27.Jun.2019

 

AYUH INFAQ BERSAMA KAMI!

Mahu menyumbang tetapi tidak punya masa dan tenaga?

Jom sumbang untuk kerja-kerja amal WADAH dan bantuan kepada yang memerlukan melalui kami!

 

2 cara untuk menyumbang:

   1. Sumbangan Tetap secara Direct Debit.

   2. Imbas dan Infaq melalui QR Code.

Ikuti 2 cara mudah untuk menyumbang seperti berikut:

 

1. Sumbangan Tetap secara Direct Debit

 

2. Imbas dan Infaq melalui QR Code.

IMBAS KOD INI!

Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

 

13.Nov.2018

12 Nov 2018, Bangunan JAWI - WADAH Pusat telah mengadakan kunjungan hormat bersama YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

 

     

 

12.Nov.2018

 

3 November 2018, SEREMBAN - Alhamdulillah, tim #SToP Salwa Wadah telah dapat berpartisipasi bersama dalam Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 bertempat di Pusat Keluarga LPPKN, Seremban 2, N. Sembilan. Majlis sambutan telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir (Naib Presiden Wadah) turut hadir mengisi slot bicara santai berkaitan kepentingan keselamatan siber dalam keluarga bersama NGO-NGO lain.

Ayuh turut sama sertai dalam kempen #SToP Sekeluarga Tolak Pornografi! Like Facebook page Sekeluarga Tolak Pornografi - SToP untuk info lanjut!

12.Nov.2018

 

5 November 2018, BANGI - Kunjungan Dr Mohamed, anak kepada Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi ke Pejabat Wadah Bangi pagi tadi. Turut hadir sama, Hj.Mohamad Raimi Abdul Rahim (Presiden ABIM), Muhammad Nur Iman Abdul Khudus (Presiden PKPIM), Tn. Hj. Ab Halim Ismail (Timbalan Presiden Wadah), Tn. Hj. Abdul Khudus Mohd Naaim (Naib Presiden Wadah) serta En.Mohd Halimi Abd Hamid (Setiausaha Agung Wadah).

 

25.Sep.2018

 

17 September 2018 - Liputan Makan Malam Pidato Malaysia Baharu : Mengisi Harapan Rakyat, anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia sempena Muktamar Nasional kali ke-12.

...........................................................................................................................................................................................................................

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/09/17/jadikan-saidina-ali-inspirasi-tuntut-ilmu-anwar-nasihat-orang-muda/

Jadikan Saidina Ali inspirasi tuntut ilmu, Anwar nasihat orang muda

 

 

 

PUTRAJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan golongan muda menjadikan keperibadian tokoh Islam terdahulu sebagai inspirasi dalam menuntut ilmu.

Katanya, golongan muda perlu mempunyai ilmu dan perjuangan lebih jelas, jika mahu melihat perubahan berlaku dalam negara ini.

“Contohi Saidina Ali, beliau mencintai ilmu, sesuatu yang lazat dan mengasyikkan. Bukan untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang intelek, tetapi kerana ilmu itu sangat mengasyikkan dirinya.

“Sekarang ini, ramai yang tidak mempedulikan ilmu. Jika benar-benar mahukan perubahan, kena siapkan diri dengan keyakinan dan ilmu, barulah matlamatnya lebih jelas,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam dan Pidato Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam ini.

 
 

Ketua umum Pakatan Harapan itu berkata, beliau banyak memberi peluang kepada orang muda untuk memimpin dan memperjuangkan isu rakyat.

“Saya selalu beritahu mereka, ingatlah rakyat yang selalu mendukung dan menyokong kita selama ini.”

Sementara itu, Anwar berkata, gerakan reformasi diterima masyarakat kerana matlamatnya menolak pemimpin yang rosak akhlak.

“Menolak kezaliman, keangkuhan, rasuah dan kebobrokan sistem dapat menarik rakyat negara ini kepada tumpuan reformasi.”

Katanya, perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu tidak boleh diakhiri dengan kejatuhan kerajaan semata-mata, sebaliknya lebih ramai pemimpin elit yang mempunyai akhlak jitu perlu dilahirkan.

 

 

18.Sep.2018

 

16  Sept. 2018, BANGI - Sahabat-sahabat dari luar negara turut hadir pada Muktamar Wadah kali ini. Terima kasih atas partisipasi. Moga silaturrahim ini dapat terus dijalin demi kepentingan umat Islam seluruhnya.

Antara yang hadir :

1. Dr Mohammad Noer (Dewan Dakwah Indonesia Islamiyah Indonesia - DDII)

2. H. Moch Hafizh El-Yusufi S.Pd.I MM. dan Ust Muhaimin (pimpinan Yayasan Pondok al-Azhar, Jambi)

3. Bapak Teja Dirgahayu, (Ketua Yayasan Prof Dr Hamka) dan Bapak Zainul Ariffin (Pimpinan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka) - (pimpinan Yayasan Pesantren Prof Dr Hamka Maninjau).

4. Bapak M Ariffin Ismail (wakil Pimpinan Pusat Muhammadiyah).

 

19.Jun.2018

 

EID MUBARAK 1439H

 

 

 

20.Feb.2018

10 Feb 2018, BANGI - Pusat Infaq Wadah (PIW) dengan kerjasama Kelab Usahawan Wadah (KUSWAH) telah mengadakan Sarapan Santai bersama Prof. Dato' Dr. Siddiq Fadzil yang merupakan Ketua Majlis Istisyari Wadah    (MIW), bertempat di Bangi Convention Centre (BCC). Turut hadir, Tn. Hj. Ahmad azam Ab Rahman (Presiden Wadah), Dr. Razali Nawawi, Sdr. Khairul Anwar Ismail (Timbalan Presiden ABIM) serta Sdr. Mohd Ridwan Rosli   (Naib Presiden PKPIM). Sekitar 70 orang usahawan dan ahli Wadah serta simpatisan telah hadir memeriahkan majlis ini. 

Objektif majlis diadakan adalah bagi mengumpul infaq dan zakat bagi membantu pergerakan aktiviti WAP secara keseluruhannya serta mendapatkan komitmen ahli untuk menyumbang kepada jamaah WAP melalui PIW secara tetap. Di samping itu, perolehan dan perbelanjaan PIW bagi tahun-tahun sebelumnya telah dibentang bagi memberi pendedahan dan info lanjut berkaitan PIW secara operasi kepada para hadirin. 

Majlis dimulakan dengan ucapan dari Pengerusi PIW, Hj. Abd. Rahman Siraj serta penerangan ringkas berkaitan PIW sepanjang beroperasi dari tahun 2014. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan dari Presiden Wadah, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman dan Prof. Dato' Dr. Siddiq Fadzil. Berikut merupakan antara petikan kata-kata dari ucapan yang telah diberikan;

Beberapa penerangan berkaitan beberapa projek dan info terkini WAP turut dibentang dalam majlis ini. Sesi cabutan bertuah turut diadakan dan majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai. Terima kasih kepada semua penyumbang, khususnya kepada Aras Mega Sdn Bhd (penyumbang sesi cabutan bertuah) serta Hj. Mohammad Sahar Mat Din (penyumbang lokasi majlis) dan semua yang hadir. Moga Allah berkati majlis dan usaha yang dilakukan.

Berikut merupakan gambar-gambar sepanjang majlis;

   

 

20.Feb.2018

 

14 Februari 2018, KAJANG - Pertemuan mesra di antara pelajar-pelajar Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) bersama Presiden KDH, Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, CEO KDH, Hj Khailani Jalil, Ahli Jawatankuasa Pusat Infaq Wadah (PIW) dan beberapa orang staf KDH telah diadakan bertempat di bilik seminar, KDH.

Pertemuan ringkas ini diadakan bertujuan bertemu mesra dan berkenalan secara lebih dekat dengan beberapa orang pelajar-pelajar yang dibiayai pengajian mereka oleh PIW. Majlis diakhiri dengan meraikan pelajar- pelajar dengan jamuan tengahari.

Semoga pelajar-pelajar tajaan ini dapat belajar bersungguh-sungguh serta menjadi orang yang bermanfaat untuk keluarga dan agama kelak.

19.Dec.2017

17 Disember 2017, IPOH - Seminar Politik Islam dan Demokrasi : Memahami Muslim Demokrat telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, Perak. 4 orang panel pakar dan berpengalaman telah dijemput untuk memberi pengisian iaitu YB Senator Dr Mohd Nur Manuty, Dr Maszlee Malik, Prof. Dr. Aziz Bari, Tn. Hj. Anuar Tahir dan Sdr. Khairul Arifin b. Mohd Munir (Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan) yang bertindak sebagai moderator. Para peserta yang hadir terdiri daripada wakil-wakil NGO, parti-parti politik, para akademik, mahasiswa dan orang awam. Seminar yang merupakan lanjutan dari seminar demokrasi Oktober lalu ini telah dianjurkan oleh Wadah Perak bersama rakan-rakan NGO ABIM Perak, MaPIM dan Ikram Negeri Perak. Satu sidang akhbar telah diadakan seusai Seminar.

Tahniah Wadah dan ABIM Perak atas penganjuran seminar ini yang diharap dapat membuka minda dan memberi pencerdasan pada masyarakat awam umumnya berkaitan politik masa kini.

 

Kredit info dan gambar : Fb Nasir Kamaruddin & Nur Ihsan. 

22.Nov.2017

Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi

Ijtimak Harakiy 14 Oktober 2017 – IDCC Shah Alam

 

1.0 Pengenalan

Politik Islam tidak sahaja relevan, tetapi terus penting di era kontemporari ini. Impak Arab Spring atau Revolusi Musim Bunga di Timur Tengah di awal dekad lalu menunjukkan sokongan dan harapan terhadap idea dan gerakan politik Islam masih tinggi di kalangan masyarakat. Dalam kebanyakan pilihanraya yang dijalankan di negara-negara Arab di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia, sokongan rakyat terhadap perkumpulan politik berorientasikan Islam mendapat sambutan yang menyeluruh dan menyakinkan. Realiti dokongan rakyat terhadap politik Islam di negara kita juga juga serupa. Ini secara langsung telah mematahkan hujah yang dikemukakan oleh sebahagian penganalis yang menanggapi politik Islam di abad baru telah berada di penghujung jalan dan menghadapi kegagalan sebagaimana tesis Oliver Roy; the failure of polital Islam.

Sambutan dan sokongan berterusan terhadap politik Islam tidak terjadi secara segaja melainkan kerana disumbangkan oleh banyak faktor dasar dan strategi penampilannya di tengah gelanggang masyarakat. Antara faktor utama sokongan ini ialah kejelasan prinsip dan idealisme politik yang bersifat utuh dan kekal walau berdepan dengan perubahan zaman. Idealisme politik Islam berpaksikan dasar kebenaran dan keadilan. Berpandukan prinsip ini, wawasan politik Islam ialah membangunkan sebuah nizam atau tatakelola kenegaraan yang mampu dan berupaya menjamin hak-hak masyarakat seterusnya membina potensi mereka secara benar dan adil. Bersandarkan idealisme itu, politik Islam mempraktikan politik amal maaruf nahi mungkar sebagai amalan bagi menterjemahkan prinsip kebenaran dan keadilan dalam tatakelola kenegaraan. Iltizam berterusan politik Islam terhadap idealisme dan amalan ini mendorong aspirasi dan sokongan berterusan rakyat terhadap gerakan politik Islam hingga ke hari ini.

Namun, politik Islam juga hari ini berdepan dengan cabaran getir sejajar dengan perkembangan persekitaran baru zaman. Politik Islam berdepan dengan pengaruh liberalisme yang ekstrim dalam bidang sosial, pemikiran radikalisme dalam wacana kepimpinan dan politik serta penularan politik ketertutupan, perpuakan, asabiyyah dan permusuhan dalam kehidupan masyarakat.

Sejajar dengan itu, di alaf baharu ini, politik Islam hendaklah terus istiqamah dan beriltizam dengan cita-cita membangun politik perubahan. Penekanan utama politik perubahan ialah agenda bagi pembelaan dan pengukuhan dasar keadilan sosial, perpaduan, mendorong politik luhur, memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Penegasan cita-cita politik Islam masa kini juga adalah wawasan membina kesejahteraan ekonomi manusiawi, mengukuhkan dasar perundangan, menjamin keselamatan dan keamanan, melindungi golongan yang lemah dan memangkin penyertaan dan partisipasi menyeluruh masyarakat dalam proses membuat keputusan dalam sebuah sistem tata kelola kenegaraan yang terbuka dan dinamik.

Perkembangan globalisasi telah mengubah persekitaran masyarakat di dunia Islam yang menunjukkan penerimaan terhadap pemikiran dan budaya keterbukaan sejajar dengan realiti kemajmukan. Keterbukaan itu tertonjol menerusi penerimaan sikap terhadap peranan demokrasi sebagai wasilah berkesan bagi menangani cabaran kemajmukan dan memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan, Pandangan dan sikap positif peranan demokrasi dalam tradisi pemikiran politik Islam boleh diteliti dalam perspektif tokoh ilmuwan Muslim seperti Sheikh Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Rashid Ghanoushi, Sheikh Ahmad Raisuni.

2.0 Resolusi

Oleh yang demikian, Seminar Politik Islam dan Demokrasi yang berlangsung pada 13 Oktober 2017 anjuran ABIM, WADAH dan PKPIM bertempat di IDCC, Shah Alam berpandangan bebeberapa ketetapan berikut hendaklah diperkukuhkan demi memastikan keutuhan politik Islam dalam mendepani cabaran perubahan zaman hari ini:

Pertama: Menyemak fiqh politik Islam masa lalu dari sudut kandungan dan pendekatannya serta tuntutan untuk satu gerakan ilmiah yang bersungguh-sungguh bagi membangunkan fiqh politik baru yang antaranya dipandu oleh fiqh al-taharrur yang dapat memberi kesan dan pengaruh bermakna dalam menterjemahkan cita-cita politik Islam dalam konteks masa kini. Pemikiran dan wacana ilmuwan Islam kontemporari dalam konteks fiqh kenegaraan Islam semasa hendaklah diteliti dan dikupas secara mendalam dalam rangka membangunkan fiqh politik baru demi memenuhi keperluan dan realiti kemajmukan dan keterbukaan masyarakat di zaman kini.

Kedua: Bagi memastikan ketahanan dan keberkesanan politik Islam, satu gerakan pembudayaan demokrasi di kalangan masyarakat hendaklah dijayakan terutama dari segi penghayatan nilai dan prinsipnya yang mesti dipelajari dan dihayati. Perkara ini penting memandangkan nilai dan prinsip demokrasi tidak akan dapat memberi erti dan manafaat sekiranya ia tidak didokong oleh masyarakat yang bersifat demokratis. Oleh kerana itu, gerakan pendidikan kerakyatan tentang demokrasi perlu digerakkan bagi membina rakyat yang memiliki kecerdasan berfikir, kesedaran tentang maruah dan mendorong penglibatan mereka dalam amalan demokrasi secara aktif, proaktif dan matang. Pendidikan demokrasi ini juga melibatkan pemahaman tentang teori, sejarah dan praktik politik hari ini serta fasa-fasa perkembangannya yang unik dan dinamik.

Ketiga: Politik permufakatan hendaklah dibangunkan secara bersama di antara pelbagai gerakan masyarakat sivil dan institusi politik yang beraspirasikan nilai-nilai dan prinsip yang diperjuangkan Islam. Oleh itu, budaya politik label melebel dan ektremisme dalam sikap dan pendirian hendaklah diatasi dan ditangani. Politik pemuafakatan berpandukan cita-cita politik Islam hendaklah menekankan aspek keterbukaan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kelompok-kelompok non-Muslim dalam suasana yang toleransi, tanpa mengabaikan prinsip-prinsip utama. Aspek kontrak sosial antara pemerintah dan yang diperintah yang menjadi asas dalam amalan demokrasi yang subur akan dapat diperkukuhkan menerusi politik permukafakatan yang matang.

Keempat: Prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban hendak menjadi asas dalam cita-cita perjuangan politik Islam hari ini. Ketelusan boleh mengatasi keburukan dalam pemerintahan seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini memerlukan kepada pembinaan prinsip integriti dan pertanggungjawaban (accountability). Permasalahan yang terjadi dalam tatakelola kenegaraan hari ini antaranya ialah disebabkan prinsip ini diabaikan dan tidak diberi penekanan dalam budaya dan amalan politik semasa.

Kelima: Pembangunan politik Islam pada masa depan memerlukan satu rancangan bagi membangun barisan kepimpinan yang berintegriti dan terlatih. Ketokohan pemimpin politik yang berwibawa boleh memberi kesan bermakna dalam agenda memperkasa politik Islam masa depan. Rancangan melatih barisan politik Islam masa depan hendaklah menjadi agenda dan fokus penting dalam gerakan dan pertubuhan Islam hari ini.

Keenam: Politik Islam perlu menyusun semula keutamaan dalam perjuangan politik Islam. Politk berasaskan perpuakan dan asabiyah adalah unsur negatif dalam pembangunan politik Islam. Politik Islam hendaklah terus mengekalkan hikmah dalam amalan perpolitikannya. Antara keutamaan penting politik Islam hari ini ialah mendorong politik tolerasi dan kasih sayang sejajar dengan semangat rahmatan lil ‘alamin, menpertegaskan idealisme Muslim Demokrat, membebaskan rakyat dari belenggu ketertutupan dan kejumudan fikiran, memperjuangakan kebebasan kehakiman dan memperluaskan pendemokrasian pendidikan. Keutamaan politik Islam ini akan menyumbang kepada pembinaan kesedaran rakyat tentang kemuliaan dan kedaulatan diri serta keyakinan untuk melakukan perubahan.

Ketujuh: Politik Islam hendaklah mendorong kepada cita-cita kebangkitan Islam. Cita-cita perlu disandarkan kepada dasar ilmu yang kukuh antaranya menjadikan ilmu maqasid syar’iyyah sebagai satu sumber pengentahuan politik di era baru. Hal ini memerlukan satu gerakan kebangkitan al-maqasidiah iaitu wacana ilmiah menyeluruh tentang objektif agama dalam konteks masa kini di mana di antara objektif tersebut ialah cita-cita hifz nizam al ummah atau memelihara sistem tatakelola ummah meliputi sistem demokrasi.

 

Sekian.

 

Urusetia Penganjuran,

Seminar Politik Islam dan Demokrasi,

Shah Alam.

  • Terkini
  • Popular
  • AYUH INFAQ BERSAMA KAMI! Mahu menyumbang tetapi…
  • We are saddened by the sudden death…
  • 5 Jun 2019/ 29 Ramadan 1440 Wadah…
  • 12 Nov 2018, Bangunan JAWI - WADAH…
  • 5 November 2018, BANGI - Kunjungan Dr…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • OKTOBER 2017 - Alhamdulillah, telah berlangsung dengan…
  • EID MUBARAK 1439H
  • 3 November 2018 Wadah Pencerdasan Umat Malaysia…

HUBUNGI KAMI

Sekretariat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 2142 / 8920 1769
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT