Larangan Kakitangan Hotel Bertudung Bercanggah Perlembagaan Featured
14.Nov.2017
Rate this item
(0 votes)

BEBERAPA NGO Islam negara ini membantah standard operasi (SOP) dan polisi syarikat hotel melarang pekerja wanita bertudung kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Sekretariat Hal Ehwal Wanita Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Profesor Madya Dr Nur Izura Udzir berkata sensitiviti, budaya, tuntutan agama, serta hak kebebasan mengamalkan agama dan memakai tudung dan hijab perlu dihormati semua pihak.

"Ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan kepada individu atau komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Izura turut mempersoalkan rasional dan kaitan pemakaian hijab dan kemerosotan prestasi kerja, dan menganggap polisi itu sebagai "terkebelakang" dalam dunia masa kini di mana pemakaian hijab sudah pun meliputi pekerjaan profesional dalam pelbagai industri.

 

"Tindakan melarang pekerja wanita berhijab di tempat kerja ketinggalan apabila industri lain sudah lama menerima pemakaian hijab sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak menghalang profesionalisme kerjaya, misalnya jururawat dalam industri perubatan kerajaan dan swasta, penyampai berita dalam industri media, serta polis dan tentera dalam industri keselamatan," katanya.

Beliau turut memberi contoh Kumpulan Hotel De Palma di negara ini menerapkan konsep patuh syariah termasuk menutup aurat dan berjaya dalam reputasi profesional mereka dalam menarik pelanggan.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata SOP itu secara jelas menafikan hak kebebasan mengamalkan agama dan terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM Nor Azura Kamarudin Sohami berkata pihak berkenaan seperti Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan isu ini.

"Bagaimanakah sesebuah hotel boleh beroperasi dengan menggunakan SOP yang jelas bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan?

"Masyarakat memerlukan rujukan dan makluman dasar rasmi berhubung isu ini memandangkan ia menyentuh sensitiviti beragama dan hak asasi manusia dalam industri yang cuba mengangkat imej negara di mata dunia.

"Amalan bertudung bukanlah asing di peringkat antarabangsa yang meraikan sumbangan para tokoh serta profesional wanita Muslim dalam pelbagai lapangan," katanya.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan kakitangan hotel mengadu kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Pusat itu berkata perkara sama berlaku juga kepada pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline), menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.

Presiden MAH Cheah Swee Hee berkata setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai SOP dan polisi syarikat yang ditetapkan. – 13 November, 2017.

Pautan artikel : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/22646/

Read 1 times Last modified on Tuesday, 14 November 2017 05:22
  • Terkini
  • Popular
  • Sistem Nilai Islam Dalam Era Pascamoden Dan…
  • 12 Julai 2017, GOMBAK - Alhamdulillah selesai…
  • Pernyataan Sikap ISU LARANGAN MENUTUP AURAT PEKERJA…
  • Pernyataan Wadah sempena Hari Kemerdekaan ke-60 dan…
  • Memperingati 15 Julai 2016: Kemenangan Rakyat Turki…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map