MEDIA MASSA DAN MASALAH ETIKA Featured
19.Dec.2014
Rate this item
(0 votes)

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil

Kebebasan bersuara memang suatu hak kemanusiaan yang harus dijamin dan diperjuangkan. Tetapi kebebasan memang tidak pernah mutlak. Kebebasan selamanya dibatasi tanggungjawab. Kerana itu persoalan kebebasan selalu terkait dengan isu freedom of what? dan freedom for what? Dalam konteks media, kebebasan  bersuara terikat dengan tanggungjawab berkata benar. Sebahagian media massa hari ini terkesan banyak menyebar kebohongan. Dari segi moral berbohong adalah sifat keji yang tidak selayaknya dilalkukan oleh manusia yang beragama dan beradab. Orang berbohong mungkin kerana nafsu kepentingan, atau mungkin juga kerana lemah, takut berkata benar.

Di tengah dominasi budaya takut (culture of fear) orang selalu memilih untuk tidak berkata benar demi keselamatan. Memang budaya takut menumbuhkan kemunafikan budaya dalam erti sikap tidak menyatakan apa yang sebenarnya. Isu ini pernah dibicarakan oleh Jakob Oetama, tokoh media Indonesia dalam makalahnya, Berkomunikasi dalam Masyarakat Tidak Tulus. Memang dalam masyarakat yang tidak tulus dan tidak telus sulit untuk berkomunikasi, termasuk memahami dan menangkap erti sesuatu kerana ada angguk yang bererti tidak, dan ada geleng yang bererti ia.

Memang keadaan ini adalah suatu yang malang, tetapi lebih malang lagi apabila media massa ikut memperkukuh budaya takut, menjadi penyebar khabar dan amaran yang tidak berdasar, dengan tujuan hanya untuk menakut-nakutkan rakyat.

Dalam keadaan seperti apa pun media tetap dituntut untuk mengungkapkan kebenaran. Memang media harus dapat dipercaya, dan untuk itu ia harus bersikap tulus, berani menyiarkan berita dengan benar. Moral agama jelas tidak dapat menerima pembohongan. Nabi s.a.w pernah menyebut orang mukmin mungkin bakhil, dan mungkin penakut, tetapi tidak mungkin berbohong. Orang beriman tidak berbohong keraa sifat pembohong bertentangan dengan iman yang intinya adalah al-sidq (bersikap benar). Al-Quran banyak mengungkapkan kisah-kisah iktibar untuk umat sepanjang zaman.

Pengkisahan atau pemberitaan gaya Qur'ani selalu diawali penegasan bahawa ia adalah benar sebagaimana dalam ayat-ayat tentang pemuda al-kahfi (al-Kahf:13), atau pesan agar ia disampaikan dengan benar sebagaimana dalam ayat-ayat tentang dua putera Adam a.s. (al-Maidah:27). Kata bi 'l-haqq dalam ayat-ayat pengkisahan tersebut mengindikasikan hakikat bahawa kisah-kisah Qur'aniah adalah faktual, bukan kisah fiktif - fiction, bukan berita palsu, dan bukan laporan berat sebelah; juga bahawa kisah-kisah tersebut harus disebarkan seadanya dengan amanah dan penuh tanggungjawab, tanpa distorsi atau tokok tambah.

Dalam masyarakat yang cerdas dan menjunjung nilai kebenaran dan keadilan, seharusnya tidak ada tempat bagi media penyebar kebohongan. Kerana itu masyarakat juga harus dicerdaskan dan dididik agar bersikap tidak rela diperbodoh dan tidak terjebak dalam kebohongan yang dikemas dan dihias begitu rupa sehingga tampak seperti kebenaran. Umat Islam memang dididik dengan kewaspadaan yang tinggi terhadap gejala pemalsuan kebenaran.

Kewaspadaan seperti itulah yang tersirat dalam do'a harian, "Ya Tuhan kami, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu nyata benarnya, dan berikanlah kami kemampuan mengikutinya; dan perlihatkanlah kepada kami kebatilan itu nyata batilnya, dan berikanlah kami kekuatan menghindarinya". Do'a ini seharusnya dapat membina sikap mewaspadai gejala pemalsuan, pembohongan dan pembodohan, dan seterusnya menolak media yang tidak beretika. Agama juga mengajar kita bagaimana menyikapi berita dan sumber berita.

Di tengah maraknya budaya fasiq, dan leluasanya manusia fasiq, dapat diandaikan bahawa berita fasiq juga luas tersebar. Untuk menangani gejala seperti itu al-Quran memberikan panduan dalam surah al-Hujurat agar segala berita dari sumber fasiq ditapis melalui proses tabayyun, prosedur  mendapatkan kepastian tentang kebenaran.

Justeru, maklumat bukan sekadar untuk diketahui, tetapi lebih daripada itu maklumat juga selalu dijadikan asas sesuatu tyindakan. Untuk mempastikan sesuatu tindakan itu benar, maklumat yang mendasarinya juga harus benar. Maklumat yang salah akan mengakibatkan tindakan yang salah, memangsakan orang bersih yang nanti akan membawa penyesalan.

Surah al-Hujurat juga mengandungi pesan dan peringatan bahawa pencarian berita tidak boleh dilakukan menerusi tajassus, mengintip dan menceroboh daerah privacy atau kehidupan peribadi seseorang. Ghairah membina kerjaya kewartawanan tidak boleh dijadikan alasa untuk melanggar batasan hukum agama.

Media dalam segala bentuknya, media cetak dan media elektronik, tidak ada yang terlepas daripada tanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan, amar makruf dan nahi mungkar. Kerana itu tuntutan penegakan kod etika media harus dipenuhi tanpa kompromi. Kerosakan akibat pelanggaran etika media sudah terlalu parah, dan tidak dapat ditoleransi lagi.

media yang seharusnya menjadi agen pemasyarakatan dan pembudayaan nilai-nilai murni, sebahagiannya sudah merelakan diri diperalat menjadi media penyebar ghibah dan fitnah dengan sengaja dan berleluasa mengaib dan memalukan, mencemarkan nama baik dan mencabul kesucian maruah manusia. Seringkali pula amalan keji itu dilakukan atas nama maslahah, inovasi dan kreativiti.

Dalam kaitan ini, beberapa tahun lalu (2006) Nahdatul Ulama, organisasi massa terbesar di Indonesia telah mengadakan Musyawarah Nasional Alim Ulama untuk membahas masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh umat, termasuk sebuah rancangan TV bersifat infotainmen yang banyak memaparkan gosip, perseteruan antara artis dan buka-bukaan rahsia konflik rumah-tangga untuk dijadikan tontonan umum jelas tidak etis dan melanggar adab tatanan hidup bermasyarakat.

Siaran media yang berintikan adu0domba dan aib-mengaib itu jelas menyuburkan al-'adawata wa 'l-baghda' (permusuhan dan kebencian) bukan sahaja di kalangan individu-individu yang terlibat, tetapi juga keluarga, kaum kerabat dan saudara-mara mereka. Agama mana dan tamadun mana yang dapat menerima paparan media sejelek itu?

Tampaknya memang sebahagian media massa kita sudah hilang kesedaran tentang maruah manusia yang dimartabatkan oleh agama sebagai suatu yang suci dan dilindungi secara hukum (undang-undang syari'at). Kewajipan melindungi maruah dan kehormatan diri adalah antara kandungan penting Pidato 'Arafah, haji terakhir al-Rasul s.a.w.

Keleluasaan media melakukan character assasination dengan menginjak-injak maruah, mengaibkan dan memalukan seseorang secara sewenang-wenang bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga telah mencabul hukum agama, dan sekaligus melanggar pantang Melayu sebagaimana yang tersurat dalam wa'ad kontrak sosial Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Apabila media sudah menjadi medan aib-mengaib akhirnya nanti amalan keji ini akan membudaya, dan bangsa ini akan menjadi bangsa yang tidak bermaruah.

Ada sesuatu yang menarik pada tulisan Dr. Mahmud Muhammad 'Imarah. Dalam bukunya al-I'lam al-Islamiy fi Muwajahati al-I'lam al-Maddiy beliau menyorot watak Abu Lahab, bukan hanya sebagai bapa saudara Nabi s.a.w. yang dengan ganas memusuhi Junjungan dan melawan perjuangan dakwahnya. Lebih jauh daripada itu 'Imarah melihat sosok Abu Lahab sebagai jelmaan media massa yang didasari semata-mata oleh kepentingan kebendaan. Profesor Universiti al-Azhar itu merumuskan ciri-ciri media massa yang terpersonifikasi pada diri Abu Lahab itu sebagai:

• Media yang tidak sanggup menghadapi kekuatan idea lawan dengan idea tandingan. Sebaliknya menghadapinya dengan propaganda dan membangga-banggakan diri.

• Menggunakan tenaga ahli dalam caci-maki dan menyakiti lawan.

• Memanfaatkan kerabat (orang dekat) pihak lawan untuk mempengaruhi khalayak.

• Menggunakan strategi meniru lawan dengan memakai istilah-istilah dan idiom-idiom islah yang sama.

• Media yang tidak bertolak dari nilai-nilai murni yang tulen. Sebaliknya ia bertolak dari gejolak emosi semata-mata. Kerana itu ia bukan media yang membina, sebaliknya lebih menjurus kepada tujuan destruktif.

• Media yang bergantung pada glamour dan kehebatan palsu. Menutup mulut lawan dengan memperagakan kekuatan (tentera, polis dsb).

• Media degil yang tetap menolak pendapat lawan walau sekuat manapun hujah kebenarannya.

• Media yang tidak tahu diri dan terpedaya dengan kekuatan palsunya, lalu meletakkan dirinya di atas kritik dengan bersandar pada kekuatan kebendaannya.

• Media yang memberikan tumpuan pada pimpinannya yang sebenarnya sangat rapuh dan goyah yang dengan sendirinya akan membawa kepada kerapuhan dan kegoyahan dasar-dasar bawaannya.

Tampaknya Abu Lahab bukan sekadar watak seorang manusia zaman silam, tetapi personifikasi media berkepentingan kebendaan sepanjang zaman.

Sudah saatnya rakyat Malaysia yang masih belum mengalami kematian idealism, dan yang masih memiliki kesedaran tentang moral, etika dan nilai-nilai murni agama dan budaya bangkit bersama melawan apa sahaja dan siapa sahaja yang sewenang-wenang mencabul daulat nilai moral dan etika di segala bidang, termasuk bidang media.

 

BENGKEL ADVOKASI MEDIA

Anjuran: APDK, ABIM, WADAH, PKPIM, WAPTV.MY

13 Disember 2014

Read 33243 times Last modified on Thursday, 02 April 2015 06:51
  • Terkini
  • Popular
  • CONGRATULATORY MESSAGE TO TURKEY We wish to…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • 3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja…
  • 12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH…
  • Penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map