Penduduk Islam yang tidak sampai 2 juta itu membentuk 80 peratus dari jumlah penduduk di daerah-daerah Yala, Narathiwat, Songkhla dan Pattani. Kenyatan bahawa daerah-daerah ini merupakan daerah-daerah termiskin di antara 76 daerah di Thailand, membayangkan betapa mereka selama ini telah diabaikan oleh pemerintah Thailand. Mereka bukan hanya terabai dari segi sosio-ekonomi dan pendidikan, tetapi terbiar menjadi sasaran kekejaman dan tindakan tidak berperi kemanusiaan golongan yang berkepentingan. Sejak Januari 2004, seramai 3,500 orang telah terbunuh dalam berbagai kejadian serangan. Masih segar dalam ingatan kita serangan ke atas masjid Krue Sae, pada bulan April 2004 yang membunuh 32 orang. Demikian juga peristiwa Tak Bai, pada bulan Oktober yang mengakibatkan kematian 78 orang Islam.
Dalam lawatan ke Kuala Lumpur pada 7 Jun, Abhisit mengakui bahawa keganasan yang berlaku berpunca dari “kesilapan polisi” pentadbiran Thai yang lalu. Beliau menegaskan bahawa pentadbiran sekarang bertekad membetulkan keadaan dan akan memberi tumpuan kepada pembangunan daerah-daerah tersebut bagi mendapat kembali kepercayaan dan keyakinan penduduk. Bagaimanapun dengan kejadian pada 9 Jun, polisi Abhisit Vejjajiva ‘to win hearts and minds’ penduduk selatan Thai menjadi bertambah sukar.
Haji Halim Ismail
Setiausaha Agung WADAH