Print this page
Penganjur Himpunan LGBT Perlu Dikenakan Tindakan Tegas

SHAH ALAM - Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur himpunan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas telah mengganggu ketenteraman kaum dan agama di negara ini.

Naib Presidennya, Hasri Harun berkata, pihaknya menolak sebarang usaha memperjuangkan hak asasi songsang yang boleh menjejaskan kemurnian hidup bermasyarakat.


“Wadah berasa kecewa dengan insiden perhimpunan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur Sabtu lalu yang dicemari dengan kehadiran golongan LGBT.


“Tindakan memperjuangkan agenda LGBT adalah suatu aspirasi hak asasi yang songsang dan tidak sesuai dengan gaya hidup masyarakat di rantau ini.


“Apatah lagi agama Islam menolak agenda songsang LGBT yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.


Menurut Hasri lagi, tanpa menafikan hak golongan songsang itu menikmati hidup seperti rakyat yang lain, namun bukan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bertolak ansur dengan nilai dan budaya yang bertentangan dengan adat ketimuran itu.


“Kebebasan yang diperjuangkan bukanlah tiket bagi golongan ini untuk menuntut pelbagai hak yang tidak selari dengan hak kemanusiaan sejagat,” katanya.

 

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/17518/BERITA/Nasional/Penganjur-himpunan-LGBT-perlu-dikenakan-tindakan-tegas?fbclid=IwAR2dGLf-sWbVJ8JbIoP9vGG7TpurWyCAnxhnO7hL0U-LafiLMXL8KmnTEq8

Read 381 times