di tapak bangunan Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH di Kg. Sg. Merab, Sepang telah diadakan pada 18 Disember 2014. Turut hadir bersama pimpinan dan ahli-ahli WADAH Pusat, Saudara Fazril Saleh dari PKPIM serta sebahagian penyumbang wakaf lantai. Majlis minum pagi ini diadakan bagi melihat sendiri keadaan terkini proses pembangunan PDTW yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan, in shaa Allah.

 

Dato' Siddiq Fadzil dalam ucapannya menyeru agar ahli-ahli WADAH dan para penderma agar tidak jemu untuk menginfaqkan harta di jalan dakwah kerana ia merupakan amalan yang memberi pahala berterusan. Maklumat terkini berkaitan perkembangan pembangunan dan hal-hal yang berkaitan dengannya turut disampaikan oleh ahli jawatankuasa pembangunan, En. Nur Mukhlis b. Sahid kepada semua yang hadir.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

22.Dec.2014

KAJANG - Persidangan Meja Bulat: Pengukuhan Tarbiyah Jamaah MAKTAB (WAP) telah diadakan pada 20 Disember 2014 bertempat di Bilik Syura, Kolej Dar Al-Hikmah. Persidangan ini dihadiri oleh wakil WAP dari setiap negeri dan ia diadakan bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan jamaah serta mengukuhkan pengurusan organisasi tarbiyah jamaah. 

Presiden WADAH, Ybhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan beliau bertajuk 'Peranan Murabbiy dalam Konteks Jamaah' menekankan bahawa proses tarbiyyah sejak awal lagi diberi penekanan luar biasa oleh jamaah. Ini kerana sistem pendidikan telah dirosakkan oleh sistem sekular dan ini memerlukan pendidikan semula – re-educating

Menurut beliau, tradisi Usrah – “kumpulan belajar bersama” yang diketuai oleh naqib ini telah dimasyarakatkan pada masa kini. Tradisi gerakan meletakkan usrah itu sangat penting kerana tarbiyyah amat diutamakan. Walaubagaimanapun, ada di kalangan ahli-ahli yang kegiatannya hanyalah tarbiyyah dan tiada yang lain. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana tarbiyyah ibarat bengkel untuk pembaikan dan penambahbaikan supaya keluar dan berprestasi. Dinamika usrah tidak harus semata-mata berusrah tanpa ada projek dakwah. 

Dato' Dr. Siddiq Fadzil juga menekankan bahawa Ar-Rasul Muhammad s.a.w. merupakan Murabbiy Teragung kerana Baginda berjaya mendidik golongan sahabat yang unggul. Dimensi kemurabbiyyan yang ada dalam diri Ar-Rasul perlu dilihat dan dijadikan sumber renungan kerana ianya luar biasa dan dianggap satu mukjizat (mukjizat kependidikan). Andai Rasulullah s.a.w tidak punya apa-apa mukjizat sekalipun, namun kejayaan Baginda mendidik dan membentuk peribadi pengikutnya sudah cukup membuktikan kenabiannya kerana para sahabat juga merupakan murabbiy sepanjang zaman selepas Rasulullah s.a.w hingga hari ini.

 

Sistem Tarbiyyah WAP perlu meletakkan Naqib yang Murabbiy atau Murabbiy yang Naqib. Naqib bukan hanya memberikan ilmu, tetapi juga memimpin usrah sedangkan Murabbiy punya tanggungjawab Tarbawiy yang lebih luas. Buku 'Taklim al Muta'allim' - kitab thurath dalam pendidikan yang ditulis oleh Al-Zanujiy, membicarakan cara memilih guru serta kekuatan pendidikan yang tidak ada dalam sistem pendidikan sekarang. Buku ini yang telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris bertajuk 'Methods of Learning' - menggambarkan keseriusan orang Barat untuk melahirkan pendidik yang terbaik dari kalangan mereka. Hal ini kerana, apabila seseorang itu berguru, dia bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi turut membentuk peribadi.  

 

Menurut beliau lagi, pendidikan merupakan  pengutuhan dan penyempurnaan insan kerana tugas seorang murabbiy bukan terbatas kepada penyampai ilmu sahaja tetapi juga membaiki diri insan – islah al nafs. 

Imam Hasan al Banna menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbiy:-

1. Qawiyy al jism – kesihatan tubuh badan.
2. Matin al khuluq – kewibawaan moral, berakhlak tinggi.
3. Muthaqqaf al fikr – keterbukaan minda, membudayakan ilmu.
4. Qadir ‘ala al kasb – kemampuan menyara hidup, keusahawanan – enterprising spirit.
5. Salim al aqidah – kejituan aqidah, kemurnian iman.
6. Sahih al ‘ibadah – ketepatan beribadah, ibadat yang betul.
7. Mujahid li nafsih – keupayaan mengawal nafsu, bermujahadah.
8. Harithan ‘ala waqtih – peka terhadap masa, sensitif kepada waktu, tidak meleret tanpa kesedaran.
9. Munazzam di shuúnih – tertib segala urusan, pengurusan tidak berselerak.
10. Nafi ‘an li ghayrih – berbakti, bermanfaat kepada orang lain, berkhidmat kepada masyarakat.

 

Sumber Catatan: Hisyam Pahang dan Prof. Mohd Fauzan (https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152962685903606&set=a.448646798605.248291.502893605&type=1)

 

18.Dec.2014

SHAH ALAM - Program ini telah diadakan pada 8 - 10 Disember 2014 yang lalu, bertempat di Carlton Hotel, Shah Alam. Ia adalah sebahagian daripada Siri Pendidikan Politik anjuran Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan (APDK) dan ia dirangka khusus untuk:

1. Memberi pendedahan tasawur atau ‘world view’ kepada para peserta kefahaman tentang khazanah ilmu tradisi Islam (turath) yang dikembangkan oleh para ilmuwan Islam awal.

2. Memberi pencerdasan kepada para peserta tentang hikmah serta ‘respond’ yang diambil oleh ilmuwan Islam silam dalam aspek siyasah meliputi pemerintahan, negara, perundangan, pentadbiran, kenegaraan dan kewarganegaraan.

3. Memahami dan mengenali tokoh-tokoh ilmuwan turath Islam yang menyumbang karyanya dalam bidang Siyasah atau Politik yang dihasilkan berdasarkan pengalaman ulama yang pernah ikut serta dalam sistem pemerintahan Islam zaman mereka atau terlibat dalam pergolakan politik umat zaman masing-masing.

Antara yang terpenting termasuklah Suluk al-Malik fi tadbir al-Mamalik oleh Ibn Abi Rabi’ (abad III Hijrah), al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah oleh al-Mawardiy (abad IV Hijrah), al Ahkam al-Sultaniyyah oleh Abu Ya’la al-Farra’ (abad V Hijrah), al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk dan Ihya ‘Ulum al-Din oleh al-Ghazali (abad V Hijrah).

Antara thurath yang dikaji.

Selama tiga hari, peserta dibimbing terus oleh al-fadhil Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dari awal hingga akhir program bagi memberi kefahaman asas kepada para peserta tentang khazanah turath yang berinteraksi dengan Siyasah dan Politik Islam. Konsep program adalah ‘belajar bersama’ secara santai, informatif dan menganalisis latar peristiwa zaman. Sekitar 50 orang dari pelbagai latar belakang berkampung bagi menghayati teks dan konteks hasil pemikiran tokoh-tokoh penting masa lalu, yang telah menyumbang pemikiran mereka mengenai isu-isu imamah, khilafah, kriteria perlantikan, tanggungjawab dan persyaratan-persyaratan yang harus dipenuhi.

Proses pembelajaran dibahagikan kepada 10 slot berbeza bermula dengan pengenalan kepada tradisi thurath hingga kepada konklusi pembelajaran. 

Antara tokoh dan khazanah turath yang didekati ialah Ibn Muqaffa' (al-Adab al-Kabir, Risalah fi al-Sahabah), 'Aliy Ibn Rabn al-Tabariy (Kitab al-Din wa al-Dawlah), Qadi Abu Yusuf (Kitab al-Kharaj), Ibn Abi Rabi' (Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik), Al-Mawardi (al-Ahkam al-Sultaniyyah), Al-Ghazali (al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk), Ibn Taimiyyah (al-Siyasah al-Syar'iyyah), Ibn Khaldun (Kitab al-'Ibar), Muhammad Abduh/Rasyid Rida (al-Khilafat wa al-Imamat al-'Uzma), Raja Ali Haji (Thamarat al-Mahammah) dan karya siyasah shar'iyyah Itqan al-Muluk (Perlembagaan Terengganu 1911).

Semoga usaha ini menyumbang kepada pendidikan politik untuk para pemimpin dan pencerdasan rakyat.

 

 

.

09.Dec.2014

Batu Kurau, PERAK- Tamrin WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) bagi Negeri Perak dan Pulau Pinang telah diadakan pada 28 hingga 30 November yang lalu di Mawaddah Resort, Batu Kurau, Perak.

Tamrin yang berlangsung selama 3 hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya ialah Kuliah Subuh oleh Yang Di-pertua ABIM Penang, Ust. Zayd Zhari, Kuliah Maghrib oleh Yang Di-pertua ABIM Perak, Ust. Saidi,  pengisian-pengisian daripada Tn. Hj. Ahmad Azam Ab.Rahman (Peranan WAP dalam Era Globalisasi), Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden WADAH (Di antara KeEsaan dan Kemajmukan), Ust. Mahyuddin Ashaari dari Yayasan Takmir Pendidikan (Kepentingan Pendidikan dalam Jemaah), serta Dr. Muhammad Nur Manuty (Al-Ilm).

19.Nov.2014

 

BANGI - Muktamar Nasional Kelapan WADAH & Seminar 'Islam Rahmatan Lil'Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik' telah diadakan pada 20 & 21 September 2014 bertempat di TNB-ILSAS, Bangi. Seminar ini merupakan anjuran bersama WADAH & Nadwah Ilmuwan (NADWAH) bertujuan membincangkan dengan mendalam dan menyeluruh tentang konsep Islam rahmatan lil'alamin dalam usaha memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.

 

Sesi seminar telah dibahagikan kepada 2 sidang; Sidang 1 dan Sidang 2. Berikut merupakan moderator, penyampai dan tajuk-tajuk yang dibincangkan sepanjang sesi seminar:

     Sidang 1:"Islam Rahmatan Lil 'Alamin dalam Konteks Masyarakat Pluralistik"

     Moderator: Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman

     1. Dr. Muhammad Nur Manuty - "Zaman Rasulullah dan Sahabat"

     2. Sdr. Jamaluddin Mohyiddin - "Kerajaan Andalusia"

     3. Prof. Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman - "Daulah Uthmaniyyah"

     Sidang 2: "Islam dan Pluralisme: Cabaran Semasa"

     Moderator: Prof. Madya Dr. Shaharuddin Badaruddin

     1. Prof. Dr. Abdul Aziz Bari - "Aspek Perundangan"

     2. Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi - "Aspek Sosio-Budaya"

 

 

 

 

Hasil daripada diskusi sepanjang seminar, maka dengan itu, Seminar 'Islam Rahmatan Lil'Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik' menganjurkan beberapa seruan berikut:

1. Kepentingan membangun pendekatan kontekstual dalam usaha dakwah berteraskan 'a universalistic and humanistic presentation of Islam' yang sejajar dengan sifat agama Islam sebagai 'al-dakwah wa 'alamiyy al-risalah' (keinsanan dakwah dan kesejagatan Islam).

2. Keperluan gerakan Islam merancakkan wacana realiti al-ta'addudiyyah, pluralistik atau kemajmukan dalam pengertian yang bersifat Islami apatah lagi, konsep pluralisme itu mengandungi beberapa tahap makna dan pengertian. Masyarakat Islam hendaklah menolak fahaman pluralisme agama dalam maksud penyamaan semua agama.

3. Piagam Madinah hendaklah dihadam dengan mendalam oleh seluruh ahli gerakan Islam dan seluruh warga masyarakat memandangkan kepentingannya sebagai model unggul pembinaan ummah yang bercirikan kepelbagaian terutama dalam konteks Malaysia.

4. Iktibar daripada pengalaman prinsip dan semangat rahmatan li al-a'lamin dalam pengalaman kepemimpinan Rasulullah, para sahabat dan kekhalifahan Islam seperti di Andalusia dan Uthmaniyyah hendaklah diperluaskan perbincangannya dalam masyarakat.

5. Para pemmpin dan ahli politik tanahair hendaklah mendukung dasar 'kepelbagaian dalam bingkai kesatuan', seterusnya menerima hakikat al-ta'addudiyyah al-siyasiyyah (kemajmukan politik) bagi memastikan penerimaan terhadap kepelbagaian pendapat, pemikran dan strategi bagi pembinaan negara.

6. Sistem pendidikan negara hendaklah terus dinilai bagi memastikan ia menjad satu wahana terampuh bagi menyemarakkan nilai-nilai hidup kemajmukan positif seterusnya memacu ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang utuh.

7. Pendidikan masyarakat tentang hakikat Islam sebagai rahmatan li al-'alamin hendaklah diperluaskan dan diperkukuhkan bagi membolehkan masyarakat menyikapi kepelbagaian ini dengan positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai asas kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.

8. Penghayatan asas-asas kesatuan bangsa meliputi prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada Yang Dipertuan Agong, menghormati jalur gemilang, perlembagaan Malaysia, kedudukan Bahasa Kebangsaan hendaklah terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

9. Gerakan Islam dan masyarakat Malaysia harus saling berganding bahu bagi membina Ummah Siyasiyyah yang inklusif iaitu meraikan kepelbagaian bangsa ini bagi membentuk satu ummat politik Malaysia.

10. Budaya dialog dalam pengertian bagi memupuk semangat lita'arafu, saling berhubungan, berkenalan dan memahami serta semangat toleransi hendaklah terus dipupuk sebagai nilai asas bagi usaha pembinaan bangsa Malaysia yang kukuh.

11. Seluruh umat Islam hendaklah meningkatkan penghayatan keagamaan dalam pengertian yang sebenar dan menjauhkan diri dari terjebak dengan perlakuan, ucapan dan sikap yang bertentangan dengan prinsip al-ta'addudiyyah Islam dalam segenap aspek kehidupan demi memelihara kesucian dan citra Islam yang bersifat rahmatan li al-'alamin.

 

25.Aug.2014

GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah berlangsung Ijtimak Haraki peringkat Wilayah Persekutuan yang melibatkan WADAH dan ABIM Wilayah Persekutuan serta Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP) di Sri Al-Huda, Gombak. Tn. Hj. Mohd Yunus Aminuddin telah mewakili WADAH Pusat dalam acara tersebut.

 

 

 

25.Aug.2014

KUANTAN - Ijtimak Harakiy peringkat negeri Pahang melibatkan WADAH dan ABIM Pahang serta Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN) telah diadakan pada 23 Ogos 2014 bertempat di SERI Indera Mahkota. Encik Mohd Halimi Abdul Hamid telah mewakili WADAH Pusat ke acara tersebut.

 

 

 

 

 

25.Aug.2014

KOTA KINABALU - Wacana Sejarah Kedatangan Islam ke Borneo Siri-3 telah diadakan bersempena Muktamar Sanawi WADAH Negeri Sabah kali ke-8 di Dewan Tun Sakaran, Hotel Tabung Haji, Kota KInabalu. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang hadir mewakili WADAH Pusat turut membentangkan kertas kerja beliau dalam wacana tersebut.

 

25.Aug.2014

Gombak - Ijtimak Harakiy Selangor sempena Muktama Tahunan WADAH dan ABIM Selangor berserta Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) telah diadakan di Kolej Vokasional Gombak pada 24 Ogos 2014. Tn. Hj. Ahmad Mustapha telah mewakili WADAH Pusat ke acara tersebut.

 

 

  • Terkini
  • Popular
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menzahirkan sembah…
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melahirkan rasa…
  • SHAH ALAM - Wadah Pencerdasan Umat Malaysia…
  • 16 Sept. 2018, BANGI - Sahabat-sahabat dari…
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH kesal dan…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • OKTOBER 2017 - Alhamdulillah, telah berlangsung dengan…
  • EID MUBARAK 1439H
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map