PENCULIKAN PADERI RAYMOND KOH: KEPRIHATINAN SEMUA PIHAK DIPERLUKAN

 

Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62 tahun sejak 13 Februari 2017 yang lalu menuntutkan keprihatian semua pihak. Ini tidak hanya kerana kebimbangan dan kerisauan terhadap keselamatan nyawa beliau serta simpati kita kepada keluarga dan penganut Kristian, tetapi juga kerana implikasinya terhadap hubungan antara agama di Malaysia. Ini disebabkan adanya percubaan untuk menggambarkan penculikan ini sebagai komplot orang Islam yang marah terhadap aktiviti evangelistik paderi tersebut. The Gospel Herald Society, pada 3 Mac, 2017 menggunakan tajuk berita, “Malaysia Pastor Abducted Two Weeks Ago, Likely Murdered by Muslims, Says Son.” Kenyataan seperti ini boleh menambah prejudis dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian hidup antara kaum dan agama.


WADAH menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup, agar mengekalkan sikap sabar, tenang dan rasional dalam menghadapi isu seperti ini. Apa yang perlu, tidak hanya perkongsian rasa simpati dan semangat kebersamaan antara kaum dan agama, tetapi juga bagi menunjukkan sikap kolektif yang jelas bahawa kita menolak tindakan dan perbuatan ala mafia bagi menyelesaikan masalah.


Islam tidak membenarkan tindakan di luar batas undang-undang seperti menculik dan membunuh. Islam tidak mengizinkan kezaliman dan tindakan-tindakan di luar wewenang hukum. Penyelesaian tidak akan tercapai kiranya kebencian dihadapi dengan kebencian dan provokasi dibalas dengan provokasi. Islam menegaskan bahawa sebarang perbezaan dan salah faham yang terjadi dalam masyarakat perlu diselesaikan secara bertamadun menerusi musyawarah, dialog, wacana dan interaksi positif. Sekiranya siasatan membuktikan bahawa mereka yang melakukan penculikan adalah orang-orang Islam, harus difahami bahawa tindakan tersebut sama sekali bertentangan dengan prinsip Islam dan mereka yang melakukannya bukan mewakili pendirian penganut Islam.


WADAH mendesak pihak polis, menerusi task-force yang diwujudkan agar menggandakan usaha bagi menemu kembali Paderi Raymond Koh dalam keadaan selamat dan mereka yang melakukannya dapat di bawa ke muka pengadilan. WADAH ingin menyampaikan rasa simpati kepada keluarganya dan juga kepada masyarakat Kristian di negara ini atas apa yang berlaku dan berdoa agar Paderi Raymond Koh ditemui kembali secepat mungkin, dalam keadaan selamat.


Apa yang kita harapkan ialah isu ini diselesaikan secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab melakukannya didakwa di mahkamah. Sehingga itu terjadi, dan demi memelihara keharmonian hidup antara kaum dan agama, WADAH menyeru supaya semua pihak berhati-hati serta tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan spekulasi dan andaian. Sekian.

 

"Mengangkat Martabat Umat"

 

ABDUL HALIM ISMAIL
Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat
07 Mac 2017

Read 703 times
  • Terkini
  • Popular
  • CONGRATULATORY MESSAGE TO TURKEY We wish to…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • 3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja…
  • 12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH…
  • Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map