SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1437 HIJRAH

WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH) ingin mengajak sekelian umat Islam menghimbau peristiwa Hijrah RasuluLlah S.A.W. 1,437 tahun lampau; menelusuri strategi dan cara‐kaedah yang RasuluLlah S.A.W. atur dan laksanakan di sepanjang perjalanan baginda dan Sayyidina Abu Bakr al‐Siddiq dari Makkah ke Madinah dalam suasana serba kepayahan dan penuh cabaran; dan mengajak kita memerhatikan urutan keutamaan (priority) strategi RasuluLlah S.A.W. membina tapak baru bagi kecemerlangan umat.

2. Dimulai dengan pemantapan ruhani menerusi pembinaan Masjid Quba sebelum memasuki kota Yathrib – sebuah masjid yang terpenting selepas Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin – RasuluLlah S.A.W. secara simbolik menggarisbawahi hakikat betapa kebangkitan umat ini perlu ditunjangi oleh kekuatan spiritual yang bukan kepalang.

3. Kesatuan umat dalam kerangka kepelbagaian dilakarkan dengan keterangkuman (inclusivity) semua pihak yang berada di Yathrib – kaum Aus dan Khazraj serta pelbagai suku kaum Yahudi – di bawah kepimpinan RasuluLlah S.A.W. Keterangkuman ini dipedomani oleh perjanjian yang mengikrarkan taat setia kepada misi keamanan dan kesejahteraan serta “sense of purpose” yang sama.

Lantaran itulah sekiranya persepakatan (tahalluf) ini dikhianati, dengan sendirinya keterangkuman ini terungkai. Maka natijahnya, suku‐suku kaum Yahudi yang tidak jemu‐jemu mencabar dan mengkhianati persepakatan ini telah menyingkirkan diri mereka dari Yathrib. Namun misi keterangkuman masih tidak berubah.

4. Kesepaduan kaum Aus dan Khazraj diperkukuhkan dengan kehadiran kaum Muhajirin, lalu membawa etos perjuangan baru dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat di Yathrib. Bertukarnya nama Yathrib kepada Madinah mencerminkan keutuhan makna “din” di dalam pengukuhan asas dan pemerincian bernegara. Sahifat al‐Madinah kemudiannya menjadi pedoman umat hingga ke hari ini.

5. Hijrah mencari tapak baru membina kekuatan memungkinkan impian menguasai Makkah yang sudah sekian lama tercemar dengan berbagai penyelewengan terlaksana – meskipun pada awalnya terhalang oleh satu demi satu strategi helah dan muslihat kaum Musyrikin Makkah sendiri.

6. Sehubungan ini, kita harus akur bahawa ada ketikanya kita perlu terbang lebih tinggi melampaui keserabutan duniawi untuk melihat lanskap bernegara secara lebih luas, mencakupi setiap ufuk (horizon) agar gambaran yang kita perolehi lebih menyeluruh dan tidak cuma menjurus kepada satu‐satu perspektif sahaja.

Meskipun demikian, kita perlu juga akui bahawa harapan tinggi dari umat terbanyak perlu ditunjangi dengan aspirasi yang membumi. Kalaupun merenung bulan di langit, janganlah kita lupa rumput di bumi. Umat adalah aset kita yang termahal yang tidak boleh kita kesampingkan. Banyak agenda yang perlu kita ketengahkan demi meningkatkan karamah insaniyyah dengan berbagai strategi dakwah.

7. Kezaliman adalah satu padah yang sudah sekian lama menggigit rasa dan menyentuh nurani umat kita. Percaturan‐percaturan yang semakin membimbangkan tidak seharusnya membuatkan kita kehilangan arah dan sirna bagaikan embun menitis disinari matahari pagi. Masih ada sinar terang di dalam kabut kekalutan ini. Dan ia memerlukan kewaspadaan pendekar di tengah gelanggang.

8. Meskipun peristiwa Hijrah RasuluLlah S.A.W. telah berlaku ribuan tahun yang lampau, namun himbauan pengajarannya sentiasa malar (evergreen) untuk dititip oleh mereka yang memahami pergulatan kehidupan hari ini – sama ada di peringkat peribadi, masyarakat atau negara.

Jangan dilepaskan peluang melebarkan dakwah “rahmatan li ‘l‐‘alamin” ini kepada setiap anggota masyarakat yang kita santuni, dan jangan dilepaskan kesempatan untuk mencerdaskan umat kita menimbang untung rugi survival secara lebih saksama!

 

 

 

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN

Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia

14 Oktober 2015M bersamaan 1 Muharam 1437H

 

Read 2544 times
  • Terkini
  • Popular
  • Sistem Nilai Islam Dalam Era Pascamoden Dan…
  • 12 Julai 2017, GOMBAK - Alhamdulillah selesai…
  • Pernyataan Sikap ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA…
  • Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan…
  • Memperingati 15 Julai 2016: Kemenangan Rakyat Turki…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map