

Jabatan Agama Islam Perak, muka surat 3 & 4
Ustaz Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh murabbi dan ulama’ yang dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak pada tahun 1427 Hijrah (2006 Masihi), dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada tahun 1440 Hijrah (2018 Masihi). Dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Ustaz Siddiq Fadzil dilantik sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak selama dua puluh tahun; dari tahun 1991 sehingga 2011; dan dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak pada tahun 2001, dan sering dijemput menyertai majlis-majlis wacana ilmu di negeri Perak. Mudah-mudahan khazanah ilmu dan gagasan idea yang ditinggalkan, menjadi semangat dan azimat untuk kita terus semarakkan.
Kepada Allah SWT kita pohonkan doa, agar segala khidmat dan jasa bakti Ustaz Dato’ Dr. Siddiq Fadzil diterima sebagai amal soleh; semoga roh Allahyarham dilimpahi sebesar-besar rahmat dan ditempatkan bersama roh para anbia’, siddiqin, syuhada’ dan solihin, di samping mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham diberikan kesabaran dan kekuatan, ketabahan dan keredhaan menghadapi ujian Ilahi."