wadah3

wadah3

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam sekeras-kerasnya keputusan Mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas mantan Presiden Mesir, Mohammed Morsi di samping hukuman 20 tahun penjara yang diputuskan ke atasnya sebelum ini. Perbicaraan beramai-ramai (sebahagiannya in absentia) dan hukuman mati ke atas ratusan orang telah dibuat secara tergesa-gesa, termasuk ke atas Dr. Yusuf al-Qaradawi, telah dibuat tanpa mengikut proses undang-undang yang sewajarnya, berlawanan dengan prinsip-prinsip demikrasi, melanggar standard perundangan antarabangsa dan bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip yang digarisi oleh Islam.

Dengan hukuman ini, Al-Sisi telah membuat kesilapan besar kerana 'mengisytihar perang' ke atas Ikhwan al-MuslimUN. Kebangkitan baru rakyat menjadi suatu yang tidak dapat dielakkan dan penentangan terhadap regim tentera pimpinannya akan menjadi lebih besar.

WADAH mendesak supaya pemimpin negara-negara Islam, pimpinan gerakan Islam seluruh dunia, para pencinta keadilan mendesak supaya hukuman ke atas Morsi dan ratusan pengikut Ikhwan al-Muslimun ditarik balik dan mereka dibebaskan sepenuhnya. Sekiranya ternyata ada kes yang perlukan perbicaraan, maka satu tribunal bebas antarabangsa perlu mengambilalih sepenuhnya proses perbicaraan yang bakal dijalankan. WADAH kesal kerana kuasa-kuasa besar Barat hanya mampu menyuarakan kekesalan merelka namun gagal menghalang terjadinya tindakan-tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan oleh regim tentera ini dari terus berlaku. Mereka lebih mengutamakan kepentingan politik, ketenteraan dan ekonomi dengan penguasa-penguasa zalim dan korup dengan mengorbankan kebebasan, keadilan, demokrasi dan rule of law.

WADAH menuntut supaya Malaysia dan negara-negara OIC tampil memainkan peranan dan mengambil tindakan yang berkesan bagi menghalang tindakan zalim regim tentera pimpinan al-Sisi. WADAH meminta umat Islam di mana jua, di samping berdoa dan bersolat hajat, turut membuat desakan agar pemerintah di negara-negara mereka bertindak lebih berani dalam menyuarakan bantahan terhadap kezaliman regim tentera Mesir ini.

                

 

 

AB.HALIM ISMAIL

Setiausaha Agung

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Tagged under


Perolehan Zakat

Wang zakat diperoleh melalui dua sumber iaitu:

a) Bayaran terus kepada Unit Kewangan, Sekretariat WADAH

b) Bayaran terus ke MAIP menerusi kaedah e-Zakat yang diuruskendali oleh ABIM (PKA)

Sebanyak RM 41,000.00 telah dikutip melalui bayaran terus kepada Unit Kewangan Sekretariat WADAH. Manakala jumlah zakat yang diterima daripada MAIP ialah sebanyak RM 111,055.00. Carta di bawah menunjukkan jumlah perolehan zakat bagi tahun 2014:

 

Carta 1: Perolehan Zakat Unit Kewangan Sekretariat WADAH

Graf bar 1: Perolehan e-Zakat ke MAIP

 

Graf bar 2: Bilangan pembayar zakat berdasarkan kategori

 

Agihan Zakat

Sepanjang tahun 2014, Unit Kewangan Sekretariat WADAH telah dapat mengagihkan bantuan/sumbangan berjumlah RM 151,851.35 dalam pelbagai jenis bantuan kepada mereka yang layak menerima agihan zakat. Carta di bawah menunjukkan jumlah agihan zakat bagi tahun 2014:

Carta 3: Agihan Zakat WADAH

 

Butir-butir agihan mengikut kategori asnaf adalah seperti berikut:

a) Asnaf Gharim: Hutang persatuan kerana permasalahan ummah

b) Asnaf Miskin: Bantuan kecemasan/runcit/sara hidup

c) Asnaf Fisabilillah: Bantuan keperluan pendidikan, Pembinaan/ baikpulih masjid/surau/sekolah/asrama, Bantuan rawatan perubatan, Bantuan pelaksanaan program/ceramah/kuliah agama, Bantuan kecemasan luar jangka: banjir/ribut/kebakaran/dll, Bantuan kepada persatuan/badan Islam, Bantuan penyelidikan/penerbitan, Bantuan umum pelajaran, Saraan tenaga kerja sokongan. 

 

Tagged under

 

 

11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).

12. Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

13. Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

14. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -

15. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

16. dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

17. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

18. dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20. dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (Kalaulah tidak kerana) Bahawa Allah amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).

21. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui

Latar Penurunan Ayat:

Ayat-ayat tersebut merujuk peristiwa yang menimpa `Aishah r.`a. apabila difitnah oleh kaum munafiqin konon beliau telah melakukan perbuatan keji dengan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a., seorang sahabiy yang menemukannya sendirian kerana ditinggalkan oleh rombongan ekspedisi ketenteraan yang telah selesai menindak Bani al-Mustaliq pada tahun 5-6H. Ketika memberangkatkan kenderaan berkhemah yang dinaiki `Aishah r.`a., para petugas menyangka beliau sudah berada di dalamnya. Mereka tidak menyedari bahawa ketika itu `Aishah r.`a. berada di luar khemahnya kerana mencari kalungnya yang tercicir. Setelah menjumpainya, didapati rombongan telah berangkat, lalu `Aishah r.`a. menunggu di tempatnya dengan harapan para petugas akan menyedari ketiadaannya dan kembali mengambilnya. Malam semakin larut lalu `Aishah tertidur hinggalah pada pagi keesokan harinya beliau ditemukan oleh Safwan, orang terakhir pulang yang ditugaskan meninjau lapangan andainya ada sesuatu yang ketinggalan. Menemukan `Aishah dalam keadaan seperti itu, Safwan mempersilakan `Aishah r.`a. menaiki haiwan tunggangannya, sementara beliau sendiri menuntun haiwan kenderaan tersebut dengan berjalan kaki. Peristiwa itulah yang dilihat oleh Abdullah ibn Ubay sebagai kesempatan untuk dieksploitasi sedemikian rupa sehingga merebaknya fitnah skandal yang menggemparkan masyarakat Madinah.

Huraian Maksud Ayat:

Al-Qur'an mendedahkan fakta bahawa pelaku angkara al-ifk (fitnah dan pembohongan besar) itu, bukan seorang atau dua orang individu, tetapi sekumpulan (`usbah) yang berkongsi matlamat dan cita-cita jahat. Memang yang menjadi ringleadernya adalah ketua munafiqin, tetapi dari segi hukum ia dianggap warga masyarakat Islam berdasarkan sikap zahirnya, kerana itu mereka disebut minkum (dari kalangan kamu). Bilangan mereka sebenarnya tidak ramai, tetapi bahayanya cukup besar. Ia adalah sebahagian daripada usaha memerangi Islam oleh musuh-musuh yang tidak mampu berhadapan secara jantan, lalu berkomplot mereka-reka fitnah character assassination, mengaib dan menyerang peribadi. Fitnah yang direkayasa oleh Abdullah ibn Ubay, pemuka kaum munafiqin Madinah itu disambut oleh sekumpulan warga masyarakat Islam yang naïf dan lemah, lalu tersebar luas sehingga menggegarkan masyarakat madinah selama hampir sebulan.

Pada zahirnya memang peristiwa tersebut begitu mendera dan menyakitkan, terutama bagi keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a., juga Safwan ibn al-Mu`attal, seorang sahabiy muhajir, mujahid yang terkenal dengan kebaikannya. Bagaimana tidak sakit, mereka adalah orang-orang terhormat, pemimpin yang kekuatannya terletak pada keluhuran peribadi dan integriti moral. Tetapi al-Qur'an segera mengingatkan hakikat bahawa di sebalik derita yang menyakitkan itu ada hikmah kebaikannya (Jangan kalian sangka ia semata-mata keburukan,sebaliknya ada kebaikannya bagi kalian). Yang tersirat di balik ayat tersebut adalah jaminan Tuhan, "Kamu mendapat pahala besar dari kejahatan mereka itu, terserlahnya kasih dan pemeliharaan Allah terhadap `Aishah r.`a. dengan membersihkannya dari fitnah lewat ayat-ayat Ilahi yang akan terus-menerus dibaca hingga kiamat, dan ketegasan ancaman Tuhan terhadap sesiapa yang mencemarkan maruah kamu". Memang fitnah yang dibongkar dan didedahkan biang keladinya lebih baik daripada fitnah yang tersebar dalam senyap tanpa diserlahkan hakikatnya. Pendedahan fitnah seperti yang terungkap dalam ayat-ayar al-Nur ini menyerlahkan kejahatan pelakunya dan membuktikan kebersihan mangsanya. Yang beruntung dalam isu ini adalah mangsa yang terbukti bersihnya, dan yang rugi adalah pelaku fitnah yang terbongkar konspirasinya. Keadaan seperti inilah yang diekspresikan dalam ungkapan Melayu, "senjata makan tuan!".

Tidak siapa pun akan terlepas daripada balasan Tuhan. Setiap orang yang bercakap tentang isu ini dan menuduh Umm al-Mu'minin `Aishah r.`a. melakukan perbuatan 'scandalous' yang mengaibkan, akan ditimpa azab, masing-masing mengikut kadar keterlibatan mereka dalam isu fitnah tersebut. Azab yang paling besar akan ditimpakan ke atas ringleader yang mendalangi konspirasi jahat itu. Dialah (Abdullah ibn Ubay) yang menjadi punca sebahagaian besar bencana fitnah tersebut. Dalang konspirator itu ditimpa azab berat (`adhabun `azim) duniawi-ukhrawi. Di dunia terdera dengan pendedahan belang kemunafikannya, di samping pengusirannya dari masyarakat umat; dan di akhirat terlempar ke gaung neraka lapisan terbawah.

Bertolak dari premis tersebut Allah s.w.t. mendidik umat yang sebahagiannya telah terlibat dalam isu fitnah tersebut lewat sembilan pesan peringatan keras:

   1. Ketika mendengar cerita karut kelompok konspirator fitnah tentang `Aishah r.`a. seharusnya mereka bersangka baik terhadapnya sebagaimana yang dituntut oleh iman. Justeru,                iman selamanya menuntut sikap bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin sebagaimana yang diisyaratkan lewat kata al-mu'minun wa al-mu'minat dalam ayat 12 tersebut.               Sebagai kaum beriman seharusnya mereka spontan menolak fitnah ke atas Sayyidatina `Aishah r.`a. itu dengan berkata, "Ini dusta nyata!" (hadha ifkun mubin!), rekaan tukang fitnah         tentang peristiwa terbuka yang sebenarnya tidak diragukan oleh siapa juga yang menyaksikannya. `Aishah r.`a. dibawa dengan kenderaan Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. di tengah                 benderang siang, dilihat oleh seluruh angkatan tentera Islam dan disaksikan sendiri oleh Rasulullah s.`a.w.. Andainya perbuatan aib telah berlaku, tentunya ia dilakukan secara sulit dan       tersembunyi. Demikianlah cara terbaik menyikapi isu seperti itu, iaitu dengan merujuk suara hati yang beriman. Jika seorang mukmin awam pun tidak tergamak melakukan perbuatan           sekeji itu, maka lebih tidak masuk akal ia dilakukan oleh isteri Rasulullah s.`a.w. dan sahabatnya yang terkenal baiknya.

   2. Setelah langkah pertama bertanyakan hati nurani sendiri, barulah masuk ke langkah kedua menuntut bukti nyata yang kuat. Orang yang membuat tuduhan seberat itu seharusnya              mengemukakan empat orang saksi sebagai pembuktian kebenaran tuduhan mereka. Apabila ternyata tidak ada saksi, di sisi hukum Allah para pelakunya dianggap pendusta yang                jahat. Sekali Tuhan mengatakannya pendusta (…hum al-kadhibun), ia tidak akan berubah dan tidak akan ditarik balik selamanya.

  3. Fitnah sedemikian itu adalah suatu kejahatan serius yang membawa padah yang fatal andainya tidak kerana kurnia rahmat Allah di dunia dan akhirat. Kurnia rahmat Allah di dunia                 berupa kesempatan bertaubat, sementara kurnia rahmat-Nya di akhirat berupa pengampunan terhadap dosa-dosa manusia. Kalau tidak kerana kurnia rahmat tersebut,                               nescaya ditimpakan-Nya azab serta-merta. Kata lawla dalam ayat tersebut bererti terhindarnya sesuatu (azab) kerana adanya sesuatu yang lain (kurnia rahmat Allah). Demikianlah             umat generasi tersebut mendapat pengajaran pahit untuk mengerti betapa besarnya rahmat Tuhan yang meliputi semua, termasuk mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan.

  4. Lewat ayat 15 al-Qur'an memberikan gambaran suatu masyarakat yang sedang ditimpa krisis nilai dan etika, ketika lidah tidak terkawal dan akal sihat tidak berfungsi. Kalaulah tidak               kerana kurnia rahmat Allah nescaya mereka sudah ditimpa azab pada saat mereka melafazkan kata-kata fitnah, ketika bertanya tentangnya, ketika memanjang-manjangkan berita             bohong yang mereka tidak mengetahui hakikatnya, dan ketika menyangka bahawa ia adalah soal kecil dan remeh, walhal di sisi hukum Allah ia adalah kesalahan serius dan dosa besar         kerana telah mencemarkan kemuliaan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w dengan fitnah skandal yang sedemikian keji. Ayat 15 tersebut menyenaraikan tiga kesalahan (dosa) yang telah         mewajarkan para pelakunya ditimpakan azab: a. mulut dan lidah yang menyebut (bertanya dan menyampaikan) fitnah jahat itu kepada orang lain, b. bercakap tentang sesuatu yang           tidak diketahui (tanpa bukti), dan c. menganggap kecil (tahsabunahu hayyinan) suatu yang hakikatnya besar dan serius di sisi Allah (wa huwa `inda 'Llahi `azim). Ternyata qadhaf                 (menuduh orang melakukan zina) adalah termasuk dosa besar. Hakikat besarnya dosa perbuatan tersebut tidak berubah (menjadi kecil) semata-mata kerana kejahilan pelakunya yang       menyangka ia soal kecil. Kerana itu setiap yang haram harus disikapi dengan serius kerana berkemungkinan ia termasuk dosa besar (al-kaba'ir). Dalam peristiwa Hadithat al-Ifk, hukum         hudud qadhaf telah dilaksanakan ke atas pelaku-pelakunya: Hamnah bint Jahsh, Hassan ibn Thabit dan Mastah ibn Athathah.

  5. Pendidikan adab dan disiplin seterusnya (selepas bersangka baik terhadap sesama kaum mukminin) ialah bersikap tegas dengan lafaz tasbih (subhanak) ketika mendengar berita                 bohong itu, lalu berkata, "Tidak sewajarnya kami mengucapkan kata-kata kotor yang mencemarkan maruah dan kehormatan Rasulullah s.`a.w., mustahil isteri Nabi s.`a.w. melakukan         perbuatan keji seperti itu, dan ini jelas suatu pembohongan besar dan suatu kejahatan menyakiti Nabi s.`a.w.!". Memang hati yang beriman seharusnya spontan melenting dan                   memprotes pada saat mendengar fitnah jahat sedemikian, lidah yang beriman tidak sanggup mengucapkan kata-kata tentang hal seperti itu dan tidak rela menjadikannya bahan                 perbincangan. Mukmin tulen akan bergegas menghadap Allah s.w.t. menyucikan-Nya dari kemungkinan membiarkan Rasul-Nya ditimpa aib sedemikian rupa. Masyarakat mukmin sejati         akan serta-merta melemparkan fitnah jahat itu jauh-jauh dari kedamaian, kemurnian dan keluhuran iklim iman dan taqwa.

  6. Satu lagi peringatan dari Allah s.w.t., yang disampaikan dalam nada mendidik dan mentarbiyah yang sangat mengesankan, ya`izukum (menasihati kamu), jangan sekali-kali mengulangi       apa yang terjadi dalam peristiwa hadithat al-ifk sepanjang hayat dan selama-lamanya, andainya kamu benar-benar manusia mukmin yang beriman kepada Allah, beriman dengan                 syari`at-Nya, memuliakan Rasul-Nya s.`a.w., melaksanakan pertintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sikap mematuhi nasihat Ilahi dalam ayat ini dikaitkan langsung dengan iman (in         kuntum mu'minin). Justeru, orang beriman tidak akan mengulangi kesalahan yang telah jelas akibatnya seburuk itu. Lewat ayat-ayat firman-Nya, Allah s.w.t. telah menjelaskan hukum-         hakam syari`at-Nya, adab dan disiplin keagamaan dan kemasyarakatan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui segala yang       berlaku di kalangan mereka, lalu membalas setiap orang berdasarkan apa yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam menentukan hukum-hakam syari`at-Nya,       Maha Bijaksana dalam mengurus kehidupan makhluk-Nya, dan Maha Bijaksana dalam mewajibkan apa yang membawa kebahagian mereka di dunia dan akhirat.

  7. Disiplin atau adab ketiga yang dipesankan oleh Allah s.w.t. ketika mendengar cerita fitnah seperti itu agar jangan menyebarkannya, dan malah jangan menginginkan ia tersebar. Mereka       yang terlibat dalam penyebaran dan penyiaran berita zina di kalangan kaum mukminin akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat (…lahum `adhabun alimun fi al-dunya wa al-       akhirah). Di dunia mereka merasakan kepedihan hukuman qadhaf (lapan puluh kali sebatan), dan di akhirat nanti mereka akan dibakar dalam api neraka. Manusia jangan berlagak tahu        tentang hakikat sesuatu, sumbernya hanyak maklumat yang serba terbatas, berita yang tidak jelas hujung pangkalnya atau hanya dakwaan orang-orang yang sakit hati. Malulah kepada      Allah yang Maha Tahu tentang hakikat segala sesuatu (…wa 'Llahu ya`lamu wa antum la ta`lamun). Kalau mahu selamat, kembalikan dan serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha        Tahu. Dalam kaitan ini Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayliy mencatatkan ayat 19 surah ini menyebut bahawa adanya keinginan (sekadar keinginan) tersebarnya berita zina (al-fahishah) sudah       cukup untuk mewajarkannya ditimpa azab, apa lagi jika benar-benar telah bertindak menyebarkannya. Sudah pasti lebih besar dosanya dan lebih dahsyat hukumannya. Menurut al-             Zuhayliy lagi, punca keinginan keji agar fitnah zina tersebar luas adalah dendam, kebencian dan nafsu meninggi diri. Kedengkianlah yang mendorong pendendam seperti Abdullah ibn             Ubay melakukan pencemaran maruah dan pencabulan kehormatan dengan sangkaan perbuatan itu akan menjadikannya tampak hebat, mulia dan berwibawa. Ibn Ubay dan mereka            yang sejenisnya boleh bermimpi semahunya, tetapi Allah tetap dengan hukum dan hukuman-Nya: menimpakan azab duniawi-ukhrawi ke atas para pelaku qadhaf.

  8. Allah s.w.t. mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu 'Llahi `alaykum wa rahmatuhu…), nescaya kamu sudah binasa ditimpa azab-Nya, tetapi      Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Tuhan masih bersedia menerima taubat mereka yang ingin kembali kepada Allah setelah telanjur dalam isu al-ifk        ini. Tuhan masih berkenan menunjukkan jalan pulang dan jalan kebaikan, dengan memperingatkan bahaya sikap berterusan melakukan perbuatan terkutuk mencemarkan kehormatan         keluarga dan rumah-tangga Nabi s.`a.w.

  9. Dengan kurnia rahmat-Nya, Tuhan menunjukkan jalan selamat bagi kaum mukminin seluruhnya iaitu dengan menjauhi jalan dan laluan syaitan, juga jangan mendengar bisikan dan              saranannya kerana syaitan hanya membawa satu motif: menyuruh melakukan kekejian dan kemungkaran. Demikianlah ketika syaitan merangsang mereka mendengar dan mempercayai      fitnah al-ifk dan seterusnya mendorong mereka menyebarkannya. Sekali lagi pada ayat 21 Tuhan mengulangi peringatan-Nya, kalaulah tidak kerana kurnia rahmat-Nya (wa lawla fadlu         'Llahi `alaykum wa rahmatuhu) dengan membuka pintu taubat dan pengampunan-Nya, nescaya tidak akan ada orang yang dapat membersihkan diri daripada dosa, tidak akan ada                orang yang dapat melepaskan diri dari belenggu syirik, budaya keji dan kebejatan moral. Dan andainya itu terjadi, akibatnya tidak lain adalah kebinasaan ditimpa azab. Berkat kurnia              rahmat-Nya manusia bejat yang bergelumang dosa boleh berubah menjadi manusia zakiy, manusia yang mencapai kebaikan yang diredhai Allah. Demikianlah Maha Penyayangnya Tuhan      yang berkenan membersihkan sesiapa yang dikehendakai-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar suara hati mereka yang ikhlas ingin bertaubat dari perbuatan keji yang telah      mereka lakukan selama ini.

 

Tagged under

PORT DICKSON - Berkesinambungan dari Siri MQ yang terdahulu, Muzakarah Qiyadah kali ke-6 (MQ6) ini telah diadakan pada 11-12 April (Sabtu-Ahad) bertempat di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pertemuan dan muzakarah antara WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) dari seluruh negeri di Malaysia ini dipenuhi dengan sesi muhasabah dan diskusi berkaitan jamaah dan hal-hal yang bersangkutan dengannya.

Muzakarah Qiyadah kali ke-6 ini telah mengumpulkan seramai hampir 70 orang ahli WAP yang terdiri dari pimpinan-pimpinan Pusat dan juga Negeri. Muzakarah selama 2 hari ini menyediakan ruang untuk bermuhasabah bagi menilai keberkesanan kaedah dan pendekatan gerakan yang digunakan selama ini serta bertujuan untuk menjana dan meneroka dimensi-dimensi serta ruang-ruang baru yang boleh diteroka dan diaplikasi oleh WAP bersesuaian dengan perubahan suasana dan keadaan terkini.

Resolusi yang dicapai melalui bengkel-bengkel serta diskusi yang dijalankan sepanjang 2 hari ini diharap dapat menambahbaik serta memperkukuhkan gerakan WAP dalam menanggapi isu-isu jamaah serta umat Islam di dalam dan luar negara secara keseluruhannya. 

   

   

 

Tagged under
  • Terkini
  • Popular
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menzahirkan sembah…
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melahirkan rasa…
  • SHAH ALAM - Wadah Pencerdasan Umat Malaysia…
  • 16 Sept. 2018, BANGI - Sahabat-sahabat dari…
  • Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH kesal dan…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • OKTOBER 2017 - Alhamdulillah, telah berlangsung dengan…
  • EID MUBARAK 1439H
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map