Print this page

Wadah Gesa Tangani Isu Kuil Seri Mariaman USJ dengan Bijaksana

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) melahirkan rasa sedih dan kecewa atas insiden yang berlaku di Kuil Seafield Seri Mahamariaman USJ 25 baru-baru ini. Insiden yang berlaku ini adalah sangat merugikan semua pihak atas tindakan yang kurang waras oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Wadah berpandangan tindakan melulu seperti ini tidak menguntungkan mana-mana pihak walhal ianya boleh diatasi dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan meja rundingan yang boleh memberi impak positif kepada pihak-pihak terbabit.

Wadah juga bimbang jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama yang merugikan negara. Pihak kerajaan melalui menteri yang bertanggunjawab harus menghentikan sikap menyalahkan mana-mana pihak namun harus mencari jalan yang lebih objektif terhadap isu seperti ini. Jangan menyimbah minyak di atas bara api yang sedang marak.

Justeru Wadah menggesa pihak berwajib termasuk pihak kerajaan dan pihak polis segera mengambil tindakan tegas bagi mengelak tragedi ini berulang. Jangan dibiarkan pihak yang tidak bertanggungjawab berleluasa melakukan tindakan diluar batas undang-undang dan mereka mesti dihadap kemuka pengadilan.

Hasri Harun
Naib Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

27 November 2018 / 19 Rabiulawal 1440H

 

*Gambar ehsan Harian Metro

Read 667 times Last modified on Sunday, 03 November 2019 04:20