Print this page
WADAH Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Penganjur Perhimpunan LGBT

 

                                        

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melahirkan rasa kecewa dengan insiden Perhimpunan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Ibu Negara yang dicemari dengan kehadiran golongan lesbian, bisexual and transgender (LGBT). Perhimpunan yang dijalankan tersebut telah menimbulkan kekesalan rakyat atas tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang berselindung disebalik sambutan Hari Wanita.
 
Isu dan perjuangan wanita di dalam negara ini tidak harus difahami menurut kaca mata hak asasi Antarabangsa dan perundangan semata-mata namun haruslah sesuai dengan budaya, agama dan adat setempat. Tindakan memperjuangkan agenda LGBT adalah suatu aspirasi hak asasi yang songsang dan tidak sesuai dengan gaya hidup masyarakat di rantau ini. Apatah lagi agama Islam menolak agenda songsang LGBT yang bertentangan dengan hukum syarak.
 
Tanpa menafikan golongan ini dalam mendapatkan hak hidup sebagaimana rakyat yang lain tetapi ianya tidak menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bertolak ansur dengan nilai dan budaya yang bertentangan dengan adat ketimuran. Kebebasan yang diperjuangkan bukanlah tiket bagi golongan ini untuk menuntut pelbagai hak yang tidak selari dengan hak kemanusiaan sejagat. 
 
Wadah menyokong saranan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar pihak Kementerian Dalam Negeri  mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan terbabit. 
 
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia menolak sebarang usaha memperjuangkan hak asasi songsang yang boleh menjejaskan kemurnian hidup masyarakat dalam negara. Perjuangan golongan tersebut menggambarkan seolah-seolah wanita dan hak asasi dinegara ini telah dirosakkan. Betapa banyak usaha yang dilakukan kerajaan telah mengangkat martabat wanita dinegara ini yang dinafikan golongan tersebut. Sindrom penafian yang mereka pegang telah menjadi asas pelbagai tuntutan yang amat tidak bertanggungjawab.
 
Justeru, Wadah menggesa pihak kerajaan agar segera mengambil tindakan atas pihak-pihak terbabit agar usaha sebegini tidak akan menganggu ketenteraman kaum dan agama dinegara ini.
 
Hasri bin Harun
Naib Presiden
 
 
 
Media link : https://www.sinarharian.com.my/article/17518/BERITA/Nasional/Penganjur-himpunan-LGBT-perlu-dikenakan-tindakan-tegas?fbclid=IwAR2dGLf-sWbVJ8JbIoP9vGG7TpurWyCAnxhnO7hL0U-LafiLMXL8KmnTEq8
 
 
Read 293 times