wadah3

wadah3

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syari`at (maqasid al-shari`ah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan.

Bahagia atau celakanya hidup manusia, tergantung sepenuhnya pada rahmat Allah.

Menyedari hakikat itu manusia Muslim sentiasa mendambakan siraman rahmat Allah pada setiap detik masa.

Al-Rasul s.a.w memberikan petunjuk cara meraih rahmat ialah dengan dengan menebar belas kasih kepada warga alam.

Sabdanya, “Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya kamu akan dikasihani Yang di langit.” Ada seseorang berkata, “Sesungguhnya kami mengasihani isteri-isteri dan anak-cucu kami.”. Sabda Rasulullah s.a.w,

“Bukan itu maksudku. Yang aku maksudkan adalah kasih yang menyeluruh”.

Kata al-rahmah bi al-kaffah (rahmat yang menyeluruh) bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan yang menyejagat, khidmat kebajikan yang inklusif meratai seluruh warga bumi Ilahi.

Dengan keyakinan dan komitmen sedemikian itulah kita tampil di kancah dakwah pada era yang serba global dan plural.

Dalam kaitan inilah pula relevannya wacana tentang cabaran aktualisasi rahmat sejagat, penterjemahan mesej rahmatan li al-`alamin di tengah realiti kemajmukan, dengan bertolak dari premis dasar: Keesaan Pencipta dan keragaman (tanawwu’ / ta`addudiyyah) makhluk ciptaan-Nya.

Seluruh warga alam dengan segala kepelbagaiannya seharusnya berpeluang mengecap rahmat Ilahi lewat agama-Nya.

Memang sebagai agama rahmah, Islam harus ditampilkan dengan wajah yang ramah.

Sayangnya, agama rahmah yang ramah ini seringkali dicitrakan sebagai agama yang selalu “marah-marah”.

Sesuai dengan realiti masa kini yang dicirikan fenomena global dan plural, selaras dengan sifat agama Islam yang insaniyy al-da`wah wa `alamiyy al-risalah (keinsanan dakwah dan kesejagatan risalah), pendekatan kontekstual yang dirasakan paling tepat ialah seperti yang disarankan Fathi Osman, “…a universalistic and humanistic presentation of Islam.” Dengan semangat pembaharuan yang menggelora, pemikir Islam kontemporari yang berasal dari Mesir itu mengumandangkan seruannya:

"We ought to release ourselves from being enclosed and exhausted in the juristic details, and we have to enjoy the full, healthy and rich life in the ever-productive divine guidance in its width and depth.

We should also be the honest and courageous advocates and defenders of human dignity of all human beings: men, women or children, Muslim or non-Muslim, related to any land, race or ethnicity.

We have to present to the whole world (and reflect in our thinking and behaviour) the universality of Islam, and the grace of the Lord to all beings through His message.

Through such a universalistic and humanistic presentation of Islam, we can prove that it copes with our age of globalism and pluralism, which it had actually pioneered over fourteen centuries ago.

We could also demonstrate that Islam provides the moral depth which humanity has been missing and badly needs. Muslims can help themselves and help all of humanity realize that human dignity is the cornerstone of Gods message to all mankind in all generations, since He is in no need of being acknowledged or worshipped; He wants us to worship Him alone so as to be liberated from worshipping tyrants and fallacies.” (Fathi Osman, 2001:64-65).

Kepelbagaian adalah sunnatu ‘Llah dalam penciptaan makhluk. Rempuhan globalisasi yang dijiwai hegemoni Amerika tidak akan mampu merubah kenyataan manusia tetap berbeza-beza warna, agama, budaya dan bahasa.

Justeru, perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif dan optimistik fenomena shu`uban wa qaba’il (kemanusiaan yang berbangsa-bangsa dan bersukusuku) mengandungi hikmah ketuhanan yang tersirat di balik kata lita`arafu (agar mereka saling kenal).

Al-ta`aruf adalah kata yang sarat makna. Ia mengisyaratkan makna hubungan timbal-balik (`ilaqah tabaduliyyah) - saling mengakui, saling menghargai, saling membantu dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

Manusia memang berbeza-beza, tidak hanya dari segi biologis - warna dan jantina, tetapi juga dari segi agama, budaya dan bahasa. Kepelbagaian adalah ayat atau tanda kekuasaan, kekayaan dan kebijaksanaan Tuhan Yang Maha Besar.

Kalau Tuhan menghendaki, manusia boleh diciptakan serba homogen - serupa dan seragam. Tetapi hakikatnya Tuhan menghendaki sebaliknya, umat manusia diciptakan dengan sifat heterogen - beragam dan pelbagai, termasuk dari segi agama:

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. (Hud:118).

Demikianlah kehendak Tuhan Yang Maha Hakim (Bijaksana), segala ketentuan-Nya mengandungi hikmah dan rahsia yang harus difahami dan diselami sedalam-dalamnya. Justeru, fenomena pluralistik harus disikapi dengan iman dan moral keislaman yang benar.

Prinsip dasarnya adalah qabul al-akhar (menerima kehadiran orang lain dengan segala kelainannya), dengan ruh al-samahah (semangat toleransi) yang setinggi-tingginya demi matlamat kolektif hidup bersama (coexist), berdampingan secara damai dan harmonis. Hakikat inilah yang membawa kita ke persoalan alta’addudiyyah atau kemajmukan, tema besar wacana hari ini.

Kita memakai istilah ta`addudiyyah atau kemajmukan dengan pengertian yang Islami.

Memang ada istilah lain yang banyak dipakai ketika ini, seperti istilah pluralisme.

Mungkin ada yang tersentak mendengar kata pluralisme, apa lagi jika ia dikaitkan dengan agama.

Memang kata ini memerlukan penjelasan apa yang dimaksudkan, kerana dikhuatiri merujuk pluralisme agama gagasan John Hick yang sangat kontroversial itu.

John Hick adalah tokoh pluralis yang mempelopori projek penyamaan semua agama, tidak ada agama yang berhak mendakwa memiliki keunikan tersendiri.

Kerana itu kita dapat memahami mengapa ada pihak yang sangat berhati-hati, lalu memilih kata yang lebih neutral iaitu pluraliti.

Bagaimanapun persoalan sebenarnya tergantung pada apa yang dimaksudkan dengan istilah pluralisme.

Memang kenyataannya kata pluralisme mempunyai pelbagai makna yang harus difahami secara kontekstual.

Dengan kata lain, pluralisme tidak semestinya merujuk gagasan John Hick.

Kerana itu kita juga dapat memahami mengapa ada pihak yang menggunakan istilah pluralisme, seperi Prof Emeritus Dr Osman Bakar yang dengan nada tegas dan yakin mengatakan, How we view and manage human plurality and diversity is what gives rise to “pluralism.”

Since different cultures or civilizations treat the problem of plurality and diversity differently, we have come to encounter different versions of pluralism.

It is with full confidence that we say there is such a thing as “Islamic pluralism,” and that it differs in many respects, for example, from contemporary Western idea and practice of pluralism. (Osman Bakar, 2006:16-17).

Kamus Dewan memberikan makna pluralisme sebagai keadaan yang majmuk, iaitu keadaan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, kepercayaan agama dan sebagainya.

Kamus besar bahasa Indonesia juga memberikan erti yang sama, iaitu keadaan masyarakat yang majmuk (bersangkutan dengan sistem sosial dan politiknya).

Seterusnya, pluralisme kebudayaan diertikan sebagai “berbagai kebudayaan yang berbeda-beda dalam suatu masyarakat.”

Tetapi selain itu kata pluralisme sebagaimana yang sering dipakai dalam wacana-wacana ilmiah banyak merujuk makna yang selari dengan yang disebut Prof Osman Bakar di atas iaitu “How we view and manage human plurality and diversity” (Bagaimana kita mempersepsi dan menangani pluraliti kemanusiaan).

Demikianlah, pluralisme dalam pengertian pemikiran, sikap, cara pendekatan, formula dan strategi menangani realiti pluralistik, harus dibezakan dari pluralisme dalam pengertian penyamaan semua agama.

Bagaimanapun kita lebih selesa dengan istilah kemajmukan atau pluraliti dalam pengertian alta`addudiyyah, istilah Arab yang kini dipakai secara meluas para sarjana Muslim kontemporari, termasuk Dr Yusuf al-Qaradawiy, Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Pada Julai 2005, di persidangan yang dilangsungkan di Amman, Jordan, al-Qaradawiy membawa makalah berjudul al-Ta`addudiyyah fi Nazar al-Islam (Kemajmukan dari Perspektif Islam).

Dalam persidangan tersebut, yang turut dihadiri tokoh-tokoh pemikir Islam termasuk Wahbah al-Zuhayliy, Sa`id Ramadan al-Butiy, Kamal Abu al-Majd dan lain-lain , tidak ada peserta yang mempersoalkan pemakaian kata al-ta`addudiyyah dalam konteks posisi dan persepsi Islam terhadap fenomena kepelbagaian.

Dalam temuramahnya dengan majalah al-Watan al-`Arabiy (bil. 974, November 1995), al-Qaradawiy mengatakan Islam menerima pluraliti agama (…yaqbalu bi alta` addudiyyat al-diniyyah) dalam pengertian menerima hakikat manusia memang menganut agama (al-`aqa’id) yang berbeza-beza.

Ini berlaku dengan kehendak Allah (Hud:118), dan Allah sendirilah yang akan meng-hisab segala yang diperselisihkan manusia pada hari kiamat kelak (al-Hajj:69).

Seterusnya al-Qaradawiy mengatakan Islam, di samping menerima pluraliti agama, juga menerima pluraliti budaya dan politik.

(inna al-Islam yaqbalu bi al-ta`addudiyyat althaqafiyyat wa al-siyasiyyat wa al-diniyyah) berasaskan hakikat berbeza-beza (ikhtilaf) adalah sifat sejati kemanusiaan, malah alam ini seluruhnya berdiri di atas asas perbezaan-perbezaan (Fatir:27-28).

Dalam dunia perbukuan Arab masa kini, sudah ramai penulis Muslim yang menggunakan kata alta`addudiyyah sama ada pada judul buku atau dalam kandungannya.

Selain al-Qaradawiy yang menulis Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam (Dari Fiqh Kenegaraan dalam Islam) dengan sub-judul Makanatuha, Ma`alimuha, Tabi`atuha, Mawqifuha min al-Dimuqratiyyat wa al-Ta`addudiyyat wa al-Mar’at wa Ghayr al- Muslimin; Dr Muhammad `Imarah menulis sebuah buku dengan judul al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-wihdah (Islam dan Kemajmukan: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan); Dr `Imad al-Din Khalil menulis buku berjudul al-Wahdah wa al-Tanawwu` fi Tarikh al-Muslimin (Kesatuan dan Kepelbagaian dalam Sejarah Umat Islam) yang banyak menggunakan kata al-tanawwu’ dan al-ta`addudiyyah secara bertukar-ganti; Dandal Jabr menulis buku berjudul al-Ta`addudiyyah al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat al-Shar’iyyah (Kemajmukan Politik dan Penggiliran Kuasa dalam Siyasah Syar`iyyah); Dr Muhammad `Abd al-Rahman Balrawin dengan bukunya al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyat fi al-Dawlat al-Shuriyah (Kemajmukan Politik dalam Negara Syura) dan lain-lain.

Ternyata al-ta`addudiyyah atau kemajmukan adalah fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui Islam. Hanya al-Dhat al-Ilahiyyah sahaja yang Esa semutlaknya, sedang yang lain-lain berdiri di atas sunnaniyyat al-ikhtilaf, sunnah dan hukum kepelbagaian.

Al-ta`addudiyyah (kepelbagaian/kemajmukan) dalam perspektif Islam bukan sekadar hak kemanusiaan, yang boleh diterima dan boleh ditolak; bukan juga sekadar budi bicara, yang boleh diberi dan boleh dinafi; tetapi ia adalah fitrah dan sunnatu ‘Llah, undang-undang dan aturan Ilahi yang tidak berubah dan tidak mungkin berubah. Namun demikian al-ta`addudiyyah tidak bererti perpecahan dan perbenturan, kerana semuanya tetap terpadu dalam wadah kesatuan. Hakikat inilah yang dengan tepat diekspresikan Dr Muhammad `Imarah dengan ungkapan al-ikhtilaf wa altanawwu` fi itar al-wihdah (perbezaan dan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan).

Demikianlah hakikatnya: kepelbagaian makhluk dalam bingkai kesatuan Pencipta, kepelbagaian bangsa dan suku dalam bingkai kesatuan kemanusiaan, kepelbagaian syari`at dalam bingkai kesatuan agama, kepelbagaian hukum dan fatwa dalam bingkai kesatuan syari`at, kepelbagaian mazhab dan parti dalam bingkai kesatuan umat.

Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia: agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya.

Islam menerima, menghargai dan menghormati manusia dalam segala kepelbagaiannya - bangsanya, bahasanya, agamanya dan budayanya. Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan.

Justeru, seluruh umat manusia (yang berbeza-beza agama itu) tetap terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan.

Semuanya adalah anak-anak Adam (`a.s.) yang dimuliakan Allah (Al-Isra’:70). Al-takrim al-Ilahiy (kurnia kemuliaan dari Tuhan) adalah untuk seluruh umat manusia (keturunan Adam `a.s.), yang putih dan yang hitam, yang di darat dan yang di laut, yang Muslim dan yang bukan-Muslim.

Bagi kita memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya, tanpa mengira agamanya, adalah suatu tuntutan keagamaan, bahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan al-Bukhariy dari Jabir ibn `Abdi ‘Llah Junjungan s.a.w berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Mendengar ada suara yang menyebut itu adalah jenazah Yahudi! Rasulullah s.a.w spontan menjawab, “Alaysat nafsan?” (Bukankah ia satu jiwa manusia?).

Demikianlah, setiap jiwa manusia (Muslim atau bukan Muslim) memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati.

Selain itu ada pula catatan dari Ibn Hazm tentang kematian ibu kepada al-Harith ibn Abi Rabi`ah, seorang yang beragama Kristian, jenazahnya dihantarkan ke perkuburan para sahabah Rasulullah s.a.w. Manusia, sebagai manusia tanpa mengira bangsa, agama dan budayanya, berhak mendapat hak asasi kemanusiaan. Mengenai hakikat universalnya hak asasi kemanusiaan, Fathi Osman mengatakan, Human rights are universal, and they apply equally to all human beings whatever their inborn or acquired differences may be.

Through such a universal human perspective, the “other” is as equally human as you, be he/she of onother gender, race or ethnicity, faith, age, or ideology.

The Qur’an emphasizes that all humankind was created from one couple: a male and a female, in spite of all their diversification into various peoples and tribes.

They are meant to develop knowing and complementing one another through the diversity of human qualities and the diversity of the natural resources distributed among them in their homelands (Qur’an 49:13). (Osman, Fathi, 2001: 42).

Al-ta`addudiyyat al-Islamiyyah tumbuh dari kesedaran perbezaan manusia dalam beragama berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. sendiri yang mengurniakan kebebasan kepada makhluk istimewa ini untuk memilih - menerima atau menolak (Al-Kahf: 29).

Kalau Tuhan menghendaki, Dia Maha berkuasa menjadikan seluruh manusia umat satu agama, tetapi kerana kehendak-Nya jua manusia berbeza-beza (Hud:118).

Setiap Muslim berkeyakinan kehendak Allah tidak dapat dihalang, sebagaimana ia juga berkeyakinan segala kehendak-Nya mengandungi hikmah kebaikan, sama ada manusia tahu atau tidak.

Kerana itu seorang Muslim tidak berfikir dan tidak harus berfikir untuk memaksa manusia agar semuanya menjadi Muslim. (Yunus:99).

Al-ta`addudiyyah dalam Islam terbina di atas kesedaran orang Muslim tidak dituntut untuk menentukan nasib orang bukan-Muslim atas ketidakislaman mereka.

Itu adalah urusan Tuhan yang akan diputuskan nanti pada Hari Perhitungan, bukan sekarang.

Yang dituntut dari orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan pelayanan yang adil terhadap orang lain yang tidak seagama. (Al-Shura:15).

Dengan demikian orang Islam tidak mengalami sebarang dilemma dalam melaksanakan keadilan dan melakukan kebaikan terhadap orang bukan Islam. Urusan kita bukan memaksakan Islam ke atas mereka.

Urusan kita adalah melaksanakan perintah Allah memberikan keadilan, bersikap ramah dan berakhlak mulia terhadap semua, termasuk yang bukan-Islam.

Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan orang Islam ke atas orang bukan Islam. (Al-Ma’idah:8).

Memberikan pelayanan yang adil terhadap orang bukan Islam adalah amanah Tuhan dan Rasul-Nya ke atas kita semua.

Kegagalan bersikap adil terhadap mereka adalah dosa yang membawa risiko berat sebagaimana yang diperingatkan al-Rasul s.a.w lewat sabda riwayat Ahmad dalam musnadnya:

Demikianlah secara umum sikap Islam terhadap pluraliti agama, sikap yang disemangati ruh al-samahah, jiwa toleransi yang tulus dan murni.

Yang diakui bukan hanya hak kebebasan menganut agama pilihan masing-masing, tetapi juga hak untuk mengamalkan ajarannya - melaksanakan kewajipannya dan menghindari larangannya.

Jika bagi Yahudi haram bekerja pada hari Sabtu, ia tidak boleh dipaksa bekerja pada hari tersebut.

Jika bagi orang Kristian wajib ke gereja pada hari Ahad, maka ia tidak boleh dihalang melakukannya.

Seterusnya, umat Islam jangan menghalang orang bukan Islam melakukan sesuatu yang halal di sisi agama mereka, walaupun ia haram di sisi Islam.

Yang penting harus ada kesediaan saling memahami sensitiviti masing-masing, dan jangan sampai berlaku paksa-memaksa. .

Sebagai umat yang bertamadun dan berbudaya, semua pihak seharusnya memiliki kepekaan yang tinggi terhadap nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.

Umat Islam khususnya harus dapat mengapresiasi dan menghayati kehalusan bahasa al-Qur’an terutama dalam sapaannya terhadap orang-orang bukan Islam.

Kepada mereka yang bukan Islam, al-Qur’an selalu menggunakan kata panggilan Ya ayyuha al-nas (wahai umat manusia) atau Ya bani Adam (wahai anak-anak Adam).

Kata panggilan sedemikian memang terasa lebih lunak berbanding kata Ya ayyuha alladhina kafaru (wahai orang-orang kafir) atau Ya ayyuha al-kafirun (wahai orang-orang kafir) yang tidak digunakan dalam al-Qur’an kecuali pada dua tempat (surah al-Tahrim:7 dan surah al-Kafirun:1). – 1 Oktober, 2014

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/cabaran-melaksanakan-rahmat-sejagat-dalam-masyarakat-majmuk-datuk-dr-siddiq

Tagged under

 

BANGI - Muktamar Nasional Kelapan WADAH & Seminar 'Islam Rahmatan Lil'Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik' telah diadakan pada 20 & 21 September 2014 bertempat di TNB-ILSAS, Bangi. Seminar ini merupakan anjuran bersama WADAH & Nadwah Ilmuwan (NADWAH) bertujuan membincangkan dengan mendalam dan menyeluruh tentang konsep Islam rahmatan lil'alamin dalam usaha memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.

 

Sesi seminar telah dibahagikan kepada 2 sidang; Sidang 1 dan Sidang 2. Berikut merupakan moderator, penyampai dan tajuk-tajuk yang dibincangkan sepanjang sesi seminar:

     Sidang 1:"Islam Rahmatan Lil 'Alamin dalam Konteks Masyarakat Pluralistik"

     Moderator: Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman

     1. Dr. Muhammad Nur Manuty - "Zaman Rasulullah dan Sahabat"

     2. Sdr. Jamaluddin Mohyiddin - "Kerajaan Andalusia"

     3. Prof. Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman - "Daulah Uthmaniyyah"

     Sidang 2: "Islam dan Pluralisme: Cabaran Semasa"

     Moderator: Prof. Madya Dr. Shaharuddin Badaruddin

     1. Prof. Dr. Abdul Aziz Bari - "Aspek Perundangan"

     2. Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi - "Aspek Sosio-Budaya"

 

 

 

 

Hasil daripada diskusi sepanjang seminar, maka dengan itu, Seminar 'Islam Rahmatan Lil'Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik' menganjurkan beberapa seruan berikut:

1. Kepentingan membangun pendekatan kontekstual dalam usaha dakwah berteraskan 'a universalistic and humanistic presentation of Islam' yang sejajar dengan sifat agama Islam sebagai 'al-dakwah wa 'alamiyy al-risalah' (keinsanan dakwah dan kesejagatan Islam).

2. Keperluan gerakan Islam merancakkan wacana realiti al-ta'addudiyyah, pluralistik atau kemajmukan dalam pengertian yang bersifat Islami apatah lagi, konsep pluralisme itu mengandungi beberapa tahap makna dan pengertian. Masyarakat Islam hendaklah menolak fahaman pluralisme agama dalam maksud penyamaan semua agama.

3. Piagam Madinah hendaklah dihadam dengan mendalam oleh seluruh ahli gerakan Islam dan seluruh warga masyarakat memandangkan kepentingannya sebagai model unggul pembinaan ummah yang bercirikan kepelbagaian terutama dalam konteks Malaysia.

4. Iktibar daripada pengalaman prinsip dan semangat rahmatan li al-a'lamin dalam pengalaman kepemimpinan Rasulullah, para sahabat dan kekhalifahan Islam seperti di Andalusia dan Uthmaniyyah hendaklah diperluaskan perbincangannya dalam masyarakat.

5. Para pemmpin dan ahli politik tanahair hendaklah mendukung dasar 'kepelbagaian dalam bingkai kesatuan', seterusnya menerima hakikat al-ta'addudiyyah al-siyasiyyah (kemajmukan politik) bagi memastikan penerimaan terhadap kepelbagaian pendapat, pemikran dan strategi bagi pembinaan negara.

6. Sistem pendidikan negara hendaklah terus dinilai bagi memastikan ia menjad satu wahana terampuh bagi menyemarakkan nilai-nilai hidup kemajmukan positif seterusnya memacu ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang utuh.

7. Pendidikan masyarakat tentang hakikat Islam sebagai rahmatan li al-'alamin hendaklah diperluaskan dan diperkukuhkan bagi membolehkan masyarakat menyikapi kepelbagaian ini dengan positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai asas kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.

8. Penghayatan asas-asas kesatuan bangsa meliputi prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada Yang Dipertuan Agong, menghormati jalur gemilang, perlembagaan Malaysia, kedudukan Bahasa Kebangsaan hendaklah terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

9. Gerakan Islam dan masyarakat Malaysia harus saling berganding bahu bagi membina Ummah Siyasiyyah yang inklusif iaitu meraikan kepelbagaian bangsa ini bagi membentuk satu ummat politik Malaysia.

10. Budaya dialog dalam pengertian bagi memupuk semangat lita'arafu, saling berhubungan, berkenalan dan memahami serta semangat toleransi hendaklah terus dipupuk sebagai nilai asas bagi usaha pembinaan bangsa Malaysia yang kukuh.

11. Seluruh umat Islam hendaklah meningkatkan penghayatan keagamaan dalam pengertian yang sebenar dan menjauhkan diri dari terjebak dengan perlakuan, ucapan dan sikap yang bertentangan dengan prinsip al-ta'addudiyyah Islam dalam segenap aspek kehidupan demi memelihara kesucian dan citra Islam yang bersifat rahmatan li al-'alamin.

 

Tagged under
  • Terkini
  • Popular
  • CONGRATULATORY MESSAGE TO TURKEY We wish to…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • 3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja…
  • 12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH…
  • Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map