Print this page
Malaysia Dipilih Semula ke IPHRC, OIC Penggal 2019-2022

PUTRAJAYA: Malaysia dipilih semula ke Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi penggal 2019 hingga 2022.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, wakil Malaysia, Ahmad Azam Ab Rahman akan berkhidmat dalam suruhanjaya itu bagi penggal 2019 hingga 2022 bermula pada Ogos ini menggantikan Prof Datin Dr Raihanah Abdullah yang akan menamatkan tempoh dua penggal perkhidmatannya.

“Pemilihan semula itu dibuat sewaktu sesi pemilihan yang diadakan semalam di sela-sela Sesi Ke-46 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ahmad Azam adalah seorang aktivis yang aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

“Dengan asas yang kukuh dan pembabitannya dengan NGO di seluruh dunia, pengalaman beliau akan memberi perspektif yang baru kepada IPHRC,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, IPHRC ditubuhkan pada 30 Jun 2011 dan berperanan sebagai badan pakar bebas yang memberi khidmat nasihat kepada OIC dalam bidang hak asasi manusia.

“IPHRC terdiri daripada 18 pesuruhjaya yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan dicalonkan oleh kerajaan masing-masing dan mereka juga dipilih berdasarkan prinsip keseimbangan geografi dan kesamarataan jantina.

“Malaysia, sebagai ahli dalam suruhanjaya itu sejak awal penubuhannya, sudah banyak memberikan sumbangan yang signifikan kepada kejayaan IPHRC melalui pesuruhjayanya yang dipilih,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/536653/malaysia-dipilih-semula-ke-iphrc-oic-penggal-2019-2022?fbclid=IwAR3jRh28f5jp0IAoRTSi7wFMjJJA-89o5R5M4SFqQlGhFLS-YmpF__Oq2Xs

Read 238 times