Print this page

Keadilan Untuk Dr Zakir Naik

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH amat prihatin dan kesal dengan permainan licik dan tafsiran jahat pihak berkepentingan serta serangan media sosial bagi menimbulkan ketegangan perkauman dan perbalahan agama sekitar tokoh pendakwah Dr Zakir Naik.

Seluruh usaha jelek dan propaganda digunakan bagi memburu dan menuduh Dr Zakir Naik bertujuan agar beliau dihantar pulang ke India sepertimana kehendak kerajaan India yang kini tegar berhaluan kanan serta bersikap gariskeras terhadap sifat kemajmukan dan pluraliti India.

Sehingga kini tidak ada bukti tentang kesalahan Dr Zakir Naik di India walaupun dituduh pengganas dan Interpol pun menolak mengeluarkan notis merah kerana tidak ada pendakwaan atau bukti yang meyakinkan mereka.

WADAH berpendapat sepertimana juga dijangka oleh banyak pihak lain bahawa jika Dr Zakir Naik dihantar pulang secara paksa ke India, ia seolah-olah umpama menghantarnya ke tali gantung kerana beliau pasti dilayani dengan buruk dan disiksa.

Suasana politik tanah air yang sepatutnya berubah daripada regim pemerintahan penuh korupsi kepada kepimpinan berwawasan tinggi dan sistem governan mengamalkan reformasi kini dihinggapi persengketaan cauvinistik dan konflik dalaman pada hampir setiap dasar sosial yang ingin dilaksanakannya.

WADAH menganggap membesar-besarkan isu dan kontroversi sekitar pendakwah Dr Zakir Naik adalah persengketaan jadian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta usaha menangguk di air keruh disebalik kelemahan kepimpinan yang masih bersifat etnik dan cauvinistik.

WADAH menggesa agar dikembalikan kewarasan dan ketegasan di dalam kepimpinan agar memberikan umat harapan serta kehidupan bersama dalam harmoni.

Dr Zakir Naik yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2013 mesti diberikan keadilan dan perlindungan daripada kezaliman dan penganiayaan.

Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH

19 Ogos 2019

Read 673 times