Print this page
PERUTUSAN EIDUL FITRI 1438H WADAH

ALlahu Akbar, ALlahu Akbar, ALlahu Akbar. Alhamdulillah berakhirnya Ramadhan, tibanya Syawal bermakna kekentalan spiritual melalui Tarbiah Rabbani bakal mempersiapkan diri untuk memikul taklif Islah ketika fasad makin menggejala. 


Jumlah pelarian perang meningkat ke 65 juta jiwa mengikut perangkaan UNHCR tahun 2016. Perang Afghanistan sejak 2001 dan seterusnya Iraq, Libya, Syria dan Yaman mengakibatkan dunia Islam berantakkan, berpecah dan semakin lemah. 


Krisis politik negara juga semakin parah. Kes 1MDB telah menjadikan Malaysia fokus media antarabangsa sebagai negara kleptokrasi yang sarat dengan rasuah berskala mega. 


Sempena menyambut Eidul Fitri yang mulia ini, WADAH menyarankan atas semangat persaudaraan, semangat kembali kepada fitrah insani, semangat berma'af-ma'afan, agar semua lapisan masyarakat baik di peringkat tertinggi hingga ke lapisan terbawah, pihak Pemerintah mahupun Pembangkang punya 'political will' atau keazaman politik untuk mencari titik temu ke arah penyelesaian kefasadan yang telah menarik perhatian dunia antarabangsa. Kegagalan untuk berjiwa besar bagi menangani kefasadan ini, maka sejarah akan menghukum generasi ini yang menjerumuskan negara ke lembah kehancuran. 


Semoga Syawal ini menjadi momentum ke arah kesejahteraan umat dan negara tercinta. 


ALlahu Akbar, ALlahu Akbar, ALlahu Akbar wa lilLahil hamd.

 

 

Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden 
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
1 Syawal 1438H/25 Jun 2017

Read 707 times