05.Aug.2015

BUKIT BARU, Melaka -  Muktamar Sanawi dan Ijtimak Harakiy WADAH Melaka telah berlangsung pada 26 Julai 2015, Ahad lalu bertempat di Bangunan Al-Huda di sini dihadiri oleh PSUA Wadah, saudara Mohd. Halimi Abdul Hamid sebagai wakil Pusat di muktamar tersebut. Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri  yang melibatkan WADAH, ABIM dan PEPIM turut diadakan setelah selesai muktamar pada sebelah pagi. 

 

27.Jul.2015

KOTA BHARU, KELANTAN - WADAH Kelantan telah mengambil inisiatif melancarkan SALWA Negeri Kelantan sebagai usaha mewujudkan satu platform rasmi bagi sayap wanita WADAH di negeri tersebut. Majlis pelancaran ini telah diadakan pada 13 Jun 2015 bersamaan 25 Syaaban 1436H (Sabtu) bertempat di Dewan Besar Kompleks Masjid Al-Hikmah, Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan. Diharapkan dengan wujudnya struktur yang lebih jelas dan tersusun ini akan merancakkan gerak kerja SALWA dalam usaha memperkasa umat melalui aktiviti pentarbiyahan, kaderisasi, kemasyarakatan, advokasi, dan sebagainya.

Ustazah Sharifah Che Hassan selaku Ketua SALWA Negeri Kelantan telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan penerangan tentang pelancaran SALWA Kelantan. Majlis diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh wakil SALWA-WADAH Pusat, Prof. Madya Dr. Nur Izura berkenaan SALWA WADAH sekaligus merasmikan Pelancaran SALWA-WADAH Negeri Kelantan.

Majlis turut memuatkan pengisisan ilmu bertajuk "Ambang Ramadhan" oleh Ustz. Hachinah Ahmad, diikuti dengan penerangan Program "Gerak Ibadat" SALWA-WADAH Kelantan oleh Ustz. Sharifah Che Hassan. Program “Gerak Ibadat” ini telah dimulakan sejak lebih tiga tahun lepas oleh Ustazah Sharifah sendiri di Ranting Kampung Sireh, di mana kaum wanita di kampung berkenaan diajak untuk menyertai aktiviti seperti usrah secara potluck, kelas pengajian Al-Quran, kursus membuat kuih, kursus menggunting rambut, seni silat, dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini walaupun bersifat kecil-kecilan tetapi ia merupakan kaedah tarbiyah yang konsisten dan efektif, yang boleh dicontohi oleh SALWA di negeri lain. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama wakil-wakil SALWA-WADAH Kelantan.

Moga dengan pelancaran SALWA-WADAH Kelantan ini dapat meneruskan keberlangsungan dakwah di negeri Cik Mek Molek ini.

 

 

02.Jul.2015

SG. MERAB LUAR - Pada 26 Jun 2015 (Jumaat) bersamaan 09 Ramadhan 1436H, telah berlangsung Majlis Iftar Sumbangsih dan Infaq PIW 1436H bertempat di Restoran Perantau Hill, Sg. Merab Luar, Selangor. Majlis ini dianjurkan oleh Pusat Infaq WADAH atau lebih dikenali dengan singkatan PIW dan telah dihadiri oleh 80 orang ahli WADAH. Turut hadir dalam majlis ialah Presiden WADAH, Dato Dr. Siddiq Fadzil serta En. Rafie b. Zakaria, Penolong Pengurus Baitulmal Majlis Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Majlis telah dipengerusikan oleh Hj. Yunus Aminuddin, Setiausaha Kewangan WADAH merangkap Bendahari PIW.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi PIW, Hj. Abdul Rahman b. Siraj. Beliau dalam ucapannya menerangkan secara umum tentang peranan serta peri pentingnya keterlibatan ahli jemaah dalam PIW.  Majlis diteruskan dengan ucapan dari Dato Dr. Siddiq Fadzil yang menerangkan tentang 'al-munfiqin' (orang yang memberi infaq). Antara golongan yang paling disayangi oleh Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Dengan infaq yang diberi, ia dapat menggembirakan orang lain. Walaubagaimanapun, segembira mana orang yang menerima infaq, akan lebih bergembiralah orang yang memberi kerana barakah/ganjaran Allah kepada hamba-Nya tidak diberitahu semuanya. Infaq/sedekah juga merupakan antara penampung amal soleh bagi doa seorang Muslim. 

 

 

Persembahan multimedia berkaitan PIW secara lebih terperinci turut ditayangkan. Dalam majlis ini juga, penyerahan 'mock-up' cek daripada 6 penyumbang infaq telah diterima oleh PIW termasuklah daripada MAIWP iaitu sebanyak RM 15,000.00. Antara penyumbang infaq pada petang tersebut adalah En. Yazid Arsilin, Hjh. Amanah bt. Yusof, En. Gafa Keme, Hjh. Jamilah Yussof serta Datuk Faisal @ Ibrahim b. Siraj. 

Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan iftar.

 

 

02.Jul.2015

PENGENALAN

 

 

Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan oleh AJKP WADAH sebagai inisiatif memperkasakan usaha-usaha menjana sumber kewangan untuk kepentingan jamaah. PIW diwujudkan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha penjanaan dana dan kewangan secara cekap dan berkesan bagi membiayai program dan aktiviti-aktiviti jamaah. Antara peranan utama PIW adalah:

  • - Menerima sumbangan dan infaq dari anggota WADAH dan masyarakat.
  • - Membantu menggalakkan masyarakat membayar zakat dan menyalurkannya ke institusi-institusi zakat negeri.
  • - Membantu institusi-institusi zakat mengagihkan infaq dan zakat kepada asnaf serta mereka yang layak menerima.

 

Kelebihan menggunakan PIW untuk membayar infaq/zakat:

  • - Melaksanakan tuntutan syara'.
  • - Membantu membangunkan jamaah dan mengembangkan kegiatannya.
  • - Memastikan sumber-sumber dapat digunakan secara cekap dan berkesan untuk program-program dakwah yang benar-benar strategik.

 

AHLI JAWATANKUASA PIW

Berikut merupakan Ahli Jawatankuasa yang akan menguruskan Pusat Infaq WADAH (PIW):

 

Struktur Organisasi PIW

 

PANEL SYARIAH

Panel Syari'ah diwujudkan bagi menasihati perjalanan PIW dan memastikan urusan kutipan infaq dan agihannya adalah patuh syari'ah. Berikut merupakan panel syariah untuk PIW:

 

 Panel Syariah PIW

 

PRESTASI PIW TAHUN 2014

Prestasi penerimaan dan pengagihan wang zakat WADAH pada tahun 2014 boleh dilihat di pautan berikut:

http://www.wadah.org.my/component/k2/item/504-kutipan-zakat.html

 

SASARAN PIW TAHUN 2015

Sasaran perolehan dan agihan wang zakat bagi tahun 2015 berjumlah RM 500,000.00. Beberapa strategi dan langkah akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut agar agihan zakat dapat diberikan pada yang memerlukan.

 

'Berinfaq Sambil Menyumbang Kepada Jamaah'

 

 

 

 

29.Jun.2015

Maqasid Al-Quran (Objektif-objektif Al-Quran)

Merupakan prinsip segala prinsip. Ia sudah lama dibicarakan oleh ulama' terdahulu. Imam al-Ghazali ada membicarakan dalam kitab Jawahirul QuranAthohirul ibnu ashur; dikenali sebagai pelopor pembicaraan maqasid al-Quran. 


Sheikh Al-Qardhawi menyenaraikan 7 maqasid al-Quran:

1. Membetulkan aqidah, mengembalikan manusia kepada faham tauhid yang semurninya.  Di dalam al-Quran, ayat-ayat tentang ke-Esaan Allah lebih banyak daripada ayat-ayat tentang kewujudan Allah. Kesalahan umat terdahulu kebanyakannya mensyirikkan Allah. Seluruh kitab-kitab Samawi membawa maksud yang sama iaitu' Tiada tuhan yang disembah selain Dia' dan ayat ini diulang-ulang.

2. Menegaskan kemuliaan insan (human dignity) dan hak-hak keinsanan (human rights); Karamah insaniah dan hak-hak keinsanan. Manusia itu punya karamah dan dimuliakan oleh Allah. Dengan menjadi manusia, dia punya hak kemanusiaan (lebih kepada darurat; sesuatu yang tidak boleh tidak- yang lebih tinggi darjatnya daripada hak). Walaubagaimanapun, manusiakan dahulu manusia itu baru boleh dituntut hak-haknya.

3. Adda'wah ila 'ibadatillahMengajak kepada pengabdian kepada Allah. Hanya insan yang menjadi sasaran dakwah kerana yang bukan insan tidak  perlu didakwah kerana ia telah mengabdikan diri pada Allah secara lahiriah/tabii. 

4. Penyucian jiwa manusia dan membina akhlak manusia. Menjadikan tazkiyah (pembersihan) suatu agenda yang penting, menjurus kepada pembersihan hati manusia. Kadang kala kita lihat orang-orang berkelulusan tinggi termasuk lulusan agama tapi mempunyai penyakit rohaniah yang tidak tertolong kerana hilangnya fokus dalam proses pembinaan manusia. 

Hanya jiwa yang murni mampu membawa tugasan imaratul ardhi; membangun dan memakmurkan bumi . Manusia yang jiwanya kotor hanya akan merosakkan bumi.

"Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia"- Misi utama Rasulullah. Ibadah-ibadah yang disyariatkan (puasa, solat dll) punya nilai-nilai akhlak dan hikmah dalam membina akhlak seorang Muslim serta memberi kekuatan melawan kemungkaran dan kejahatan. Justeru, tazkiyah dan makarimul akhlaq sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. 

5. Pembinaan keluarga yang soleh (al-usrah as-solehah) dan mengangkat martabat / memuliakan wanita sebagai wanita. Bidang kekeluargaan ialah aspek paling terperinci yang disebut di dalam al-Quran (dari hal mahar, cerai, harta pusaka, kesetiaan dan layanan suami isteri- segalanya telah ditentukan). Tanggungjawab membentuk anak-anak terletak pada ibubapa dan bukan pada institusi pendidikan semata.

Di dalam Islam, wanita dimuliakan sebagai wanita yang tidak perlu menjadi lelaki, berbeda dengan dunia Barat. Islam membezakan dengan jelas, lelaki tidak sama dengan wanita. Tetapi dari segi kemuliaan, hak-hak dan sebagainya, wanita boleh jadi mulia tanpa menjadi seperti lelaki.

6. Pembinaan umat. Umat yang menjadi saksi kepada kemanusian seluruhnya, hadir secara bererti dan bertanggungjawab kepada manusia keseluruhnya serta membenarkan yang benar dan salahkan yang salah.

7. Seruan ke arah pembinaan kemanusiaan sejagat yang saling bekerjasama. Berbuat baik kepada seluruh bangsa manusia, walaupun mereka tidak menganut agama Islam. Jangan semua kafir diajak berkelahi. Tanggungjawab manusia termasuk membela sesama manusia atas dasar kemanusiaan.

 

Bicara Ramadhan bersama Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Iftar Jamaie Jamaah 1436H

27 Jun 2015 bersamaan 10 Ramadhan 1436H

Dewan Besar, Kolej Dar Al-Hikmah

07.May.2015

PORT DICKSON - Berkesinambungan dari Siri MQ yang terdahulu, Muzakarah Qiyadah kali ke-6 (MQ6) ini telah diadakan pada 11-12 April (Sabtu-Ahad) bertempat di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pertemuan dan muzakarah antara WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) dari seluruh negeri di Malaysia ini dipenuhi dengan sesi muhasabah dan diskusi berkaitan jamaah dan hal-hal yang bersangkutan dengannya.

Muzakarah Qiyadah kali ke-6 ini telah mengumpulkan seramai hampir 70 orang ahli WAP yang terdiri dari pimpinan-pimpinan Pusat dan juga Negeri. Muzakarah selama 2 hari ini menyediakan ruang untuk bermuhasabah bagi menilai keberkesanan kaedah dan pendekatan gerakan yang digunakan selama ini serta bertujuan untuk menjana dan meneroka dimensi-dimensi serta ruang-ruang baru yang boleh diteroka dan diaplikasi oleh WAP bersesuaian dengan perubahan suasana dan keadaan terkini.

Resolusi yang dicapai melalui bengkel-bengkel serta diskusi yang dijalankan sepanjang 2 hari ini diharap dapat menambahbaik serta memperkukuhkan gerakan WAP dalam menanggapi isu-isu jamaah serta umat Islam di dalam dan luar negara secara keseluruhannya. 

   

   

 

07.May.2015

SG. MERAB - Pada 26 April 2015 yang lalu, Majlis Mahabbah 400K telah diadakan bertempat di Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH (PDTW). Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan PDTW ini telah dihadiri oleh ahli-ahli Wadah, ABIM dan PKPIM (WAP). Ianya diadakan bagi memperlihatkan kemajuan pembangunan PDTW kepada warga WAP serta sebagai salah satu cara memungut dana pembangunan pusat ini yang masih diperlukan. Projek pembangunan pusat ini yang telah bermula sejak April 2014 kini telah mencapai 65% kemajuan pembangunan. 

Majlis turut dihadiri Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadhil serta Dato' Fadzil Muhammad.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr. Ab. Halim Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan PDTW. Beliau mengalu-alukan kedatangan semua yang hadir serta menekankan tentang peri utama melakukan kebajikan sebagai seorang Muslim. Beliau turut mengingatkan bahawa kualiti hidup secara umumnya, akan terbina dengan baik, apabila aspek-aspek ini dapat diberikan tumpuan iaitu; 1) Pendidikan; 2) Peribadatan dan penghayatan syariat Islam ; serta 3) Harta. 

 

Majlis diteruskan dengan taklimat teknikal pembangunan yang disampaikan oleh Hj. Mukhlis Sahid selaku Ahli Jawatankuasa PDTW. Menurut beliau, kos pembinaan serta keperluan prasarana yang lain, termasuk kos perkhidmatan yang lain bagi projek ini dianggarkan bernilai RM 1.0 juta. Sehingga kini, dana pembangunan pusat masih diperlukan khususnya untuk kos kerja-kerja akan datang. Berikut merupakan butiran kerja akan datang serta anggaran kos yang diperlukan:

Bil.

Butiran Kerja

Anggaran Kos

1.

Kerja2 kemasan dinding, lantai serta siling

RM 150,000

2.

Kerja2 tingkap & pintu

RM   70,000

3.

Kerja2 pendawaian elektrik

RM   85,000

4.

Kerja2 paip air & kelengkapan

RM   60,000

5.

Kerja2 saluran najis & tangki

RM   25,000

6.

Kerja2 pagar, longkang/culvert & premix

RM   85,000

7.

Pemasangan lampu & penghawa dingin

RM 160,000

JUMLAH KESELURUHAN

RM 635,000   

 

Majlis seterusnya dirasmikan oleh Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadhil. Beliau menyeru warga WAP agar mengambil setiap peluang yang datang untuk berinfaq dan berwakaf. Dato' Dr. Siddiq turut memetik maksud Surah Ali-Imran, 3:14;

 

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

 

                    

 

Presiden WADAH turut mengingatkan warga WAP agar tidak berhenti dalam membuat kebaikan. Menurut beliau, buat baik biarlah berkali-kali dan bukan hanya sekali, dan berbuat kejahatan jangan diulang lagi setelah terlanjur melakukannya. Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan serangkap pantun;

Nasi kukus siap tersaji,

Buat hidangan makan siang,

Sejak tikus naik haji,

Banyak kucing yang sembahyang.

 

Majlis Mahabbah 400K diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

 

 

* Kredit catatan Saudara Sirajuddin Sirat

 

 

 

 

 

 

23.Mar.2015

Bangi - Tanggal 10 Mac 2015 bersamaan 19 Jamadilawal 1436H telah berlangsung Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji bertempat di Dewan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Seminar yang dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Gabungan Pendakwah Islam Selangor (GAPIS), Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BAKEWANIS), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS).

Pada umumnya, objektif seminar adalah untuk mengupas kepelbagaian pemikiran Raja Ali Haji menerusi karya-karya yang telah dihasilkan di samping memahami pemikiran Raja Ali Haji dalam perspektif penghayatan nilai-nilai agama dan fiqh dawlah. Ucapan perasmian seminar disampaikan oleh Hj. Mohd Yusop Hassan, Pengerusi Wadah Selangor. 

 

 

 

Ucaptama seminar ini disampaikan oleh Presiden Wadah, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil yang bertajuk "Raja Ali Haji : Kecendiakawan dan Kepengarangannya". Selain itu, ditekankan juga aspek ketokohan dan keilmuan Raja Ali Haji semasa hayat beliau.

Pada sesi kedua pada jam 11.00-1.00 petang berlangsung dua sidang selari. Sidang selari 1 di Dewan Said Ramadhan al-Buti menampilkan pembentang pertama Dato’ Dr. Abu Hassan Sham yang bertajuk "Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi" dan pembentang kedua dengan tajuk "Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji (1808-1873M)" oleh Puan Fairuzah binti Basri. Manakala sidang selari 2 di dewan berbeza pula menampilkan Prof. Madya Dr. Khalif Muammar bin A. Harris yang membentangkan tajuk "Sistem Kehakiman Islam Dalam Karya Raja Ali Haji" dan pembentang kedua Puan Wazzainab binti Ismail yang membentangkan tajuk "Mengembalikan Kecemerlangan Ulama-Suatu Cabaran Bagi Umat Menerusi Perspektif Raja Ali Haji".

 

 

Seterusnya, sidang selari 3 dan sidang selari 4 berlangsung pada jam 2.30-4.15 petang di dewan yang sama. Sidang selari 3 menampilkan Puan Ayu Nor Azilah binti Mohamad yang membentangkan tajuk "Peranan Raja Ali Haji dalam Pertembungan Agama dan Politik di Alam Melayu" dan Dr. Arba’iyah binti Mohd. Noor membentangkan tajuk "Pemikiran Sejarah Raja Ali Haji Menerusi Tuhfat al-Nafis, Karya Ulung Kesultanan Johor-Riau-Lingga". Manakala sidang selari 4 pula menampilkan Prof. Dr. Tatiana A. Denisova yang membentangkan tajuk "Ketatanegaraan Melayu Kurun ke-19 Menerusi Pandangan Raja Ali Haji: Kajian Berasaskan karya Sejarah Tuhfat al-Nafis". Pembentang terakhir disampaikan oleh Puan Rohaini binti Amin yang bertajuk "Bahasa Melayu Sebagai Wadah dan Tarbiah dari Kaca Mata Raja Ali Haji".

 


Berpandukan pembentangan, perbincangan dan cadangan yang dikemukakan dalam seminar ini, Jawatankuasa Resolusi Seminar membuat beberapa rumusan untuk pemerhatian semua pihak supaya mendapat pertimbangan dan seterusnya dapat melaksanakannya di peringkat masing-masing.

Maka, resolusi yang dapat dirumuskan  berdasarkan seminar ini adalah seperti berikut:

1. Meminta Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dibuat oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan beberapa pihak lain seperti DBP dan Jabatan Sejarah UM untuk mengumpul dan mengkatalogkan manuskrip tentang Islam dan Melayu, khazanah penulisan tokoh-tokoh Melayu Islam dan seumpamanya yang berada berselerakan di seluruh dunia.

2. Mencadangkan agar kerajaan Negeri Selangor, melalui UNISEL untuk menganjurkan dan menawarkan satu kursus peringkat sijil kepada masyarakat umum iaitu Kursus Pemikiran Raja Ali Haji. Kursus ini dicadangkan agar diberi keutamaan kepada para nazir dan imam kanan masjid-masjid di Selangor. Seterusnya boleh diikuti dengan tokoh-tokoh yang lain pula.

3. Menguruskan “Kerusi RAH” KUIS yang berperanan mengkaji dan menganalisa tokoh-tokoh ulama/umarak dan pemikir Islam Alam Melayu.

4. Meminta kerajaan negeri Selangor untuk memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos penulisan dan penerbitan buku-buku tentang tokoh-tokoh Melayu dan perkembangan Islam di Alam Melayu yang telah menanjakkan umat ke tahap ilmu dan pengalaman Islam secara menyeluruh.

5. Sekretariat Raja Ali Haji disyorkan agar terus beroperasi untuk membuat penjelajahan seluruh negara khususnya di negeri Selangor untuk menyebarluas ketokohan raja Ali Haji dan maknanya kepada pembentukan watak, otak dan jiwa umat.

6. Mencadangkan kerajaan negeri Selangor mengadakan program khusus iaitu “Bengkel Pemikiran Raja Ali Haji” untuk penggerak masyarakat – jawatankuasa masjid, JKK dan Badan Bukan Berkanun Islam dengan Kerjasama KUIS, MAIS, JAIS, WADAH dan DBP.

7. Berdasarkan ungkapan ‘Sejarah yang benar tidak semestinya sejarah yang rasmi. Sejarah yang rasmi pula tidak semestinya benar’. Maka dicadangkan kepada KUIS dan DBP agar satu kajian dan analisa dilakukan untuk mengasingkan antara catatan yang palsu dengan fakta yang sohih tentang Alam Melayu dan tokoh-tokoh yang mewarnai dan mewakili zamannya.

8. Mengesyorkan agar perbincangan ilmiah seperti seminar, wacana dan diskusi meja bulat diadakan secara berkala. Hasilnya diterbitkan dalam bentuk buku, majalah dan risalah yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan tulisan ilmiah.

9. Memperuntukkan sejumlah dana dalam bentuk geran penyelidikan kepada para pengkaji yang berminat untuk menterjemah, mentransliterasi, dan menyelidik buku-buku hasil penulisan tokoh-tokoh terkenal yang masih banyak dibiarkan ‘terbiar’ tanpa diusik.

10. Mencadangkan agar buku-buku yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh yang terkemuka di Alam Melayu umumnya di Malaysia khasnya dijadikan antara buku yang perlu dipelajari oleh para pelajar sama ada pada peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

13.Jan.2015

SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej Dar Al-Hikmah, Program Membina Keluarga WADAH-ABIM-PKPIM (PMK-WAP) telah dirasmikan oleh  Dato' Dr. Siddiq Fadzil pada 14 Disember 2014. Bertemakan 'Keluarga Mawaddah WaRahmah di Jalan Da'wah', objektif utama program ini adalah untuk menyediakan ruang perkenalan yang selesa dan Islamik di kalangan warga muda WAP agar mempermudah proses membina keluarga.

 

Program ini dianjurkan sebagai inisiatif bagi membantu generasi muda WAP yang menghadapi kesukaran dalam mencari pasangan hidup berpunca daripada beberapa suasana semasa dan khidmat yang diberikan adalah percuma. Polisi kerahsiaan di antara peserta dan pentadbir akan dilaksanakan sepanjang proses serta beberapa panduan dan peraturan prosedur telah ditetapkan bagi menjaga kehormatan dan privacy semua pihak.

Borang program PMK-WAP ini boleh dimuat turun di sini http://www.wadah.org.my/borang-brosur.html

 

31.Dec.2014

SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden WADAH, Dato' Dr. Siddiq Fadzil di tapak bangunan Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH di Kg. Sg. Merab, Sepang telah diadakan pada 18 Disember 2014. Turut hadir bersama pimpinan dan ahli-ahli WADAH Pusat, Saudara Fazril Saleh dari PKPIM serta sebahagian penyumbang wakaf lantai. Majlis minum pagi ini diadakan bagi melihat sendiri keadaan terkini proses pembangunan PDTW yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan, in shaa Allah.

 

Dato' Siddiq Fadzil dalam ucapannya menyeru agar ahli-ahli WADAH dan para penderma agar tidak jemu untuk menginfaqkan harta di jalan dakwah kerana ia merupakan amalan yang memberi pahala berterusan. Maklumat terkini berkaitan perkembangan pembangunan dan hal-hal yang berkaitan dengannya turut disampaikan oleh ahli jawatankuasa pembangunan, En. Nur Mukhlis b. Sahid kepada semua yang hadir.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

22.Dec.2014

KAJANG - Persidangan Meja Bulat: Pengukuhan Tarbiyah Jamaah MAKTAB (WAP) telah diadakan pada 20 Disember 2014 bertempat di Bilik Syura, Kolej Dar Al-Hikmah. Persidangan ini dihadiri oleh wakil WAP dari setiap negeri dan ia diadakan bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan jamaah serta mengukuhkan pengurusan organisasi tarbiyah jamaah. 

Presiden WADAH, Ybhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan beliau bertajuk 'Peranan Murabbiy dalam Konteks Jamaah' menekankan bahawa proses tarbiyyah sejak awal lagi diberi penekanan luar biasa oleh jamaah. Ini kerana sistem pendidikan telah dirosakkan oleh sistem sekular dan ini memerlukan pendidikan semula – re-educating

Menurut beliau, tradisi Usrah – “kumpulan belajar bersama” yang diketuai oleh naqib ini telah dimasyarakatkan pada masa kini. Tradisi gerakan meletakkan usrah itu sangat penting kerana tarbiyyah amat diutamakan. Walaubagaimanapun, ada di kalangan ahli-ahli yang kegiatannya hanyalah tarbiyyah dan tiada yang lain. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana tarbiyyah ibarat bengkel untuk pembaikan dan penambahbaikan supaya keluar dan berprestasi. Dinamika usrah tidak harus semata-mata berusrah tanpa ada projek dakwah. 

Dato' Dr. Siddiq Fadzil juga menekankan bahawa Ar-Rasul Muhammad s.a.w. merupakan Murabbiy Teragung kerana Baginda berjaya mendidik golongan sahabat yang unggul. Dimensi kemurabbiyyan yang ada dalam diri Ar-Rasul perlu dilihat dan dijadikan sumber renungan kerana ianya luar biasa dan dianggap satu mukjizat (mukjizat kependidikan). Andai Rasulullah s.a.w tidak punya apa-apa mukjizat sekalipun, namun kejayaan Baginda mendidik dan membentuk peribadi pengikutnya sudah cukup membuktikan kenabiannya kerana para sahabat juga merupakan murabbiy sepanjang zaman selepas Rasulullah s.a.w hingga hari ini.

 

Sistem Tarbiyyah WAP perlu meletakkan Naqib yang Murabbiy atau Murabbiy yang Naqib. Naqib bukan hanya memberikan ilmu, tetapi juga memimpin usrah sedangkan Murabbiy punya tanggungjawab Tarbawiy yang lebih luas. Buku 'Taklim al Muta'allim' - kitab thurath dalam pendidikan yang ditulis oleh Al-Zanujiy, membicarakan cara memilih guru serta kekuatan pendidikan yang tidak ada dalam sistem pendidikan sekarang. Buku ini yang telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris bertajuk 'Methods of Learning' - menggambarkan keseriusan orang Barat untuk melahirkan pendidik yang terbaik dari kalangan mereka. Hal ini kerana, apabila seseorang itu berguru, dia bukan sekadar mendapat ilmu, tetapi turut membentuk peribadi.  

 

Menurut beliau lagi, pendidikan merupakan  pengutuhan dan penyempurnaan insan kerana tugas seorang murabbiy bukan terbatas kepada penyampai ilmu sahaja tetapi juga membaiki diri insan – islah al nafs. 

Imam Hasan al Banna menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbiy:-

1. Qawiyy al jism – kesihatan tubuh badan.
2. Matin al khuluq – kewibawaan moral, berakhlak tinggi.
3. Muthaqqaf al fikr – keterbukaan minda, membudayakan ilmu.
4. Qadir ‘ala al kasb – kemampuan menyara hidup, keusahawanan – enterprising spirit.
5. Salim al aqidah – kejituan aqidah, kemurnian iman.
6. Sahih al ‘ibadah – ketepatan beribadah, ibadat yang betul.
7. Mujahid li nafsih – keupayaan mengawal nafsu, bermujahadah.
8. Harithan ‘ala waqtih – peka terhadap masa, sensitif kepada waktu, tidak meleret tanpa kesedaran.
9. Munazzam di shuúnih – tertib segala urusan, pengurusan tidak berselerak.
10. Nafi ‘an li ghayrih – berbakti, bermanfaat kepada orang lain, berkhidmat kepada masyarakat.

 

Sumber Catatan: Hisyam Pahang dan Prof. Mohd Fauzan (https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152962685903606&set=a.448646798605.248291.502893605&type=1)

 

18.Dec.2014

SHAH ALAM - Program ini telah diadakan pada 8 - 10 Disember 2014 yang lalu, bertempat di Carlton Hotel, Shah Alam. Ia adalah sebahagian daripada Siri Pendidikan Politik anjuran Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan (APDK) dan ia dirangka khusus untuk:

1. Memberi pendedahan tasawur atau ‘world view’ kepada para peserta kefahaman tentang khazanah ilmu tradisi Islam (turath) yang dikembangkan oleh para ilmuwan Islam awal.

2. Memberi pencerdasan kepada para peserta tentang hikmah serta ‘respond’ yang diambil oleh ilmuwan Islam silam dalam aspek siyasah meliputi pemerintahan, negara, perundangan, pentadbiran, kenegaraan dan kewarganegaraan.

3. Memahami dan mengenali tokoh-tokoh ilmuwan turath Islam yang menyumbang karyanya dalam bidang Siyasah atau Politik yang dihasilkan berdasarkan pengalaman ulama yang pernah ikut serta dalam sistem pemerintahan Islam zaman mereka atau terlibat dalam pergolakan politik umat zaman masing-masing.

Antara yang terpenting termasuklah Suluk al-Malik fi tadbir al-Mamalik oleh Ibn Abi Rabi’ (abad III Hijrah), al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah oleh al-Mawardiy (abad IV Hijrah), al Ahkam al-Sultaniyyah oleh Abu Ya’la al-Farra’ (abad V Hijrah), al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk dan Ihya ‘Ulum al-Din oleh al-Ghazali (abad V Hijrah).

Antara thurath yang dikaji.

Selama tiga hari, peserta dibimbing terus oleh al-fadhil Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dari awal hingga akhir program bagi memberi kefahaman asas kepada para peserta tentang khazanah turath yang berinteraksi dengan Siyasah dan Politik Islam. Konsep program adalah ‘belajar bersama’ secara santai, informatif dan menganalisis latar peristiwa zaman. Sekitar 50 orang dari pelbagai latar belakang berkampung bagi menghayati teks dan konteks hasil pemikiran tokoh-tokoh penting masa lalu, yang telah menyumbang pemikiran mereka mengenai isu-isu imamah, khilafah, kriteria perlantikan, tanggungjawab dan persyaratan-persyaratan yang harus dipenuhi.

Proses pembelajaran dibahagikan kepada 10 slot berbeza bermula dengan pengenalan kepada tradisi thurath hingga kepada konklusi pembelajaran. 

Antara tokoh dan khazanah turath yang didekati ialah Ibn Muqaffa' (al-Adab al-Kabir, Risalah fi al-Sahabah), 'Aliy Ibn Rabn al-Tabariy (Kitab al-Din wa al-Dawlah), Qadi Abu Yusuf (Kitab al-Kharaj), Ibn Abi Rabi' (Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik), Al-Mawardi (al-Ahkam al-Sultaniyyah), Al-Ghazali (al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk), Ibn Taimiyyah (al-Siyasah al-Syar'iyyah), Ibn Khaldun (Kitab al-'Ibar), Muhammad Abduh/Rasyid Rida (al-Khilafat wa al-Imamat al-'Uzma), Raja Ali Haji (Thamarat al-Mahammah) dan karya siyasah shar'iyyah Itqan al-Muluk (Perlembagaan Terengganu 1911).

Semoga usaha ini menyumbang kepada pendidikan politik untuk para pemimpin dan pencerdasan rakyat.

 

 

.

  • Terkini
  • Popular
  • Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan…
  • Memperingati 15 Julai 2016: Kemenangan Rakyat Turki…
  • ALlahu Akbar, ALlahu Akbar, ALlahu Akbar. Alhamdulillah…
  • [WADAH MEDIA STATEMENT] ISOLATING QATAR ONLY CREATES…
  • [PENYATAAN SIKAP WADAH] Pemboikotan Qatar dan Senarai…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map