Pernyataan Sikap : ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA HOTEL

Pernyataan Sikap

ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA HOTEL

 

Isu larangan menutup aurat, khususnya pemakaian hijab (tudung kepala) ke atas pekerja dan pelajar pelatih wanita di hotel bertaraf antarabangsa di Malaysia telah dibangkitkan dan mendapat perhatian massa. Namun umum melihat larangan ini sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam yang mahu mengamalkan apa yang menjadi sebahagian dari ajaran agamanya. Bagaimanapun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel dengan menegaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada polisi antarabangsa dan menafikan tindakan tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi.

Sekretariat Hal Ehwal Wanita (SALWA) Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) ingin menarik perhatian semua pihak tentang kewajipan menutup aurat bagi wanita Islam, dan menegaskan bahawa sensitiviti, budaya, tuntutan agama, serta hak kebebasan mengamalkan agama (dalam konteks ini hak berhijab) perlu dihormati. Ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada individu atau komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Kebebasan untuk seseorang menjalankan tuntutan agamanya adalah salah satu hak asasi yang fundamental kepada manusia sejagat.

Dalam Islam, berhijab atau menutup aurat merupakan tuntutan agama, sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran, Surah An-Nur, Ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka …”

Perlu difahami, bagi rata-rata wanita Islam, pemakaian hijab atau pakaian menutup aurat bukan sekadar budaya dan tuntutan agama. Ia melambangkan kebebasan dan pembebasan dari belenggu pemikiran yang melihat wanita hanya sebagai objek untuk dipertonton, diperagakan sebagai halwa mata. Dengan penampilan yang menutup aurat wanita dapat mengetengahkan potensi diri sebenar berdasarkan keilmuan, kecerdasan, kebolehan dan kemahiran wanita, tanpa dibiasi rupa wajah.

Walaupun ia dinafikan sebagai diskriminasi dan didakwa sebagai polisi antarabangsa, adalah jelas bahawa yang dikatakan polisi antarabangsa itu sendiri mengamalkan diskriminasi. Industri perhotelan yang bertunjangkan hospitaliti, layanan baik dan keterbukaan tanpa prejudis sebagai core businessmereka seharusnya meraikan kepelbagaian, termasuk dalam kalangan pekerjanya. Malah hotel-hotel bertaraf antarabangsa di negara-negara Arab seperti Iran, Kuwait, Bahrain dan sebagainya membenarkan pekerja wanita di kaunter perkhidmatan pelanggan menutup aurat. Tiada alasan yang rasional atau bukti jelas yang boleh mengaitkan kemerosotan kualiti atau prestasi kerja dengan pemakaian hijab. Malah pekerja yang menutup aurat kelihatan lebih sopan dan profesional.

Tindakan melarang pekerja wanita berhijab di tempat kerja adalah ketinggalan dan kebelakang apabila beberapa industri lain telah lama menerima pemakaian hijab sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak menghalang profesionalisme kerjaya, misalnya jururawat wanita dalam industri perubatan kerajaan dan swasta, penyampai berita wanita dalam industri media, serta polis dan tentera dalam industri keselamatan.

Sebagai jawapan balas terhadap justifikasi bahawa larangan ini atas alasan mahu menarik pelanggan, WADAH percaya pelanggan hotel di Malaysia tidak sebegitu dangkal untuk hanya memilih hotel yang pekerjanya tidak berhijab. Kita yakin, semua hotel pasti mahu menampilkan imej yang baik dan bereputasi profesional untuk menarik para pelanggan. Imej ini akan lebih terserlah jika para pekerjanya berimej sopan dan menutup aurat.

Konsep hotel mesra Islam dan patuh syariah yang diperkenalkan oleh Kumpulan Hotel De Palma sejak tahun 2008 telah dibuktikan lebih diterima baik kebanyakan pelancong bukan Islam yang menginap di hotel tersebut. Beberapa penyelidik telah mebincangkan konsep hotel patuh syariah yang semakin mendapat tempat terutamanya dalam kalangan 1.8 bilion pengguna Islam termasuk pelancong, dan antara ciri asas hotel patuh syariah ialah kakitangan hotel yang menutup aurat.  Malahan, Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama Islamic Tourism Centre juga telah melancarkan standard MS2610:2015 - Perkhidmatan Hospitaliti Mesra Muslim pada akhir 2015, yang bertujuan menjadi garis panduan penggiat industri pelancongan mengendalikan pelanggan mereka.

WADAH melalui Sekretariat Hal Ehwal Wanita (SALWA) WADAH menggesa pengurusan hotel untuk sama-sama merealisasikan konsep keadilan dan sikap saling menghormati yang menjadi tunggak kesejahteraan negara dengan memberikan kebebasan kepada pekerja untuk menutup aurat di tempat kerja. WADAH juga menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK) untuk bersikap lebih tegas dalam memastikan hotel yang beroperasi di negara ini tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi, berdasarkan agama, jantina, mahupun kaum.

 

Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir

Naib Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

13 November 2017

 

Read 48 times
  • Terkini
  • Popular
  • Sistem Nilai Islam Dalam Era Pascamoden Dan…
  • 12 Julai 2017, GOMBAK - Alhamdulillah selesai…
  • Pernyataan Sikap ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA…
  • Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan…
  • Memperingati 15 Julai 2016: Kemenangan Rakyat Turki…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map