Print this page

Perutusan Hijrah 1441

Hari ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-62. Hari ini juga fajar Hijrah 1441 muncul menemui rakyat Malaysia dan dunia. Peristiwa ini merupakan satu ketentuan ilahi yang amat bermakna. Kedua-dua Merdeka dan Hijrah menuntut kita supaya berusaha dengan penuh kesungguhan ke arah membangun umat dan negara ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.

Hijrah dengan pelbagai pengertian antaranya bermaksud bergerak, berubah dan berpindah kepada tahap yang lebih baik. Hijrah memerlukan perjuangan dan pengorbanan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan segala tindakan yang dirancang. Dalam konteks terkini kita perlu melakukan hijrah tidak hanya minda, tetapi juga sikap dan tindakan bagi membentuk masyarakat Malaysia Baharu yang merahmat dan mensejahterakan rakyat berbagai kaum yang merupakan warga negara bagi negara tercinta ini. Kita semua anak Malaysia. Kita menjunjung dan menghormati perlembagaan Persekutuan yang disepakati bersama.

Masyarakat dari pelbagai pihak perlu digembleng untuk menyumbang keupayaan masing-masing ke arah membangun negara. Kerajaan dan rakyat serta segala jenteranya perlu bergerak seiring bagi menjayakan misi membina semula bangsa dan negara bersendikan kesepakatan serta kerjasama erat dari semua kaum. Segala anasir yang bersifat rasis, chauvanis, oportunis dan provokatif yang akan merosak serta merenggang perpaduan dan ukhuwwah rakyat, perlu dibenteras dengan tegas.

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) konsisten melaksanakan misinya dalam mencerdaskan minda umat, membentuk cara berfikir yang rasional dan bertindak berasaskan ilmu dan hikmah. WADAH komited dengan usaha membangun sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling memahami, bekerjasama berasaskan budaya santun dan saling hormat dalam kalangan rakyat. Konsep menyayangi negara sebagai tempat tumpah darah yang damai dan sejahtera untuk semua, memerlukan komitmen yang ikhlas dari rakyat berbilang kaum tanpa dibayangi prasangka, dendam dan kebencian.

Bersempena kedatangan tahun baru hijriah 1441 diharapkan semua pihak di pelbagai peringkat dan posisi dapat mengamalkan sifat-sifat mulia yang dianjurkan agama, yang selari dengan gagasan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Ini termasuklah komitmen pemerintah bagi memastikan urus tadbir yang baik dalam menyampaikan khidmat dan memenuhi segala keperluan dan harapan rakyat. Naratif membina semula negara ke tahap yang lebih baik adalah selari dengan tuntutan hijrah yang menuntut perubahan yang meningkatkan kesejahteraan untuk manusia. Malah tekad demikian amat relevan dengan tema sambutan Ma’al Hijrah 1441 peringkat kebangsaan kali ini: ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara kali ke 62, marilah kita membuat tekad untuk membangun Malaysia yang kita sayangi ini sebagai sebuah negara gemilang dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam keadaan harmoni, saling memahami dan menghormati; sebuah negara yang aman, damai dan penuh dengan kasih sayang di bawah naungan maghfirah Allah SWT sesuai dengan konsep “baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur”.

*AHMAD AZAM AB RAHMAN* Presiden

1 Muharram 1441 31 Ogos 2019

Read 1173 times Last modified on Friday, 01 November 2019 15:49