WADAH: Menyahut Penggilan Pencerahan
03.Jun.2014
Rate this item
(0 votes)

Dalam kaitan inilah perlunya para senior memberikan kepercayaan dan laluan kepada angkatan muda dengan menyerahkan baton perjuangan kepada mereka.  Namun langkah tersebut tidak harus diertikan sebagai penamatan riwayat perjuangan satu generasi.   Perjuangan melaksanakan misi keislaman bukan sejenis kerjaya yang tamat dengan persaraan.  Perjuangan ini adalah bahagian daripada hidup,  berlanjut bersama denyut nadi, bersambung bersama degup jantung dan  hanya akan berhujung  dengan hembusan nafas terakhir.   Penubuhan Wadah adalah langkah strategik memperluas gelanggang, mempelbagai ragam persilatan.   

Wadah ditakdirkan hadir di tengah kecamuk pelbagai masalah dan cabaran global dan lokal  Selepas peristiwa 11 Sepetember, dunia menyaksikan badai amukan sebuah hyperpower yang kini mulai disebut secara sarkastik sebagai the United States of Fighting Terrorism yang mengeksport dan meratakan  ketakutan (fear) ke seluruh dunia Islam; tidak ada negara Islam, organisasi Islam atau institusi Islam yang terlepas dari tekanan dan ugutannya.  Akibatnya ramailah pemimpin dan umat  Islam yang mulai bertindak dan berbuat sesuai dengan kehendak US, termasuk menekan organisasi Islam, melemahkan institusi Islam dan mendistorsikan ajaran Islam.  Situasi seperti itulah yang memberikan kesempatan kepada  golongan  sekularis untuk berleluasa mengungkapkan Islam versi liberal-sekular.  Dengan dukungan,  perlindungan dan pendanaan yayasan-yayasan luar negara, mereka menjadi begitu berani, tanpa rasa hormat kepada amanah keilmuan, dan tanpa malu-malu mendebat dan menggugat ajaran agama; bukan lagi fiqhnya, tetapi sudah melarat ke syari`atnya, dan bukan lagi tafsirnya, tetapi sudah melarat ke jantung teks suci al-Kitab. Tidak dapat diragukan lagi bahawa memang ada projek converting the Muslims dan sekaligus converting Islam. Andainya strategi serampang dua mata itu berjaya, ia akan mengakibatkan berlakunya pemurtadan dan seiring dengan itu akan tercipta sejenis “Islam” versi baru yang menepati spesifikasi Barat.  Dan hanya “Islam” yang telah mendapat endorsement mereka sahajalah yang akan dipromosi dan ditoleransi kewujudannya.  Selain itu semuanya dianggap Islam garis keras dengan label  radikal, fundamental, militan dan teroris yang harus dimusnahkan. Tidak dapat dibayangkan keadaan  yang lebih tragik daripada itu:  Amerika yang mendefinisikan, malah mendictate Islam itu apa, dan bagaimana cara yang seharusnya ia difahami dan diamalkan.

Demikianlah, situasi lemah dan tertekan yang menimpa umat dan kepimpinannya itu diambil kesempatan oleh golongan yang tiba-tiba menjadi berani  untuk merombak, mengungkit dan mempersoalkan hal-hal yang selama ini tidak pernah disinggung, termasuk fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan negara.  Keleluasaan gaya hidup hedonistik dan budaya sensate yang begitu fenomenal akhir-akhir ini menyebabkan orang mulai bertanya, apakah semuanya itu petanda bahawa masyarakat kita sedang mengalami proses pendangkalan agama yang akhirnya berhujung dengan   deislamisasi?

Sekaranglah saatnya untuk tampil sebagai ansaru ‘Llah,  kekuatan kerakyatan  yang menjulang obor  agama Allah agar tetap menyinar  di tengah kegilaan manusia yang cuba memadamnya.   Sesungguhnya cabaran sikap agresif-provokatif golongan-golongan di atas harus segera disahut dengan peningkatan komitmen para da`i, ulama dan cendekiawan Muslim.  Sikap pasif kita telah mendorong mereka menjadi agresif, dan sikap ragu-ragu kita telah membantu  mereka menjadi berani.   Demikianlah yang namanya perjuangan, yang apabila tiba saatnya, tidak siapa pun   -   yang muda atau yang tua,  yang senang atau yang susah   -    boleh mengecualikan diri.  Apabila sampai saatnya semua harus tampil khifafan wa thiqalan,  dalam keadaan ringan atau dalam keadaan berat.

Cabaran-cabaran sebagaimana yang diungkapkan di atas memperkuat keyakinan  kita tentang kerelevanan  strategi  dakwah dan tarbiyah.  Memang demikianlah selamanya, dakwah dan tarbiyah tidak pernah dan tidak akan pernah hilang kerelevanannya.  Justeru,  strategi inilah yang akan kita lanjutkan dengan lebih intensif sebagai usaha pengaktualisasian misi profetis:  membebaskan manusia dari kegelapan (al-zulumat) kepada kecerahan (al-nur).  Untuk mempastikan terlaksananya misi tanwir atau pencerahan ini,  Wadah harus mampu tampil sebagai the enlightened souls,  istilah yang dipakai oleh Ali Shari`ati tentang golongan yang sedar tentang dirinya dan sedar dengan tanggungjawab sosialnya.   

Sesungguhnya  babak sejarah yang sedang kita lintasi adalah babak yang  cukup kritikal dan mencemaskan.  Isu yang  harus ditangani adalah isu survival.  Kerana  itu agenda utama kita adalah membina kualiti umat atas rasional   bahawa kualitilah faktor yang sebenarnya menentukan survival sebagaimana yang diungkapkan secara metaforik dalam al-Qur’an tentang buih (al-zabad) yang serba rapuh dan segera menghilang sebagai simbol  umat hampas, tanpa substance dan tidak berguna.  Umat tanpa kualiti yang terancam musnah itu dipertentangkan dengan umat penyumbang, umat yang bermanfaat kepada dunia dan  manusianya.  Umat yang berkualiti mampu menyumbang manfaat itulah yang  dapat mempertahankan survival dan kehadiran yang bererti.  Dalam kaitan ini sumbangan paling bermanfaat kepada manusia tidak lain adalah petunjuk (agama) Ilahi. 

Memang sejarah masa kini adalah sejarah krisis ketamadunan,  era penuh  kemelut kemanusiaan yang  disebut oleh Sutan Takdir Alisjahbana sebagai krisis “maha besar”.  Dunia didominasi oleh kuasa yang angkuh, rakus dan ganas.  Itulah kuasa besar yang pernah disebut oleh Ali Mazrui selalu bersikap  …refusing to be humanized morally.  Dan setelah kehilangan kemanusiaan ia tidak lagi sensitif dengan kebencian dunia terhadapnya.  Tamatnya Perang Dingin telah tidak dimanfaatkan secara bertamadun dengan membangun dunia yang stabil dan damai.  Sebaliknya ia hanya menjadikan  Amerika  bertambah angkuh dengan sikap unilateralnya.  Demikianlah tersia-sianya suatu peluang  kemanusiaan dan ketamadunan  yang juga turut disesalkan oleh Mikhail Gorbachev,  “… despite the great opportunity that the end of the cold war presented to the U.S. to build a safer and more stable world, it only strengthened America’s arrogance and unilateralism.”  Keadaan tersebut diperburuk lagi dengan peristiwa 11 September,   peristiwa  yang  menjadikan U.S. berang, lalu mengamuk.  Dan itulah pula yang memberikan citra an America that exports fear, not hope.

Demikianlah  sisi hitam  sejarah kontemporari  yang jelas memperlihatkan  pelbagainya  predicaments.   Tetapi siapa tahu,  barangkali ada pula sisi putihnya yang mengandungi promises.    Memang kita sedang mengalami krisis,   tetapi  tidak sedikit pula krisis yang boleh dirubah menjadi kesempatan.    Sekaranglah saatnya  kita tampil  sebagai  umat penyumbang,  menawarkan tamadun  sejagat rahmat (rahmatan li ‘l-`alamin).   Tetapi untuk memungkinkan kita menjadi umat penyumbang,    kita perlu berada di atas.  Hanya yang di atas yang dapat mencurah sesuatu kepada yang menadah di bawah.  Dengan kata lain kita perlu menjadi umat al-yadu ‘l-`ulya (tangan yang di atas) dalam erti luas.  

Untuk itu  kita perlu membangunkan semula tonggak-tonggak yang menjadi kekuatan tamadun Islam zaman jayanya dahulu,  tonggak-tonggak ketamadunan yang dirumuskan oleh Malik Bennabi sebagai quwwatu ‘r-ruh wa ‘l-`aql (kekuatan spiritual-intelektual).  Andainya kita ingin menjadi kekuatan katalis pembangunan tamadun sejagat rahmat,  maka Wadah ini harus juga dibangun di atas kedua-dua tonggak kekuatan tersebut.  Dalam kaitan inilah perlunya strategi pembinaan dalaman yang berpaksikan taqarrub dan tafaqquh. Dengan intensifikasi taqarrub, meningkatkan amal mendekatkan diri kepada Allah kita membangun kekuatan rohaniah (quwwatu ‘r-ruh),  dan dengan ketekunan  tafaqquh, menguasai ilmu al-Kitab dan al-hikmah kita membangun kekuatan intelektual (quwwatu ‘l-`aql).                      

Kekuatan dalaman inilah yang harus sentiasa dipelihara dan dilestarikan.  Sejarah mengajar kita bahawa kekalahan dan keruntuhan lebih banyak disebabkan kerapuhan dalaman, dan tidak sangat disebabkan gempuran luar.  Itulah yang sebenarnya hakikat di sebalik keruntuhan tamadun Baghdad pada abad 13M,   tamadun yang telah lama reput dari dalam setelah kehilangan kedua-dua tonggak kekuatannya (quwwatu ‘r-ruh wa ‘l-`aql)  dan seluruh kekuatan umat tersedut dalam silang sengketa  perpolitikan  al-siyasah bi ‘l-ma`na ‘s-sathiy  (politik yang telah mengalami pendangkalan  erti), politik siapa dapat apa.  Serangan Mongol  sebenarnya tidak lebih daripada sekadar tolakan terakhir terhadap tubuh daif yang sudah lama menunggu rebah.

Demikianlah andainya kita tidak mahu ditempelak  oleh ayat,  …apakah kamu  mengajak orang melakukan kebaikan, sedang kamu sendiri lupa diri?.   Umat sebenarnya sudah lama bosan dengan  sandiwara pidato-pidatoan dan  slogan-sloganan.   Kepura-puraan  dalam kepimpinan  dunia Islam sudah lama menjadi lawak yang tidak  lucu lagi.   Umat tidak lagi memerlukan kepimpinan yang lemah dan melemahkan.  Yang diperlukan adalah  gerakan yang perkasa  dan mampu memperkasa.  Mudah-mudahan Wadah akan mampu tampil sebagai  kekuatan pembawa harapan,  tampil dengan citra penuh wibawa sebagai pengibar panji-panji integriti moral  dan etika kecendekiawanan, tampil sebagai kekuatan pemberdayaan umat.  

Kita telah ditakdirkan  untuk menangani  generasi umat yang rata-rata telah dilumpuhkan oleh pelbagai faktor sehingga menepati  pemerian al-Qur’an  tentang hamba abdi yang tidak berdaya (`abdan mamlukan la yaqdiru `ala shay’).  Kaum dhu`afa’ yang terpuruk  akibat dilumpuh dan diperbodoh inilah yang harus dibina dengan agenda pemberdayaan tanwiriy  -   pencerahan dan pencerdasan.   Adalah amat disayangkan, dalam era kesedaran tentang peri pentingnya  human capital  atau modal  insani,  masih juga berlaku pengabaian terhadap usaha pemberdayaan umat.  Para penguasa di dunia Islam hanya asyik  menggali kekayaan bumi,  tetapi tidak berusaha menggali potensi kekuatan rakyat, malah seringkali bertindak sebaliknya membenamkan potensi kecerdasan rakyat sedalam mungkin, semakin dalam ia terbenam semakin amanlah mereka, kerana kecerdasan rakyat selalu dirasakan sebagai ancaman.  Rakyat yang cerdas jiwa dan mindanya adalah kekayaan bangsa (wealth of nation) yang paling berharga.  Kualiti rakyatlah yang akhirnya menentukan daya maju bangsa dalam dunia persaingan global.  

Pemberdayaan umat harus bermula dengan membangkitkan kesedaran al-wa`y al-Islamiy,  kesedaran Islami yang akan mengembalikan kesedaran keinsanan, keislaman dan kerakyatannya.  Dengan demikian mereka  akan menemukan semula erti hidup, tahu hak dan tanggungjawab, sedar tentang makna ketinggian martabat, maruah dan jati diri.  Memang misi para da`i ialah menghidupkan jiwa yang mati.  Demikianlah erti dan inti pengislaman yang hakiki.  Membawa manusia kepada Islam bererti memberikan daya hidup (…lima yuhyikum).

Pemberdayaan  juga harus meliputi pencerdasan  dalam erti pembinaan  daya fikir atau thinking capacity umat.  Ini bererti warga Wadah harus bersiap  melawan gerakan pembodohan dan pembekuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang merasa tergugat  dengan kecerdasan dan pemikiran kritis. Itulah hakikat di sebalik pelbagai kekangan yang memakai pelbagai nama: akta, peraturan, disiplin dan seumpamanya.  Generasi muda rata-rata tidak digalakkan berfikir kritis, mereka hanya disuapi dengan idea-idea yang sudah well cooked dan diindoktrinasi  dengan pemikiran yang sebenarnya sudah tidak mampu lagi bertahan di pentas wacana keintelektualan yang kritis.  

Pencapaian  objektif pencerdasan terkait pula dengan budaya ilmu.   Kerana itu penyegaran dan penyuburan budaya ilmu harus diangkat menjadi salah satu agenda utama. Untuk itu nilai ilmu perlu didaulatkan semula dengan  menempatkannya di puncak urutan set nilai budaya bangsa.  Kekuatan nilai ilmulah yang akan menjelmakan budaya ilmu Ini adalah tugas berat  yang harus dilaksanakan di tengah cabaran gejala kepura-puraan sikap terhadap nilai ilmu.   Dalam gembar-gembor slogan  serba-serbi berasaskan ilmu (knowledge based) banyak sekali perlantikan dan pengangkatan ke posisi-posisi penting yang mengenepikan kriteria keilmuan. Asas kepakaran seringkali dikorbankan kerana kuatnya motif rewarding friends atau berbagi rezeki di kalangan kroni.  

Yang ingin kita bangunkan adalah masyarakat dan tamadun yang religius, umat yang berwatak al-amiruna bi ‘l-ma`ruf wa ‘n-nahuna `ani ‘l-munkar,  umat yang berbudaya kemakrufan dan alergik terhadap kemungkaran.  Masa depan umat sebenarnya sangat ditentukan oleh komitmennya terhadap amar ma`ruf-nahi munkar yang disebut oleh al-Qur’an dalam pelbagai konteks: sebagai kewajipan kolektif umat, sebagai tanggungjawab penguasa, sebagai  ciri khayra ummah dan sebagai watak umat  beriman.


Haji Abdul Halim Ismail

 

Read 217947 times
  • Terkini
  • Popular
  • 1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) merakam…
  • 1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah…
  • OKTOBER 2017 - Alhamdulillah, telah berlangsung dengan…
  • 17 Disember 2017, IPOH - Seminar Politik…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • RAMADAN MUBARAK!SELAMAT BERPESTA IBADAH, BERLUMBA SEDEKAH. "…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map