Print this page

Selamat Hari Malaysia! Berkongsi Nilai Kebersamaan, Menghormati Perbezaan: Resepi Utama Membina Keharmonian Hidup Bernegara

SEMPENA 16 September 2019, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia. Sesungguhnya Hari Malaysia kali ini amat bermakna kerana ia disambut dalam semangat baru setelah terjadi peralihan kepimpinan negara ekoran pilihanraya tahun lalu. Semoga perubahan ini tidak sahaja menjadi pencetus perubahan-perubahan politik tetapi juga mendorong perubahan sikap dan minda rakyat. Mereka diharap menjadi lebih berani dan lebih bertanggungjawab terutama dalam mempertahankan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum berteraskan nilai-nilai hidup bersama.

DALAM sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, semua rakyat harus memahami tanggungjawab membina hidup bersama berasaskan prinsip perkongsian kemakmuran negara di samping berusaha mengurangkan pertembungan dan perselisihan antara kaum. Sebuah masyarakat yang bertanggungjawab akan sedia memanfaatkan segala kekuatan yang dimiliki oleh kaum yang berbagai dan sentiasa berusaha untuk saling menampung kelemahan-kelemahan yang ada, bukan dengan mengungkit perbezaan-perbezaan. Mereka berusaha merealisasi cita-cita untuk hidup bersama dalam suasana yang harmonis berasaskan prinsip-prinsip keadilan dalam ikatan semangat kekeluargaan.

WADAH yakin sesungguhnya manusia diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik ciptaan berbanding makhluk-makhluk lain. Manusia diberikan akal untuk berfikir dan mencari jalan untuk membina kehidupan yang bebas, aman dan sejahtera. Matlamat mulia ini tidak harus terhalang kerana perbezaan agama, bangsa, keturunan atau kedudukan majoriti-minoriti sesuatu kaum dalam sesebuah negara. Kepelbagaian ini harus dilihat sebagai kekuatan yang boleh dimanfaatkan untuk membina hidup yang harmoni dengan sikap saling menghargai, demi mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah dan dihormati.

SESUNGGUHNYA Hari Malaysia adalah sebuah peringatan sejarah yang penting bagi rakyat Malaysia untuk membangunkan persefahaman dan rasa kebersamaan sebagai satu formula penting demi membina Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara-bangsa yang bersatu padu dan kuat. Walaupun Semenanjung, Sabah dan Sarawak terpisah jauh oleh Laut China Selatan, formula ini mampu menyatukan kita sebagai satu Bangsa Malaysia yang membanggakan dan dihormati; Bangsa Malaysia yang berjiwa bebas; Bangsa Malaysia yang menginginkan kesejahteraan hidup bersama di antara berbagai kaum dan Bangsa Malaysia yang saling mengongsi kekayaan negara secara saksama dan adil.

JUSTERU, WADAH, dengan penuh keinsafan menyeru pihak kerajaan agar mengambil tindakan sewajar dan tegas dalam menangani sebarang usaha yang boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat serta berusaha membina kembali maruah negara yang tercalar akibat skandal-skandal masa lalu.

Sayangi Malaysia : Malaysia Bersih

Selamat Hari Malaysia

Ahmad Azam Ab Rahman
Presiden

Read 1310 times Last modified on Sunday, 03 November 2019 03:36