Filem Innocence Of Muslims

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melihat penerbitan Innocence of Muslims sebagai usaha jahat seorang individu iaitu Nakoula Basseley Nakoula yang berselindung di sebalik nama Sam Bacile, telah secara sengaja menghina Nabi Muhammad s.a.w. serta agama Islam serta dengan sengaja juga mahu menimbulkan kemarahan umat Islam. WADAH percaya sikap penerbit filem ini tidak mewakili masyarakat terbanyak dari kalangan non-muslim sebaliknya mewakili segelintir individu dungu yang mempunyai dendam kesumat dan kebencian yang melampaui batas kewarasan.

WADAH sekeras-kerasnya membantah perbuatan jahat penerbit filem tersebut dan juga kesal dengan sikap Google yang enggan menarik keluar trailer filem tersebut dari YouTube. Protes besar-besaran umat Islam adalah sah dan wajar terhadap perbuatan melampau menghina Islam dan menyentuh perkara yang sensitif bagi umat Islam khususnya terhadap ‘manusia terpuji’ iaitu Nabi Muhammad s.a.w.  Gambaran bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang homoseks, philendere dan paedophile adalah fitnah amat keji yang tidak dapat diterima sama sekali oleh umat Islam. Seorang Muslim yang waras tidak akan berdiam diri apabila kehormatan nabinya diinjak-injak begitu rupa.

‘Kebebasan bersuara’ tidak dapat diterima sebagai alasan untuk menghina dan dan memperkecil-kecilkan agama lain. Sekalipun menggunakan 1st Amendment, namun Amerika dalam sejarahnya, berkaitan kes Schenck vs. United States, Hakim Mahkamah Tertinggi Keadilan, Oliver Wendell Holmes Jr. mengesahkan bahawa kebebasan bersuara di Amerika bukanlah tidak terhad. Dia menulis mewakili keputusan sebulat suara mahkamah, “the most stringent protection would not protect a man falsely shouting fire in a theater and causing a panic.” Tindakan Sam Bacile dan Steve Klein (Konsultan kepada filem ini) bukan sekadar ‘pekikan palsu di pawagam yang membuat penonton panik’, tapi tindakan yang sudah dijangka bakal membawa malapetaka. Mereka menjadi punca yang membawa kematian Christopher Stevens, Duta Amerika di Libya bersama 3 orang kakitangan kedutaan. Demonstrasi-demonstrasi membantah filem tersebut di Pakistan mengakibatkan 21 orang terbunuh dan 200 orang tercedera. Memandang akibat tindakan mereka begitu rupa, atas alasan apakah Sam Bacile dan Steve Klein tidak boleh didakwa?

Seorang Muslim yang waras tidak akan tenteram apabila mengetahui kehormatan nabinya dihina dan diinjak-injak. Mereka yang benar iman mereka akan mengasihi Baginda Rasulullah s.a.w. lebih dari diri mereka sendiri. Pegangan seluruh Muslimin adalah seperti yang dinyatakan dalam Hadis Sahih berikut:

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Tidak sempurna iman kamu sehinggalah aku (Muhammad Rasulullah) lebih dikasihi dari bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.

Apabila peribadi agung yang dicintai dengan seluruh jiwa dihina dan dinista demikian rupa maka kita boleh menjangka reaksi umat Islam di manapun mereka berada. Demonstrasi, protes dan bantahan adalah sesuatu yang diduga dan wajar. Bukan semata-mata untuk membantah dan memprotes tetapi juga untuk memberi pengajaran dan ingatan kepada kelompok Islamophobic bahawa perbuatan menghina Rasulullah s.a.w. seperti itu tidak boleh diterima sama sekali. Dilihat dari sudut etika dan norma masyarakat bertamaddun sekalipun, perbuatan demikian tidak dapat diterima.

Walaupun bantahan dan protes sesuatu yang wajar, namun kita harus melakukannya dalam batas dan kawalan akhlak serta tidak membiarkan emosi mempengaruhi hingga kita bertindak di luar batas yang diizinkan agama. Bagaimana kita dapat memberi justifikasi kematian-kematian yang terjadi ekoran protes dan bantahan tersebut. Di Pakistan sahaja demonstrasi mengakibatkan 21 orang terbunuh dan 200 cedera. Kita juga perlu menilai kebijaksanaan Ghulam Ahmed Bilour, seorang menteri kabinet Pakistan yang menawar hadiah US$100,000 untuk mereka yang dapat membunuh penerbit filem tersebut. Atau fatwa yang dikeluarkan oleh Ahmad Fouad Ashoush dari Salafi Mesir yang menyeru pemuda Muslim di Amerika dan Eropah supaya membunuh pengarah, penerbit dan para pelakon dan setiap orang yang membantu mempromosi filem tersebut, sebagai pengajaran kepada semua ‘monyet dan babi’ di Amerika dan Eropah ( “I issue a fatwa and call on the Muslim youth in America and Europe to do this duty, which is to kill the director, the producer and the actors and everyone who helped and promoted the film…and to “teach those filthy lowly ones a lesson that all the monkeys and pigs in America and Europe will understand” for insulting the name of the prophet Muhammad”).

Al-Quran memberi panduan di berbagai tempat tentang sikap utama yang harus diambil. Dalam Surah al-Muzzammil, ayat 10, Allah memerintah Baginda Rasulullah s.a.w. supaya bersabar:

وَاصْبِرْ عَلىَ مَا يَقُوْلُوْنَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيْلاً

Dan bersabarlah (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan dan tinggalkanlah mereka dengan cara yang baik.

Dalam ayat 34, Surah Fussilat, Allah s.w.t. memberi panduan

وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Dan tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik.

Mungkin ada yang berhujjah bahawa ayat-ayat ini Makkiyyah yang merujuk kepada situasi di Makkah ketika umat Islam masih lemah. Namun pembahagian Makkah-Madinah bukan merupakan hujjah yang kukuh. Surah Ali Imran, Madaniyyah, ayat 186, jelas menegaskan saranan yang sama:

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Kamu pasti akan diuji dengan hartamu dan dirimu. Dan pasti kamu akan mendengar banyak hal yang sangat menyakitkan hati dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang musyrik. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya demikian itu termasuk dalam (‘azmi al-umur) urusan yang (patut) diutamakan. 

Allah mengingatkan kita supaya bersabar menghadapi hal-hal yang amat menyakitkan dari ahli al-kitab dan kaum musyrikin, namun Allah menegaskan bahawa kesabaran lebih utama dan kiranya bertindak, bertindaklah terhadap mereka dengan cara yang lebih baik. Tentunya bukan maksud al-Quran bahawa kita bersabar dengan tidak berbuat apa-apa. Bantahan dan protes adalah reaksi yang wajar, namun itu semuanya mestilah dalam batas yang dianjurkan al-Quran.

 

Sekretariat Wadah Pusat; 26 September 2012

Read 601 times
  • Terkini
  • Popular
  • CONGRATULATORY MESSAGE TO TURKEY We wish to…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • 3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja…
  • 12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH…
  • Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map