Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri-74: Mewaspadai Gejala Kehilangan Hikmah, Buta Sejarah dan Kufur Nikmat Featured
02.Jun.2015
Rate this item
(2 votes)

 

4. Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah sesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

5. Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya): “Keluarkanlah kaummu dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur.

6. Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu dari (Fir`aun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cobaan yang besar dari Tuhanmu”.

7. Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhynya azab-Ku sangat pedih”.

Huraian Maksud Ayat

- Bahasa Ibunda dan Dakwah Para Rasul -

Seluruh para rasul pada umumnya membawa misi yang sama: ikhraju ‘n-nas mina ‘zzilimati ila ‘n-nur, iaitu pembebasan manusia dari gelita kesesatan dan kejahilan, untuk dibawa ke dalam benderang cahaya ilmu dan kebenaran. Misi profetik itulah yang kita sebut sebagai misi tahririy-tanwiriy (pembebasan dan pencerahan). Untuk itu tentunya diperlukan alat kemunikasi yang berkesan. Justeru, para rasul dan seluruh para pewaris misi para rasul memang harus komunikatif-artikulatif. Ayat 4 surah Ibrahim menyebut bahawa alat komunikasi terbaik adalah bahasa ibunda kaum itu sendiri (lisan al-qawm). Hanya dengan pengantar bahasa ibunda mesej tahririy-tanwiriy itu dapat disampaikan dan difahami dengan jelas dan tepat, mudah dan cepat. Bahasa dalam konteks ini tidak hanya asal bahasa ibunda, tetapi harus dipertimbangkan juga kesesuaian kata-kata dan bentuknya dengan tahap kemampuan khalayak memahaminya. Abdullah Yusuf Ali mengatakan, “If the object of a message is to make thing clear, it must be delivered in the language current among the people to whom the apostle is sent. Through them it can reach all mankind. There is even wider meaning for ‘language’. It is not merely a question of alphabets, letters, or words. Each age or people - or world in a psychological sense - casts its thoughts in a certain mould or form. God’s Message - being universal - can be expressed in all moulds and forms, and is equally valid and necessary for all grade of humanity, and must therefore be explained to each according to his or her capacity or receptivity. In this respect the Qur’an is marvelous. It is for the simplest as well as the most advanced”. 

Dalam melaksanakan misi pembebasan dan pencerahan tersebut, semua rasul memakai bahasa pengantar bahasa ibunda kaum masing-masing. Ketetapan tersebut dibuat oleh Allah s.w.t. sendiri berasaskan ilmu dan hikmah ketuhanan-Nya. Ayat 4 tersebut ditutup dengan menyebut dua Nama Indah Tuhan: al-`Aziz dan al-Hakim (Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana). Ertinya, Tuhan Maha Berkuasa melaksanakan segala kehendak-Nya, dan Maha Bujaksana dalam segala perbuatan, tindakan dan ketetapan-Nya, termasuk ketetapan-Nya mengutus para rasul dengan bahasa kaum mereka. 

Jika objektifnya ialah untuk menjadikan gerakan pembebasan dan pencerahan itu merata dan merakyat, maka pilihan satu-satunya ialah pemakaian bahasa ibunda, bahasa pribumi atau bahasa lokal. Pemakaian bahasa asing tidak mungkin membawa hasil (pembebasan dan pencerahan) yang merata dan merakyat. Strategi pemakaian bahasa asing hanya mungkin membentuk segelintir kaum elit yang tercabut dari akar kaum dan bangsanya. Kerana itu pemilihan bahasa asing sebagai pengantar pendidikan rakyat adalah suatu penyimpangan dari hikmah, dan sekaligus menolak kebijaksanaan Tuhan Yang Maha Hakim (Bijaksana) yang telah mengutus semua rasul-Nya dengan bahasa kaum mereka masing-masing. Mempelajari bahasa asing memang ada keperluannya, tetapi ia tidak boleh mengambilalih peranan bahasa ibunda. Kita boleh berinovasi dan melakukan pelbagai eksperimen, tetapi jangan sampai kehilangan wisdom.

- Musa `a.s. dan Misi Profetiknya -

Ayat 5 surah Ibrahim merumuskan dua misi utama pengutusan Musa `a.s.: a. Membebaskan kaumnya dari gelita (kesesatan dan kejahilan), dan membawa mereka kepada benderang cahaya ilmu dan kebenaran. b. Mengingatkan mereka dengan hari-hari Allah (ayyami ‘Llah). Hakikatnya, kedua-duanya bukan misi eksklusif Musa `a.s. semata-mata, tetapi misi bersama para rasul keseluruhannya. Mesej mereka memang rata-rata bersifat dan bersemangat liberatif, dalam pengertian pembebasan manusia dari segala bentuk zulumat. Kata zulumat yang bererti kegelapan itu disebut dalam bentuk jamak (plural) kerana kenyataannya kegelapan memang pelbagai - kesesasatan, kejahilan, kezaliman, kesempitan, kesakitan, kemunduran, kekotoran, kebiadaban dan sebagainya. Para rasul adalah pejuang-pejuang misi liberatif-transformatif dalam pengertian memimpin umat ke arah kehidupan yang cerah dalam sinaran cahaya petunjuk Ilahi (al-nur). Kata al-nur disebut dalam bentuk tunggal (mufrad/singular) kerana ia merujuk cahaya dari Allah Yang Maha Esa. Cahaya kebenaran memang hanya satu, cahaya yang sebenar hanya memancar dari satu sumber, iaitu Allah s.w.t.

Pencerahan dan pencerdasan adalah misi profetik yang harus diteruskan dengan melawan gerakan pembodohan yang banyak dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan. Amalan mengongkong umat dalam kepompong pemikiran sempit kepartian dan perkauman seperti yang sedang berleluasa ketika ini adalah juga sejenis zulumat yang harus dilawan. Demi penerusan dan pelestarian misi profetik tahririy-tanwiriy, umat harus dimerdekakan dari segala bentuk pembelengguan dan penindasan politik, ekonomi dan budaya

Missi kedua Musa `a.s. dan rasul-rasul lain, termasuk Muhammad s.`a.w. ialah meratakan kesedaran tentang hari-hari Allah (tadhkiruhum bi ayyami ‘Llah). Yang dimaksudkan dengan hari-hari Allah (ayyami ‘Llah) adalah sejarah, iaitu ketika Allah memperlihatkan peristiwa fenomenal yang sarat dengan erti dan pengajaran, peristiwa yang menyerlahkan kekuasaan-Nya secara luar biasa baik berupa pencurahan nikmat atau penimpaan laknat, peristiwa penting yang membawa impak besar terhadap kehidupan dan nasib masa depan sesuatu bangsa. Dalam kaitan ini Abdullah Yusuf Ali mengulas, “The Days of God: the days when God’s mercy was specially shown to them. Every day and every hour and every minute, God’s grace flows to us abundantly, but there are special events in personal or national history which may be commemorated as Red-letter Days.” Kesedaran sejarah sebagai bahagian penting misi para rasul dapat disaksikan dari banyaknya paparan kisah-kisah (al-qasas) umat silam dalam kitab-kitab yang diturunkan Allah melalui rasul-rasul-Nya. Al-Qur’an sendiri mengandungi banyak kisah-kisah sedemikian yang semuanya membawa mesej pengajaran (`ibrah).

- Hikmah dan Sejarah -

Antara ayyami ‘Llah (sejarah) dengan `ibar/`ibrah (pengajaran), ternyata wujud hubungan langsung yang sangat erat. Justeru, bukan sekadar suatu kebetulan apabila bapak sejarawan Ibn Khaldun memasukkan dua kata tersebut (ayyam dan `ibar) dalam judul karya monumentalnya, Kitab al-`Ibar wa Diwan al-Mubtada’ wa al-Khabar fi Ayyam al-`Arab wa al-`Ajam wa al-Barbar wa Man `Asarahum min Dhawi al-Sultan al-Akbar. Judul lengkap karya sejarah tersebut diterjemahkan oleh Franz Rosenthal sebagai Book of Lessons and Archive of Early and Subsequent History, Dealing with the Political Events Concerning the Arabs, Non-Arabs, and Berbers, and the Supreme Rulers who were Contemporary with them. Bagaimanapun ia lebih terkenal dengan sebutan singkatnya, Ktab al-`Ibar. Sebagaimana yang diisyaratkan dalam judul karya tersebut, sejarah, menurut Ibn Khaldun, mempunyai dua dimensi: lahir dan batin. Lahirnya adalah peristiwa-peristiwa nyata yang dilalui oleh sesuatu bangsa atau negara, sementara batinya adalah pengajaran, sebab-musabab, prinsip dan aturan (sunnatu ‘Llah). Kefahaman tentang batin sejarah atau mesej tersirat di balik peristiwa sejarah itulah yang dinamakan hikmah atau wisdom. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh Muhsin Mahdi tentang falsafah sejarah Ibn Khaldun, “The prominent position of `ibra in the title and in the text point in the same direction: a movement from the externals of history to its internal nature. Ibn Khaldun specifically identifies this effort with scientific or philosophic investigation, and calls it a part of wisdom (hikma, sophia). `Ibra, therefore, is not only the link between history and wisdom, but also the process through which history ia contemplated with the aim of understanding its nature and utilizing the knowledge thus gained in action.” (Mahdi, M., 1957: 71).

Demikianlah hakikat peri pentingnya belajar dari sejarah sebagai bahagian daripada agama. Meremehkan sejarah bererti mengabaikan komponen penting al-Qur’an, dan mengenepikan misi besar para rasul. Kegagalan memahami dan menangkap mesej sejarah pula bererti kehilangan hikmah. Malangnya, ramai kalangan ulama dan fuqaha’ sendiri yang gagal melihat kepentingan sejarah seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun. Demikianlah gejala yang melatari usaha muhaddith besar al-Hafiz Shamsu ‘d-din al-Sakhawiy mempertahankan ilmu sejarah dengan menghuraikan objektif dan manfaatnya. Usaha membela sejarah dari celaan sesetengah kalangan fuqaha’ itu dilakukannya menerusi karya terkenalnya al-I`lan bi al-Tawbikh liman Dhamma al-Tawrikh (Pernyataan Tempelak terhadap Mereka yang Mencela Sejarah).

- Nilai Sabar dan Syukur -

Ternyata tidak semua orang memahami erti dan kepentingan ayyami ‘Llah (sejarah). Ayat 5 menyebut secara khusus golongan yang mampu memahami sejarah sebagai ayat atau tanda kekuasaan Allah. Merekalah yang disebut sebagai golongan sabbar dan shakur (penyabar dan banyak bersyukur). Dalam ayyami ‘Llah ada sejarah pahit yang harus dibaca sebagai tanda tuntutan agar bersabar, di samping ada pula sejarah manis yang harus dibaca sebagai tanda tuntutan bersyukur. Mengenai kata sabbar dan shakur, Abdullah Yusuf Ali menjelaskan, “Sabbar is the intensive form, and includes all the ideas implied in sabr in an intensive degree. Shakur and shakir have in them the idea of appreciation, recognition, gratitude as shown in deeds of goodness and righteousness. Both terms are applied to God as well as to men. A slight distinction in shades of meaning may be noted. Shakur implies that the appreciation is even for the smallest favours and response on the other side; it is a mental attitude independent of specific facts. Shakir implies bigger and more specific things.”

Peringatan tentang betapa berertinya ayyami ‘Llah dengan segala iktibar dan pengajarannya, segera diikuti dengan contoh salah satu bentuk ayyami ‘Llah dalam sejarah Bani Isra’il. Ayat 6 merakamkan catatan bagaimana Musa `a.s. melaksanakan misi memperingatkan kaumnya tentang pengalaman ayyami ‘Llah yang telah mereka lalui, iaitu nikmat pertolongan Allah yang menyelamatkan mereka dari azab penderaan Fir`aun ke atas mereka. Babak sejarah yang mereka tempuh itu membawa mesej ujian: sabar ketika ditimpa bencana penindasan kejam, dan syukur ketika Allah menyelamatkan mereka dari petaka tersebut. Bencana yang berupa kerja paksa di luar keupayaan, penyembelihan anak-anak lelaki kerana ditakuti akan muncul dari kalangan mereka wira penggugat kekuasaan Fir`aun, dan pembiaran anak-anak perempuan hidup untuk dihina dan ditindas, memang suatu ujian berat. Semuanya harus disikapi dengan sabar, bukan dalam pengertian menerima kezaliman dan merelakan penghinaan. Tetapi sabar dalam pengertian ketahanan menanggung derita tanpa mengalami al-hazimat al-nafsiyyah atau psychological defeat (kekalahan psikologis), dan tanpa putus asa dari usaha membebaskan diri. Pengalaman pahit tersebut seharusnya menyedarkan mereka betapa berertinya nikmat pertolongan Allah menyelamatkan mereka dengan cara yang di luar perkiraan semua. Nikmat penyelamatan Ilahi itu seharusnya disyukuri selamanya, dari generasi ke generasi. Justeru, tanpa nikmat pertolongan Ilahi tersebut nasib dan sejarah hidup mereka kekal sebagai kasta hamba yang hina, diperas dan ditindas, dihempas dan dipulas.

Demikianlah al-Qur’an mengajarkan dua nilai penting - sabar dan syukur - yang memang sentiasa relevan sepanjang hayat, kerana hidup manusia bila-bila dan di mana pun tidak lekang dari dua pengalaman - dikurnia nikmat atau ditimpa musibah. Dengan demikian, dua nilai inilah yang harus dihayati silih berganti. Syukur ketika mendapat nikmat, sabar ketika ditimpa musibah.

Betapa agungnya nilai syukur diungkapkan pada ayat 7 dalam bentuk deklarasi ketuhanan yang mengumandang sepanjang zaman tentang keberuntungan orang yang bersyukur, deklarasi janji Allah yang disampaikan dalam nada yang tegas dan pasti, bahawa sesiapa yang bersyukur nescaya akan bertambah-tambah nilmat yang diperolehinya. Bagi manusia mukmin ayat 7 surah Ibrahim ini menumbuhkan keyakinan dan kedamaian jiwa kerana ia adalah janji Allah yang tidak mungkin dimungkiri. Di samping itu ia juga menumbuhkan kewaspadaan yang tinggi dalam penggunaan nikmat. Dengan semangat syukur, ia tidak akan menyalahgunakan nikmat untuk tujuan jahat, kotor dan curang. Dan tidak juga menggunakannya dengan motif memperaga dan membanggakannya di hadapan khalayak. Jika nikmat digunakan dengan cara yang diredhai Allah dan disenangi manusia, akan wujud masyarakat sejahtera dan berkebajikan.

Janji penambahan nikmat untuk mereka yang bersyukur, diimbangi dengan peringatan keras terhadap mereka yang kufur nikmat, bahawa mereka akan didera dengan azab yang pedih. Kufur nikmat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah sikap tidak mensyukurinya, atau mengingkari hakikat bahawa Allah sebagai pengurnia sebenarnya. Kufur nikmat berlaku apabila seseorang itu berasa bahawa nikmat (kejayaan) yang diraihnya adalah hasil usaha, ilmu dan kemahirannya diri peribadinya sendiri, seolah-olah kemampuan dan keupayaan dirinya itu bukan nikmat kurnia Allah. Kufur nikmat juga berlaku apabila ia disalahgunakan untuk tujuan memenuhi nasfu, melakukan kerosakan (fasad) atau motif membangga-banggakan diri di hadapan khalayak.

Azab yang keras (al-`adhab al-shadid) yang akan ditimpakan ke atas mereka yang kufur nikmat juga boleh berlaku dalam pelbagai rupa. Ada yang dihilangkan sama sekali, ada yang dikekalkan zahirnya tetapi dihilangkan kesan rasa nikmatnya, ada yang dikekalkan wujudnya, tetapi hakikatnya menjadi beban yang menyiksa dan mendera, dan ada pula azab yang ditangguhkan ke suatu masa (sama ada di dunia atau di akhirat). Yang pasti, kufur nikmat tidak akan terlepas dari pembalasan. Syukur atau kufur, manfaat dan akibatnya kembali kepada manusia sendiri. Allah tidak beruntung kerana disyukuri, dan tidak rugi kerana dikufuri. Disyukuri atau dikufuri, Allah tetap Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Read 1380 times Last modified on Tuesday, 02 June 2015 08:38
  • Terkini
  • Popular
  • CONGRATULATORY MESSAGE TO TURKEY We wish to…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • 3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja…
  • 12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH…
  • Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map